Thursday, September 29, 2011

Krisis Politik dalam Kegagalan Ekonomi


Mungkin ekonomi dunia akan bertambah teruk? Semalam Presiden US, Barack Obama, menyalahkan krisis ekonomi EU yang memarahkan lagi ekonomi yang sedia parah. Awal minggu ini (atau mungkin minggu lepas), kita dikejutkan dengan skandal yang melanda UBS, antara bank terbesar di Eropah dan merupakan bank terbesar di Swiss. Greece telah bankrup akaibat kegagalan membayar hutang. Sepanyol, Itali, Ireland dan Portugal juga sedang bergelelut krisis yang sama.

Segelintir pakar Ekonomi mula menyalahkan pengenalan matawang Euro dikatakan sebagai antara faktor kegagalan ekonomi. Ada yang mengaitkan kegagalan ekonomi ekonomi ini dengan kejatuhan mendadak pertumbuhan ekonoomi US, memandangkan US dan EU saling berkait rapat. Nisbah hutang yang terlalu besar baik berbanding KNK mahupun pendapatan negara, juga menjadi petunjuk kepada krisis ekonomi. Tetapi para ahli ekonomi ini masih tidak mahu mengakui ini adalah permasalahan sistemik kapitalisme.

Saya tertarik membaca analisa berkaitan nisbah hutang penduduk Malaysia. Data dari Bank Negara menunjukkan nisbah hutang kepada pendapatan rakyat Malaysia adalah 39% pada 2006 meningkat kepada 48% pada 2010. Jika trend ini berterusan, fenomena debt bubble yang dialami US dan Eropah, boleh berkemungkinan terjadi di Malaysia. Menjangkakan persekitaran ekonomi yang tidak memberangsangkan dan juga nisbah hutang yang semakin besar, kerajaan telah beberapa kali menyuarakan perkara ini.

Saya tidak pelik jika kerajaan menggula-gulakan kakitangan kerajaan dengan bonus sebagai langkah popular untuk menghadapi pilihanraya. Walaupun sekarang bukan suasana politik yang menyenangkan bagi kerajaan, tetapi pilihanraya perlu diadakan secepat mungkin. Ini kerana, selepas itu mereka perlu mengambil banyak langkah tidak popular untuk menghadapi krisis ekonomi yang dijangkan lebih teruk dari kes sub prima di US sebelum ini.

Persoalannya adakah dengan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat Malaysia akan mampu keluar dari permasalahan ekonomi global. Saya kata ya, jika pemerintahan yang dibentuk adalah mengambil ekonomi Islam yang mana tidak bergantung dengan rangkaian ekonomi dan kewangan dunia baik IMF, Bank Dunia, WTO dan lain. Ia mustahil dilakukan kecuali mereka membentuk entiti kenegaraan Islam yang mandiri, iaitu khilafah. Penerapan politik ekonomi adalah jauh lebih kompleks berbanding penerapan hukum uqubat seperti hudud, jinayat dan ta'zir. Jika perkara ini tidak berlaku, mereka sekadar membentuk urus tadbir ekonomi yang lebih effisien dan telus dalam sistem kapitalisme seperti negara-negara Scandinavia.

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ? (QS Almaidah: 50)

Semoga kita melihat dunia dengan kacamata Islam yang mampu menembusi dinding idealogi.

Friday, July 29, 2011

Catitan Menjelang Ramadhan 1432H

Pada bulan ramadhan 2 tahun yang lepas (1430H), saya bergelut untuk commission sebuah projek loji kuasa. Ramadhan yang lepas, saya berpindah ke kerja sebuah syarikat lain. Saya memulakan karier dengan sebuah syarikat Jepun, kemudian Mat Saleh, diikuti Cina dan ini pertama kali bekerja untuk majikan seagama dan sebangsa. Saya diamanahkan untuk mengetuai sebuah division yang paling teruk dalam syarikat dan malah kumpulan. Ketika division dan anak syarikat lain menjana keuntungan, division saya mengalami kerugian sejak 6 tahun ia ditubuhkan. Malah, saya menggantikan seorang ketua yang berhenti kerja kerana telah terbukti beberapa kali melakukan pecah amanah.

3 bulan lepas saya diminta mengambil alih sebuah projek loji kuasa yang telah terbengkalai. Kos projek telah bertambah jutaan ringgit, bukan sedikit tapi projek masih banyak belum siap. Pihak perunding menjangkakan projek hanya boleh disiapkan seawal pertengahan tahun depan jika pengurusan projek masih dikekalkan. Dan menjangkakan, paling awal akhir tahun atau awal tahun depan untuk disiapkan jika projek diurus dengan baik.

Pada 25 April lepas, saya mula menggerakkan semula projek. Halangan paling terasa adalah boikot dari beberapa pihak yang tidak suka dengan kehadiran saya sebagai pengurus baru. Sukar saya hendak mendapatkan kerjasama. Mereka datang kerja ikut suka masa, kerana pihak pengurusan biasanya hanya masuk kerja selepas makan tengahari. Arahan saya untuk mulakan tool box meeting pada pukul 8.00 pagi tidak diendahkan. Maka, seawal 7.45 pagi saya berada di site office dan menelefon semua pihak untuk hadir tool box meeting pada 8.00 pagi. Akhirnya pada hari 3 ketika, sudah ada yang mula memberikan kerjasama, tetapi yang memboikot tetap ada. Akhirnya, pengurusan projek yang lama dipanggil oleh pihak pengarah agar pulang ke HQ.

Keadaan projek sudah sangat teruk, kontraktor juga sudah ada yang lari. Banyak kerja yang belum dibuat, tetapi pembayaran telah dibuat mencecah angka jutaan ringgit. Saya terpaksa memujuk beberapa kontraktor untuk masuk semula. Kontraktor paling bermasalah digantikan dengan kontraktor baru, tapi bukan semudah itu. Banyak kerja tambahan perlu dibuat, saya hanya dibantu oleh seorang Fresh Engineer yang belum tahu kerja. Dalam kepayahan itu saya gerakkan juga. Sebelum ini, memang saya tak sanggup nak ambil alih kerana mengetahui betapa banyaknya masalah projek ini. Orang kata, saya kena cuci taik.

Projek bermula dengan perlahan, terasa umpama menolak batu besar yang amat berat. Ramai yang memperleceh dan memboikot, tidak saya endahkan. Ia mula bergerak, sudah mula ada yang memberi kerjasama. Tetapi setiap hari masalah terlalu banyak. Antaranya, ada wujud berpuak-puak dan saling mencucuk sesama mereka. Di HQ tidak kurang juga yang membenci kerana saya dituduh menyebabkan pengurusan lama dipanggil balik. Macam-macam tuduhan dilemparkan. Mulanya saya tidak tahu, tetapi mula kedengaran khabar angin, tidak saya endahkan kerana saya cuma nak siapkan projek ini. Tetapi saya merasakan perubahan sikap beberapa orang ketika sekali-sekali saya balik ke HQ. Akhir sekali pada minggu lepas baru saya tahu saya difitnah dengan pelbagai tuduhan. Antaranya tidak hadir kerja, menipu claim, senangkata korup. Lebih menyedihkan ia seperti datang dari division saya sendiri. Mujur alhamdulillah, kesemua pengarah menghubungi dan menyatakan sokongan kepada saya.

Ketika mereka melontarkan pelbagai tuduhan, saya dalam rangka menyiapkan projek. Minggu ini testing elektrikal sudah bermula, minggu depan testing mekanikal akan bermula. Saya tiada masa nak melayan pelbagai fitnah yang datang. Tumpuan untuk menyiapkan projek ini, jika boleh sebelum hari raya. Sekali lagi saya perlu commission projek pada bulan Ramadhan. Jika tidak sempat, selepas hari raya pun tidak mengapa. Terima kasih buat semua keluarga yang memahami dan memberi sokongan. Memang terasa dakwah seperti diabaikan, Ya Allah ampunkan hamba MU yang banyak berdosa ini.

Kepada semua, selamat menjalani Ibadah Puasa.

Saturday, June 11, 2011

NEGARA ISLAM ATAU NEGARA BERKEBAJIKAN : NASIHAT BUAT SAHABAT YANG BERSAMA PAS


Setelah sekian lama berjuang untuk menubuhkan Negara Islam, Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Hadi Awang, dalam muktamar baru-baru ini mengumumkan parti itu akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama 'negara Islam' itu semata-mata.

“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan. (http://malaysiakini.com/news/165931 )

Usaha Negara berkebajikan ini dilihat mampu mengharmonikan hubungan dengan DAP dan PKR yang sememangnya menolak konsep negara Islam. Ini dilihat mampu menarik sokongan rakyat berbanding perjuangan menuntut penegakan Negara Islam. Manifesto ini dijangka mampu memberi tekanan kepada BN dan memperkukuh cita-cita Putrajaya.

Ayat 15 Surah Saba’

“Sesungguhnya bagi kaum Saba ada tanda (kekuasaan Rabb) di tempat kediaman mereka yaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri.(kepada mereka dikatakan):”Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Rabb-mu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya.(Negerimu) adalah negeri yang baik (Baldatun Thayyibah) dan (Rabb-mu) adalah Rabb Yang Maha Pengampun”.

Mungkin inilah ayat yang menjadi sandaran Haji Hadi, hingga keluar dari lisannya dalam Al Quran tidak sebut Negara Islam, tetapi menyebutnya sebagai baldatun thayyibah yang ditafsirkannya sebagai negara berkebajikan. Seterusnya beliau memperincikan ciri Negara Berkebajikan tersebut sebagai:
1) Tujuan utama pembangunan adalah bagi manfaat dan kebajikan rakyat awam
2) Kerajaan adalah "guardian" atau Penjaga (ibu-bapa) kepada rakyat
3) Penekanan kepada kecemerlangan moral dan nilai keinsanan (Ethic and human centric)
4) Kebendaan adalah modal, pembangunan insan adalah matlamat
5) Kesaksamaan asas di kalangan semua rakyat dipastikan, kecemerlangan individu di galakkan
6) Kebajikan rakyat adalah tanggungjawab negara
7) Rakyat sejahtera, negara makmur
(http://presiden.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=37:negara-berkebajikan--tawaran-pas-kepada-rakyat-malaysia-&catid=14:kenyataan-rasmi&Itemid=56 )

Saya menelusuri asbab annuzul dan tafsiran ayat ini, nyatanya rincian Haji Hadi itu jauh terpesong dari penfsiran yang benar. Imam jalaludin As Sayuthi dalam Lubaabun Nuquul fi Asbaabin Nuzul, meriwayatkan ayat ini turun ketika Farwah bin Masik bertanyakan kepada baginda saw kebenaran untuk memerangi kaum Saba’. Rasulullah menjawab bahawa baginda belum belum mendapat perintah lagi, hinggala turun ayat 15 hingga 17 surah Saba’.

Dalam ayat ke 16 dan 17 seterus Allah menceritakan:
Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl dan sedikit dari pohon Sidr. Demikianlah Kami memberi balasan kepada mereka karena kekafiran mereka. Dan Kami tidak menjatuhkan azab (yang demikian itu), melainkan hanya kepada orang-orang yang sangat kafir.

Ibnu katsir meriwayatkan dari Ibn `Abbas, Wahb bin Munabbih, Qatadah dan Ad Dahhak menyatakan Allah membinasakan mereka dengan banjir yang sangat besar, hingga keluar segala binatang dari empangan Ma’rib, dan tikus-tikus besar yang menggigit empangan tersebut hingga runtuh menenggelamkan seluruh negeri mereka.

Sungguh menghairankan bagaimana dari pengkisahan kaum Saba’ ini, Haji Hadi berani membuat pengumuman untuk menjadikan Negara Berkebajikan sebagai gagasan perjuangan dan menenggelamkan perjuangan Negara Islam yang selama ini PAS kobarkan.

Istilah Negara Islam

Saya pernah mengulas permasalahan istilah daulah islamiah, darul Islam, Darul muhajirn, bilad islamiyah, khilafah islamiah dalam posting terdahulu. Sememangnya istilah ’daulah’ yang membawa maksud negara wujud kemudian apabila para intelektual muslim dan filosofnya menterjemah perkataaan 'state' dari tamadun Yunani. Antara orang terawal yang menterjemahkan istilah state kepada daulah adalah Hunain Ubnu Ishaq sekitar abad ke 3 hijrah. Ibnu Khaldun kemudian membezakan antara ad daulah (negara) dan al mulk(kerajaan) dalab bab fi ma’na al khilafah wal imamah dalam Muqaddimah ibnu Khaldun.



Pada zaman Rasul, wilayah kekuasaan Islam disebut darul Islam, atau darul muhajirin. Mana kawasan diluar kekuasaan Islam disebut darul syirk. Ada banyak hadith yang menyebut hal ini. Rasul menunjukkan struktur pemerintahan baik dari aspek tafwidh, tanfidz, kewalian, qudhat dan juga ketenteraan. Baginda juga menjelaskan pengganti baginda dalam soal kenegaraan disebut sebagai khalifah. Penterjemahan struktur kenegaraan ini ditunjukkan pada zaman khulafa urrasyidun, baik melalui ijma’ sahabah (qauli dan suquti) dan juga ijtihad para khalifah dan sahabat.

Kita boleh lihat betapa banyaknya kitab-kitab tulisan para fuqaha yang menjelaskan struktur kenegaraan ini. Ini boleh jumpai ada perbezaan pandangan dalam perkara furu’. Tetapi para fuqaha tidak berbeza pandangan dalam ushool perkara ini iaitu negara Islam baik ia disebut daulah islamiah atau pun darul Islam. Jelas bahawa struktur pemerintahan bagi negara Islam tersebut adalah khilafah dan ia sememangnya identik, hingga umat memahaminya sebagai makna yang sama. Mereka memberi idhafah ’islamiah’ kepada istilah darr , khilafah mahupun daulah, membawa maksud negara yang menerapkan hukum Islam. Sehingga Ibnu Khaldun menjelaskan bahawa siyasah syar’iyyah adalah khilafah Islamiah atau daulah Islammiah. Membezakan dengan siyasah aqliah (yang dibawa oleh tamadun yunani) sebagai mulk(kerajaan) dan daulah kufur.

Penjenamaan Islam Berserta Intipatinya Itu Wajib

PAS sewajibnya memperjuangkan Negara Islam ini, bukannya menyorokkan jenama apatah lagi intipatinya. Ciri-ciri kebajikan yang digariskan TGHH ini sekadar idea umum dan sangat tercapah dari rincian negara Islam. Saya tidak menafikan mungkin cita-cita Putrajaya mungkin lebih mudah apabila mereka menggelamkan jenama Islam dan bersama dengan cita-cita negara kebajikan Pakatan Rakyat, tetapi ingatlah matlamat tidak mengghalalkan cara. Bahkan ini adalah suatu kesilapan hukum syara’ yang sepatutnya dimuhasabah. Jangan sampai kerana terlalu mahu berkuasa, kita menyelindung apatah lagi memesongkan kewajipan Istilah Negara Islam.

Kepada sahabat dan saudara-saudara saya yang bersama PAS, tulisan dalam kesempitan waktu ini semata agar kalian sedar kesilapan yang dilakukan ini, dan sama-sama kita memperbetulkannya. Sesungguhnya thayyibah itu hanya wujud apabila Islam diterapkan dalam khilafah Islamiah dan bukannya negara berkebajikan. Semoga terjemahan ayat 15-17 surah Saba’ ini menyentuh hati kita semua.

“Sesungguhnya bagi kaum Saba ada tanda (kekuasaan Rabb) di tempat kediaman mereka yaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri.(kepada mereka dikatakan):”Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Rabb-mu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya.(Negerimu) adalah negeri yang baik (Baldatun Thayyibah) dan (Rabb-mu) adalah Rabb Yang Maha Pengampun”. Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl dan sedikit dari pohon Sidr. Demikianlah Kami memberi balasan kepada mereka karena kekafiran mereka. Dan Kami tidak menjatuhkan azab (yang demikian itu), melainkan hanya kepada orang-orang yang sangat kafir.


Wallahu'alam.

Friday, May 27, 2011

Sembelih Harga


Pada suatu pagi Jumaat, di sebuah pekan kecil di Hulu Kelantan, ada pasar minggu tempat ramai orang membeli keperluan harian. Seorang lelaki asing menjenguk mencari sedikit makanan. Dilihatnya seorang makcik membayar RM 1 untuk 4 biji kuih. Lelaki itu lalu meminta 4 biji kuih, tetapi kali ini penjual meminta RM 4. Lelaki tadi pergi pula ke gerai buah-buahan, mangga rm10 3 kg. Lelaki itu mengambil 2 biji mangga dan 2 biji limau tempatan, pekedai meminta RM4. Lelaki tadi teringin pula nak makan jagung rebus, harga sebiji RM1.50, tetapi pekedai menjual RM2 sebiji. Lelaki itu bukan penulis, tetapi kawan kepada penulis yang mengadu betapa dahsyat peniaga di sini menyembelih orang asing.

Harga yang melampau dikenakan kepada kami sedang menjadi perbualan hangat di kalangan kami. Bagaimana peniaga makanan di sini menyembelih harga yang dikenakan kepada kami. Suatu hari 3 orang kawan saya makan tengah hari. setiap mereka hanya makan nasi dan ayam yang kecik merekot, tiada sayur. Minum hanya air masak. Cajnya adalah RM31.50, kalah harga di Bikit Bintang.

Pernah satu hari, yang dihidangkan kepada seorang kawan adalah lauk ayam bertahi lalat. Pekedai menukarnya dengan hidangan yang baru,tetapi ayam tahi lalat tadi tetap dikenakan bayaran.

Ramai diantara kami yang telah mengalami keracunan makanan, termasuk saya sendiri 3 hari terdampar, sampai saya banned kedai tesebut. Berjumpa dengan doktor disebuah klinik swasta, beliau sendiri menasihatkan saya agar berhati-hati memilih kedai makan di sini, keracunan makanan perkara yang biasa di sini katanya.

Makanan dahlah tercemar, harga pulak sembelih giler-giler, aniaya je.

Saturday, May 14, 2011

LOLLL.............

Beberapa bulan lepas seorang kawan kemaruk blog. Bertenggek pada sebuah blog penuh dengan rasa ketidakpuashatian dengan posting pada blog itu. Habis satu ofis diluahkan ketidakpuashatiannya. Tetapi untuk komen balik dia tiada akaun dan tak pandai pula nak register. Maka, dia pun meminta seorang staff register akaun untuk. Dia geram pada komen seorang pengkomen, memang geram habis. Dah ada akaun, apalagi dia pun menulis dihentamnya panjang lebar pengkomen tersebut, memang dia tak puas hati dengan cara fikir dan pandangan pengkomen tersebut. Apabila pengkomen itu reply, dihentamnya balik. Habis satu office diceritakan, puas hati dapat hentam pengkomen itu balik. Sampai balik ke rumah, dia pun menceritakan lepas geramnya itu kepada isteri tercinta, anak2 dan juga cucunya. Dengan terkejut isterinya menjawab, " itu saya la!!!!"

LOLLL...............

Saturday, May 7, 2011

Kita Berbeza


Pada suatu pagi Jumaat, di sebuah pekan kecil di Hulu Kelantan, ada pasar minggu tempat ramai orang membeli keperluan harian. Seorang lelaki duduk seorang di sebuah warung memesan roti canai dan teh tarik. Teh sampai dulu, memang pekat dan manis. Roti canai siap beserta kuah dal dan dicampur kari kelantan. Rasa roti canai itu memang sedap. Tapi kuah dal agak cair dan rasanya kurang. Terasa amat santan pada kari disertai rasa manis menimbulkan rasa mual. Syukur Alhamdulillah roti canai itu lembut lagi gebu, di kawasan ini ia sudah cukup menyelerakan.

Seorang yang boleh dipanggil abang, duduk di meja tepi turut memesan roti canai dan teh. Roti sampai sama disertai dal campur kari. Abang memanggil pelayan kedai dan meminta sesuatu. Pelayan itu datang membawa sebekas gula. Abang itu lalu, mengisi 2, 3 sudu gula kedalam mangkuk berisi kari bercampur dal. Sungguh selera dia menikmati roti canai bersama reh tarik pada pagi itu.

Memang citarasa kita berbeza.

p/s: Jika benar Syeikh Osama bin Laden telah terkorban akibat serangan US, mari kita sama-sama mendoakan agar beliau syahid di jalan Allah. Walaupun dikaitkan sebagai agen CIA suatu masa dulu, tetapi jika benar beliau berjuang dijalan Allah memerangi kaum kuffar yang cuba memerangai tanah dan umat Islam, semoga Allah menempatkan beliau dikalangan syuhada'. Perbezaan metodologi perjuangan saya hormati sebagai ikhtilaf.

Wednesday, April 13, 2011

DEBAT : ABSAHKAH DEMOKRASI?

ANTARA : USTAZ WAN JI WAN HUSSIN DAN UST ABU HAMZAH

TARIKH : 17 APRIL 2011 (AHAD)

MASA : 9.30 PAGI

TEMPAT : DEWAN MASJID HASANAH, SEKSYEN 9, BANDAR BARU BANGI

NOTA : KEDUA-DUA PENDEBAT INI TIDAK MEWAKILI MANA-MANA GERAKAN ISLAM YANG MEREKA ANGGOTAI. INI ADALAH USLUB PERIBADI.

Tuesday, April 12, 2011

Revolusi yang Penuh Keberkahan

Revolusi Arab yang sedang berlaku ini adalah sebuah perjuangan yang penuh keberkahan, insyaAllah. Kita lihat saudara kita berarak dan solat beramai-ramai di jalanan. Dari kebangkitan ini ada 3 perkara perubahan besar yang berlaku dalam dunia Islam.

1) Umat telah mula sedar mereka adalah sohibus sulthoh (pemilik kekuasaan), sesuatu yang hilang sejak zaman umayyah. Walaupun pernah berlaku beberapa revolusi dalam sejarah Arab, tetapi pemilihan pemimpin masih dikuasai oleh golongan elit. Begitu juga dengan pilihanraya demokrasi, walaupun umat diberi peluang memilih pemimpin tetapi realitinya berlaku banyak manipulasi.

2)Umat juga sedar sebenarnya umat ada kekuatan untuk mengubah keadaan. Ia memberi kekuatan kepada umat untuk mengorban jiwa dan raga mereka demi melihat perubahan ini.

3) Umat telah tidak takut dengan ancaman dari pemerintah walaupun selama ini pemerintah menyiksa dan menzalimi mana-mana pihak yang menunjukkan penentangan. Sebaliknya, hari ini pemerintah yang sudah mula takut dengan keberanian dan kebangkitan rakyat.

“Sebaik-baik pemimpin kamu, adalah orang yang kamu cintai, mereka pun mencintai kamu. Kamu mendo’akan mereka, mereka pun mendo’akan kamu. Dan seburuk-buruk pemimpin kamu, adalah orang yang kamu benci dan mereka pun membenci kamu. Kamu melaknat mereka, dan mereka pun melaknat kamu.” (H.r. Muslim dalam Shahih Muslim, III/1481; Al-Baehaqi, Sunan Al-Kubra, VIII.158)

Apa yang dinyatakan dalam hadith ini berkenaan seburuk-buruk pemimpin termanifestasi dalam perjuangan rakyat Arab terhadap pemimpin mereka. Mereka membenci pemimpin mereka, dan pemimnpin mereka turut membenci mereka. Akhirnya mereka keluar menyuarakan kebencian kepada pemimpin yang zalim lagi kufur. Masakan tidak, Tunisia sejak zaman Habis Bourgiba lagi terang-terangan memusuhi Islam. Mereka dengan kurang ajarnya berpesta makan pada siang hari bulan Ramdhan. Muslimah yang memakai hijab dihalang memasuki hosoital walaupun kes kecemasan.

Di libya, Si Ghadaffi yang anti hadith itu dengan bangsatnya mengubah ayat-ayat Al Quran. Perkataan 'kul'(katakan) dibuang dari surat Annas, Al'Alaq dan lainnya. Kebenciannya kepada Arab Saudi sampai dia berani menghina Makkah dan Kaabah.

Di Syria, pemerintah Alawiyah yang kufur memaksa rakyatnya menjadi tentera, mencabut kerakyatan dan hak mereka. 85 buah masjid dimusnahkan dan ramai yang dipenjara bertahun-tahun kerana melayari wabsite yang menentang kerajaan. Syria selama ini menjadi agen dan spy bagi Israel. Pejuang-pejuang Islam yang menentang Israel yang ditangkap dari pelbagai negara, dipenjara di Syria. Di syria itu ada ramai pejuang Islam yang ikhlas berkorban. Sesungguhnya perubahan di Syria akan memberi kesan besar kepada Jordan, Lubnan dan juga Israel.

US cuba masuk campur dalam setiap negara itu. Umat menolaknya walaupun sebenarnya US tetap berjaya masuk dan cuba menentukan hasil dan keputusan dari revolusi ini. Campurtangan US cukup jelas di Mesir dan negara Arab lain kecuali Bahrain. Kerana di Bahrain, Iran sedang berusaha melakukan makar politik, ramai Syiah di sana.

Ironinya, umat Islam di tempat lain turut mengambil berat perkembangan apa yang berlaku di sana. Umat Islam telah merasakan mereka adalah umpama satu tubuh. Apa yang kita mahu kita lihat dari revolusi ini. Secara jujur jika kita melakukan analisa, berapa ramainya kelompok Islam yang melakukan tahalluf ini, dari pelbagai aliran pemikiran dan mazhab mereka kekurangan hala tuju yang jelas. Akibat US dan agennya berjaya mempengaruhi hasil revolusi dan mengadu domba kelompok ini. Sekarang mereka bertelagah pelbagai perkara remah, soal apa yang perlu didulukan atau dikemudiankan, apa yang perlu dikeutamaan dan apa yang tidak. Sesungguhnya mereka memerlukan kesatuan pemikiran yang lebih tinggi, kerana tahap yang ada pada hari ini belum cukup untuk membawa perubahan yang mereka inginkan.

Di sinilah peranan gerakan Islam, memandu pemikiran Islam yang tinggi yang mempunyai kemampuan untuk melakukaan perubahan yang benar dan menjaga keberlangsungannya. Mereka mendakati ketua-ketua intifadha. Mereka telah berani bercakap tentang khilafah secara terang-terangannya, termasuk ulama'-ulama'. Mereka mula berani mendekati pemimpin kerajaan dan tentera. Sesungguhnya, revolusi Arab ini merupakan suatu detik perubahan yang akan membawa perubahan yang lebih besar, dengan syarat sesuatu yang amat besar dilakukan oleh gerakan Islam untuk memandu umat.

Saya tutup dengan menegakan sekali lagi, sesungguhnya revolusi ini adalah sesuatu yang diberkati Allah, dan insyaAllah dengan kerja keras kebangkitan yang benar akan kita sama-sama kecapi, tidak lama lagi. Allahhu Akbar.

Monday, April 11, 2011

Buat Pemuja Demokrasi

Apabila suara mojoriti menggubal undang-undang, itu dipanggil demokrasi.
Apabila suara tuhan dijadikan alasan penetapan undang-undang, ia dipanggil teokrasi.
Apabila suara seorang saja menetapkankan undang-undang, ini pula autokrasi.

Mereka kata, jika dibanding dengan krasi yang lain, demokrasi yang terbaik, ia tidak haram kerana tidak disebutkan dalam Al Quran atau Hadith. Maka demokrasi boleh.

Jika begitu kaedah yang digunakan, maka komunisme yang menjadikan dialetika materialisme sebagai standard juga halal kerana tidak disebutkan dalam Al Quran dan Hadith. Setuju?

Friday, April 8, 2011

MIHAS, Debat Wan Ji- Fathul Bari & Percakaran FB

Jalan kaki dari solat Jumaat tadi, saya singgah sebentar ke Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2012 di KLCC. Ia akan berlangsung dari 6-9 April. Di halaman KLCC malam ini ada konsert F1, siang hari di dalam dewan ada expo halal. Teringat saya kata seorang tokoh liberal, kononnya sekularisme itu terbaik kerana mampu menyeimbangkan antara kebaikan dan keburukan. Apapun, memang kenyang melawat ke MIHAS walaupun lawatan ekspres, kena masuk kerja. Banyak booth, tapi yang lawati semuanya booth makanan saja.

Saya dikejutkan apabila ada seseorang yang meminta saya berdebat dengan ustaz wan ji (al Bakistani) tentang demokrasi. Saya tidak tahu apa-apa, rupanya ada percakaran di Facebook. Saya tak pernah tahu dan memang tak minat nak berdebat di FB ini. Aduh rupanya begitu teruk sekali percakaran itu. Ia membawa cabaran debat untuk membuktikan demokrasi itu absah atau tidak. Secara peribadi, saya sendiri bercampur baur. Apabila cabaran itu tidak dilayan, Ust Wan Ji memperlekeh HT sebegitu teruk. Jika disahut, apakah akan membawa kebaikan atau bahkan menambah lagi keegoan?

Debat antara Ust Wan Ji dengan Ust Fathul Bari misalnya, apakah ia membawa hasil yang lebih baik? Apakah Fathul Bari akhirnya tunduk akur bahawa ini sistem pemerintahan kufur yang wajib dimusnahkan dan diganti sistem Islam? Secara peribadi sebagai Muslim yang memegang aspirasi gerakan Islam, pastinya saya mengharap Wan Ji dapat mematahkan hujah Fathul Bari agar beliau sedar kesilapan bersekongkol dengan kerajaan kufur hari ini. Biar pun Ust Wan Ji mendakwa menang hujah, tetapi dari suntingan videa diblog beliau, saya dapati beliau kalah hujah. Wan Ji membawa pelbagai dalil tindakan sahabat dan tabieen terhadap pemerintah pada masa itu, untuk menunjukkan kewajipan untuk menentang pemerintah hari ini. Dengan mudah Fathul Bari mengesampingkan hujah tersebut, mana yang lebih afdhal, teguran terbuka atau tertutup? Wan Ji terperangkap.

Sejak menonton suntingan video itu saya berhasrat untuk memberikan pandangan yang diajar kepada saya oleh Hizbut Tahrir dalam permasalahan menegur pemerintah. Tetapi masa begitu mencemburui akhir-akhir ini, apatah lagi penulisan fiqh begitu memerlukan rujukan. Apa yang dapat saya ringkaskan, dalil-dalil yang dibawa Wan Ji mahupun Fathul Bari adalah dalil menegur penguasa Islam yang menyimpang. Iaitu ketika sistem Islam diterapkan, tetapi ada pemerintah yang menyeleweng.

Dalam hadith yang soheh diriwayatkan daripada Abi al-Walid Ubadah bin Somit r.a. katanya: kami telah berbaiah kepada rasulullah untuk dengar dan taat dalam keadaan susah ataupun senang, suka ataupun benci dan (dalam keadaan pemimpin) lebih mementingkan dunia melebihi kami.(Kami juga berbaiah) untuk tidak merebut kekuasaan dari pemerintah melainkan jika kami melihat Kufr Bawwah (kekufuran yang nyata) yang kami mempunyai alasan disisi Allah (kami juga berbaiah) untuk menyatakan al-Hak dimana saja kami berada dan kerana allah kami tidak takut kepada celaan sesiapa yang mencela. (Riwayat al-Bukhori hadith ke 7199, Muslim hadith ke 1836)

Hadith diatas adalah ditujukan bagi penguasa Muslim yang sah, yang dilantik dengan jalan baiat yang sah. Sekiranya, mereka menyeleweng tetapi tidak sampai kepada kufr buwwah, maka ada seperangkat hadith lain dan af'al sahabat yang menunjukkan tatacara peneguran. Tetapi sekiranya sampai terterapnya hukum yang jelas hukum kufur, maka pada masa tersebut umat wajib memuhasabah sehingga dipastikan hukum tersebut dihapuskan sehingga sampai tahap menurunkan khalifah pada masa itu.

Itu ketika sistem yang diterapkan adalah sistem Islam, yang masalahnya adalah individu khalifah itu sendiri. Jadi yang perlu diganti adalah individunya, bukan sistem Sedangkan hari ini, realitinya berbeza. Sekarang ini permasahannya bukan permasalahan individu, tetapi adalah permasalahan sistem. Hadith dan af'al sahabat yang menegur pemerintah pada masa tersebut, tidak semuanya tepat jika digunakan bagi kes hari ini. Kerana pada hari ini, sistem pemerintahannya adalah kufur walaupun individunya adalah Islam. Oleh itu, pada pemahaman saya, baik Ust Fathul Bari mahupun Ust Wan Ji, telah menggunakan dalil untuk menegur penguasa Muslim untuk berhujah menegur pemerintahan kufur. Natijahnya, Fathul Bari dengan berlagaknya menemplak Wan Ji akan'kesilapan' PAS sebagai tidak aula kerana menegur pemerintah hari ini secara terbuka. (Pembahasan hukum ini jika ada kesempatan akan saya ulas, tetapi saya tidak berani memberi sebarang janji)

Kemudian, apakah hasil dari debat ini?

Berbalik kepada cabaran debat demokrasi, saya sendiri walaupun tidak pernah terlibat sebenarnya agak terpancing dengan kelancangan Ust Wan Ji memperlekeh HT di FB, tetapi secara matang wajarkah saya terjebak melayannya?! Sekiranya debat itu dijalankan, harapan utama saya agar ukhwah terjaga dan sekiranya bukan pedebat itu sendiri, semoga para hadirin yang menonton dapat penjernihan.

Ada yang minta saya beri pandangan tentang komen Nota Merah berkenaan fikrah HT. Mungkin bagi sesetengah penyokong PAS, mereka menyerang HT kerana kebencian kepada HT itu sendiri. Tetapi bagi saya, serangan sebenarnya adalah ideologi selain Islam. Jadi tidak kira siapa pun, jika mereka tergelumang dengan idelogi tersebut mereka turut terpalit. Mereka perlu ditegur dan diperbetulkan. Nampaknya Mat Jusoh desak untuk saya komen, tengoklah.. no komitmen at this moment.

Salam petang jumaat.