Sunday, December 27, 2009

Takziah Kepada Keluarga Mangsa Tragedi Bas Ekspres di Lebuhraya Plus Ipoh Selatan


Saya sekeluarga melahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi bas ekspres di kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan. Kemalangan ngeri ini mengingatkan saya kepada tragedi bas eskpres di Merapoh, Kuala Lipis dimana saya tersangkut di tempat kejadian selama 4 jam. Kepada keluarga mangsa terimalah ini sebagai qada' Allah.
"Di mana saja kamu berada, tentulah kamu akan didatangi oleh kematian itu, meskipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. (An Nisa':78)

Sedangkan kecuaian pemandu kerana memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kematian adalah sesuatu yang wajib diselesaikan dengan hukum Islam.

Ketua Trafik Daerah Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu. Jika sabit kesalahan pemandu itu boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan didenda sehingga RM20,000 serta lesen memandu digantung. Ini bukanlah penyelesaian Islam.
"Di dalam hukuman 'qishas' itu terdapat kehidupan bagi kamu, wahai orang-orang yang mempunyai fikiran, agar kamu bertaqwa." (Al Baqarah:179)

Jika kita rujuk kepada Nizamul Uqubat Islam, kesalahan ini tertakluk kepada hukum jinayat, iaitu membunuh secara tidak sengaja. Allah telah menetapkan bagi kesalahan ini diyatnya adalah adalah diyat mukhaffafah (ringan), iaitu membayar 100 ekor unta kepada keluarga korban atau memerdekakan seorang hamba wanita yang Islam. Inilah hukum Allah yang wajib diterapkan dimana keluarga mangsa mendapat pembelaan syara' manakala pesalah terlepas dari dosa.

-------------------------------------------------------------------------------------

10 maut tragedi bas ekspres

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN dan ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my





BAS ekspres dua tingkat yang terkoyak di bahagian tepi apabila merempuh besi pembahagi jalan yang kemudian merodok tempat duduk bawah mengakibatkan sepuluh penumpang terbunuh di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara pada awal pagi semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


IPOH 26 Dis. – Seramai 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat, Sani Express terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, lapan kilometer dari Plaza Tol Ipoh Selatan di sini, awal pagi ini.

Nahas ngeri tersebut menyebabkan ada di antara penumpang putus kepala serta beberapa anggota badan lain.

Mereka yang maut ialah pasangan suami isteri, Shaharin Mohd. Nor, 61, dan Supiah Adam, 46, dari Klang, Selangor; Mohd. Shukri Mohd. Ali, 22, serta Mohd. Bilal Osman, 22, dari Sungai Besar, Selangor, Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21, dan adiknya, Sharifah Hasanah, 15, (Sungai Petani, Kedah).

Turut maut, Musa @ Ismail Abdullah, 64, dari Gurun, Kedah; Noor Jasmi Noordin, 25, Kangar, Perlis; Ng Kah Kit, 14, dan Ng Poh Ngoh, 23, dari Alor Setar.

Penumpang yang parah dalam kemalangan kira-kira pukul 1 pagi itu ialah Md. Razip Fadzir, 38, seorang pegawai tentera berpangkat Mejar manakala Siti Munira Hashim, 30, dari Langgar, Kedah, cedera ringan.

Ketua Trafik negeri, Supritendan Wan Abdullah Wan Ishak berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat manakala kedua-dua mereka yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

“Mereka yang terbunuh dan cedera merupakan penumpang di tingkat bawah bas. Penumpang di bahagian atas serta kedua-dua pemandu bas tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Difahamkan, bas ekspres yang membawa seramai 48 penumpang itu bertolak dari Klang menuju ke Kangar pada pukul 9 malam tadi.

Malangnya, ketika tiba di tempat kejadian, bas terbabit dikatakan terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya.

Keadaan bertambah buruk apabila bas itu kemudian melantun dan merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti.

Menurut Wan Abdullah, siasatan awal mendapati, besi daripada pembahagi jalan yang menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan yang pertama (sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan kepada penumpang-penumpang berkenaan.

Sehubungan itu katanya, pemandu bas ketika kemalangan tersebut telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemandu tersebut dikatakan berhenti sebentar di hentian rehat dan rawat (R&R) Tapah bagi membolehkan penumpang ke tandas sebelum menyambung semula perjalanan seterusnya.

Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa, pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum berlaku kemalangan.

“Bas dipandu dalam keadaan tidak stabil, terhuyung-hayang ke kiri dan kanan sebelum kejadian,” dakwanya.

Dia yang duduk di bahagian depan tingkat atas bas ketika kemalangan tersebut berlaku berkata, keadaan penumpang ketika itu kelam-kabut dan dalam ketakutan

No comments: