sumber : Shoutun Nahdhah
www.mykhilafah.com
Baru sahaja Malaysia berbangga dengan kejayaan menganjurkan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 yang
berlangsung pada 1 hingga 5 Disember yang lepas, tiba-tiba negara dikejutkan dengan kejadian ‘aneh’ kehilangan enjin pesawat
pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Bukannya sebuah, tetapi dua buah enjin pesawat tersebut hilang sebagaimana
dilaporkan oleh akhbar pro-kerajaan sendiri yang dianggarkan berjumlah RM100 juta. Lebih buruk dari itu, bukan sahaja enjin yang
hilang, malah seperti yang diakui Menteri Pertahanan sendiri, beberapa peralatan lain turut hilang daripada inventori TUDM dalam
kejadian dua tahun lalu itu [UM 22/12/09]. Bermula dengan laporan sebuah akhbar tentang kes kehilangan ini, kemudian satu demi satu
misteri muncul. Antara persoalan awal adalah, bagaimana kes ini yang berlaku sejak 2007, baru sekarang ‘meletup’, setelah lebih dua
tahun? Laporan polis pula dikatakan dibuat setelah 6 bulan kehilangannya. Pihak polis pula dikatakan mengambil masa lebih kurang
setahun ‘menjalankan siasatan’ sebelum merujuk kes ini kepada Peguam Negara, dan Peguam Negara pula, baru sekarang mengatakan
bahawa kes ini adalah serius, setelah kes ini terdedah kepada umum, dan mengarahkan polis membuat ‘siasatan lanjut’. Entah berapa
lama dan berapa banyak siasatan yang telah dan akan dilakukan, kita pun tidak tahu. Yang pasti, baru sekarang (setelah lebih dua tahun)
kita mendengar bahawa pihak atasan dan bawahan TUDM dipanggil polis untuk membantu siasatan. Baru sekarang juga, pihak polis
sibuk mencari dalang di sebalik pembelian dan pembolosan enjin ini ke luar negara. Pelbagai andaian telah dibuat berkenaan kejadian
yang tidak boleh diterima akal ini. Banyak pihak yang menyindir bahawa kejadian ini adalah paling melucukan dalam sejarah Malaysia.
Apa tidaknya, bagaimana mungkin dua buah enjin yang bersaiz kereta mini ini, dimiliki oleh tentera yang prosesnya semestinya dipenuhi
dengan aspek keselamatan dari A-Z, boleh ghaib? Dan apa yang lebih memeranjatkan, ia berlaku tatkala Datuk Seri Najib Razak menjadi
Menteri Pertahanan di waktu itu. Secara logiknya, mustahil beliau tidak mengetahui perkara ini, malahan Pak Lah sebagai Perdana
Menteri (waktu itu) juga tidak tampil dengan apa-apa kenyataan.
Sesungguhnya isu kehilangan enjin ini amat serius dan bukan perkara main-main yang boleh disorokkan atau dibiarkan begitu sahaja
oleh kerajaan mahupun pihak polis. Kita bukanlah mahu campurtangan dengan siasatan polis, tetapi kita mahu kes seserius ini disiasat
dengan telus, rapi dan mendalam, kerana ia melibatkan rahsia ketenteraan dan pengkhianatan terhadap umat. Ini kerana tentera, polis
dan kerajaan adalah pihak-pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara dan menjaga rakyat, bukannya merosakkan
negara atau menipu rakyat dengan rasuah dan penyelewengan atau pelbagai skandal lainnya. Pihak yang bersalah mestilah dihukum,
tidak kiralah dari kalangan rakyat biasa, tentera mahupun menteri. Dengan terbongkarnya kes kehilangan enjin pesawat F-5E ini, maka
terdapat beberapa fakta yang memberikan maklumat baru kepada kita berhubung aspek dan ciri-ciri keselamatan negara yang berada di
tangan kerajaan, imigresen, polis dan juga tentera. Hal ini tidak seharusnya dilihat dari aspek tercalarnya ‘maruah’ negara semata-mata,
yang sememangnya telah banyak tercalar pun selama ini, tetapi kita hendaklah memahami bahawa ini adalah persoalan pentadbiran
dan pemerintahan, khususnya melibatkan ‘struktur perang’ negara. Ia adalah persoalan bagaimana pemimpin dan jentera pemerintahannya
menguruskan negara. Ia adalah persoalan ‘amanah’ yang Allah letakkan di bahu mereka untuk menjaga negara dan rakyatnya. Dan ia
adalah persoalan dosa dan pahala di atas penyelewengan yang mereka kerjakan. Mereka adalah golongan yang sewajibnya menjaga
negara dan rakyat, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sekiranya kita harapkan pagar dan pagar memakan padi, maka sudah
semestinyalah pagar ini ditukar kepada pagar yang lain.
Amerika Juga Turut Sibuk, Kenapa?
Di dalam kekecohan isu kehilangan enjin ini diperbincangkan di
dalam negara, tiba-tiba sahaja dilaporkan bahawa Amerika Syarikat
(AS) ‘meminta’ Malaysia menyediakan laporan lengkap berhubung
perkara ini. Mengapa AS begitu ‘berminat’ untuk campur tangan?
Kenapa AS begitu prihatin dengan negara sekecil Malaysia? Akhbar
menyebut bahawa AS ingin mendapatkan laporan lengkap ini atas
alasan mereka adalah negara pengeluarnya. Menjawab kepada
‘permintaan’ negara kafir tersebut, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
menjelaskan bahawa laporan kehilangan dua tahun lalu itu akan
diperincikan secara kronologi dan dihantar melalui Duta Malaysia
ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis [UM 26/12/09]. Sungguh
cepat Menteri Pertahanan Malaysia ini berusaha untuk menyiapkan
laporan lengkap kepada Washington, walaupun siasatan dalam
negara masih belum selesai. Apa nak buat, ‘tuan’ telah minta
laporan penuh! Baru sahaja AS ‘berdehem’, maka pemimpin
Malaysia terus patuh menjawab ‘yes boss’ dan bersedia
berkhidmat! Sungguh hina apabila melihat pemimpin umat Islam
bersegera tunduk kepada permintaan kuffar Amerika. Ini satu hal,
namun yang lebih penting, jika Zahid Hamidi benar-benar memberi
laporan lengkap kepada AS, ini bermakna satu lagi pengkhianatan
besar telah berlaku terhadap umat Islam secara terbuka. Walaupun
terdapat unsur pengkhianatan atau pecah amanah dalam kes
kehilangan enjin ini, namun kes ini adalah rahsia ketenteraan yang
tidak sepatutnya terbongkar (apatah lagi diserahkan secara
sukarela) kepada pihak musuh. Siasatan hendaklah dilakukan di
peringkat dalam mahupun luar negara, tetapi tidaklah sampai ke
tahap ‘mendedahkannya’ kepada pihak musuh!
Sebagai sebuah negara super power, kenapa AS perlu kecoh
dengan kehilangan dua enjin teknologi 30 tahun lepas itu? Apakah
dua buah enjin tersebut boleh menggugat kuasa AS? Apa
sebenarnya yang AS mahukan? Atau apakah kedudukan politik di
sebalik semua ini..? Inilah isu yang akan dikupas di dalam Sautun
Nahdhah pada kali ini, di mana secara umumnya kebanyakan
negara umat Islam, sejak runtuhnya Daulah Khilafah hingga kini,
berada di bawah kuasa dan kawalan puak kuffar dari segi bekalan
persenjataan. Majoriti negara umat Islam masih gagal dan tidak
berupaya berdiri sendiri untuk memiliki industri dan teknologi
ketenteraan. Kebanyakan dari pemimpin umat Islam masih melutut
kepada negara kuffar untuk mendapatkan bekalan persenjataan,
walhal perkara ini adalah suatu keharaman. Jika ada pun negara
umat Islam yang mempunyai teknologi ketenteraan sendiri seperti
Pakistan dan Irak, pemimpinnya adalah sekutu dan agen kepada
Barat. Sungguh malang keadaan ini, di mana pemimpin umat Islam
mengambil musuh sebagai sahabat, malah mengharapkan dan
menggunakan senjata perang dari musuh untuk melawan musuh.
Para pemimpin umat Islam kini sudah tidak ada kesedaran dan
keghairahan untuk berusaha memiliki teknologi ketenteraan sendiri.
Mereka masih bergantung kepada musuh dan tunduk kepada
kecanggihan senjata perang musuh, malah tunduk kepada
ketetapan musuh.
Negara Islam Wajib Ada Industri Senjata
Islam sebagai sebuah deen (akidah dan cara hidup) yang sempurna,
Islam telah mengajar umatnya bagaimana untuk mengatur halehwal
ketenteraan, bahkan tentera itu sendiri merupakan salah
satu struktur Daulah Islam yang berada di bawah kepimpinan Amirul
Jihad. Selain itu, Negara Islam juga memiliki satu lagi struktur yang
dikenali sebagai Da’irah As-Sina’ah (Bahagian Perindustrian) iaitu
suatu bahagian yang mengurusi semua masalah yang
berhubungan dengan perindustrian, baik yang berhubungan
dengan industri berat seperti industri mesin dan peralatan,
pembuatan dan pemasangan alat transportasi (kapal terbang, kapal
selam, kereta dan sebagainya), industri bahan mentah dan industri
elektronik; mahupun yang berhubungan dengan industri ringan,
baik industri itu berupa kilang-kilang yang menjadi milik umum
ataupun kilang-kilang milik peribadi. Pelbagai jenis industri ini
hendaklah dibangunkan atas asas politik peperangan. Ini kerana,
jihad dan perang memerlukan pasukan (angkatan tentera),
sementara pasukan, agar mampu berperang, mestilah memiliki
persenjataan. Manakala persenjataan itu pula, bagi memenuhi
keperluan pasukan hingga ke tahap optimum, tentunya harus ada
industri persenjataan di dalam negara, khususnya industri perang.
Ini kerana, hubungan kesemua itu adalah begitu erat dengan jihad.
Justeru, bagi memastikan Negara Islam memiliki kawalan ke atas
semua hal-ehwal peperangan dan militer serta tidak berada di
bawah kawalan negara asing dalam masalah tersebut, Negara
Islam mestilah mendirikan industri persenjataan sendiri dan
hendaklah mampu mengembangkan persenjataannya sendiri.
Hanya dengan cara ini, Daulah Islam akan memiliki kendali atas
dirinya sendiri demi mengukuhkan kekuatan dan kedudukannya.
Daulah juga harus berusaha memiliki dan menguasai
persenjataan yang paling canggih dan paling kuat, tidak kiralah
bagaimana bentuk dan rupanya. Dengan begitu, barulah Daulah
mampu menggentarkan musuh-musuh Allah, baik musuh yang
nyata mahupun musuh yang belum nyata. Demikianlah
sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT, “Dan
persiapkanlah oleh kalian untuk menghadapi mereka (musuh)
dengan kekuatan apa sahaja yang kalian mampu dan dari kudakuda
yang ditambatkan untuk berperang (yang dengan persiapan
itu) kalian menggentarkan musuh Allah dan musuh kalian dan
orang-orang selain mereka yang tidak kalian ketahui sedangkan
Allah mengetahuinya” [TMQ al-Anfal (8):60].
Menggentarkan musuh itu tentunya tidak akan terealisasi kecuali
dengan adanya persiapan sementara persiapan itu memestikan
adanya industri. Jadi ayat tersebut telah menunjukkan wajibnya
mendirikan industri ketenteraan. Hal ini dapat dipahami menurut
dalalah al-iltizam atau berdasarkan kaedah ma la yatimmu alwajib
illa bihi fahua wajib (suatu kewajiban yang tidak akan
sempurna kecuali dengan adanya sesuatu maka sesuatu itu wajib
hukumnya). Demikian pula, dalil-dalil mengenai kewajiban jihad -
melalui dalalah al-iltizam- menunjukkan wajibnya mendirikan
industri. Dengan persiapan perang yang paling hebat dan paling
mampu ini, barulah Daulah Islam dapat mengendalikan dan
memenuhi keperluannya sendiri tanpa dipengaruhi atau
bergantung kepada negara lain. Daulah bukan sahaja dapat
mengeluarkan sendiri persenjataan yang diperlukan, malah dapat
mengembangkan dan terus memperhebatkan semua bentuk
persenjataan hingga mampu menguasai persenjataan yang paling
canggih dan paling hebat berbanding negara kufur.
Atas dasar memenuhi tuntutan ayat ini, maka wajib bagi negara
untuk mendirikan industri persenjataan sendiri. Pemerintah tidak
boleh (haram) untuk bergantung kepada persenjataan dari negara
luar, sebab hal ini akan menjadikan negara-negara pengeksport
senjata dapat menekan serta mengawal kehendak dan
persenjataan negara, termasuk menentukan ‘kebolehan perang’
negara. Realiti yang kita saksikan di dunia saat ini menunjukkan
bahawa negara-negara yang menjual persenjataan (seperti AS)
kepada negara lain tidak akan menjual kesemua persenjataannya,
khususnya persenjataan canggih. Negara tersebut juga tidak akan
menjual persenjataan kecuali disertai dengan syarat-syarat tertentu,
termasuk tatacara penggunaan senjata yang dijualnya. Negara
tersebut juga tidak akan menjual persenjataan kecuali dalam
jumlah yang sesuai menurut pandangannya, bukan menurut
permintaan negara yang ingin membeli persenjataan tersebut.
Inilah yang menjadikan negara pengeksport senjata sebagai
pengendali dan penentu negara pembeli senjata. Hal-hal ini juga
memungkinkan negara penjual senjata mengawal kehendak
negara pembeli, apatah lagi ketika negara pembeli itu sedang
berada dalam situasi perang, yang mana negara tersebut akan
memerlukan tambahan persenjataan, alat ganti, peluru dan
sebagainya.
Semuanya itu menjadikan ketergantungan negara pembeli
terhadap negara penjual persenjataan semakin bertambah dan
ketundukan negara tersebut pada kehendak negara penjual juga
semakin besar. Hal inilah yang membuat posisi negara penjual
semakin kuat sehingga dapat mengendalikan negara pembeli dan
menekan serta mengawal kehendak negara pembeli. Sedangkan
Allah SWT mengharamkan kita tunduk atau dikuasai oleh orangorang
kafir. FirmanNya, “Dan Allah sekali-kali tidak memberi jalan
kepada orang-orang kafir menguasai orang-orang beriman” [TMQ
an-Nisa’ (4):141]. Dengan tidak mempunyai industri persenjataan
sendiri, negara pembeli (seperti Malaysia dan lain-lain negara umat
Islam) telah tunduk dan ‘menggadaikan’ dirinya sendiri, menggadai
kehendaknya, peperangannya dan institusi negaranya kepada
negara yang menjual persenjataan kepadanya. Ini semua berlaku
kerana pemimpin negara telah memaksiati Allah dengan tidak
menunaikan perintahNya seperti ayat di atas. Semua ini tidak berlaku
di masa wujudnya negara Khilafah, di mana Khilafah adalah sebuah
negara super power dengan persenjataan yang paling kuat dan
paling canggih di dunia sehingga digeruni oleh kawan dan lawan.
Ini kerana, para Khalifah menunaikan perintah Allah di dalam
menyediakan pasukan untuk berjihad di jalan Allah, tidak seperti
mana pemimpin sekular sekarang.
Diberitakan bahawa Rasulullah SAW pernah memerintahkan umat
Islam mendirikan industri manjaniq dan dababah. Al-Baihaqi telah
menyebutkan riwayat dari Abu Ubaidah ra yang berkata, “Kemudian
Rasulullah SAW mengepung penduduk Thaif dan menggempurnya
dengan manjaniq selama 15 hari…”. Abu Daud juga telah
mengeluarkan hadis di dalam Al-Marasil dari Makhul, “Rasulullah
SAW pernah mengempur pendududuk Thaif menggunakan
manjaniq”. Diriwayatkan bahawa Salman adalah orang yang
bertanggungjawab dalam industri manjaniq tersebut di mana beliau
membuatnya dengan tangannya sendiri.
Berdasarkan ayat dan hadis di atas, wajib bagi Negara Islam
membangun sendiri semua industri persenjataannya dan segala
hal yang diperlukan termasuk alat ganti (spare part)nya. Hal itu tidak
akan tercapai kecuali negara mewujudkan dan menjaga industri
beratnya. Jika Daulah Khilafah berdiri dalam masa terdekat nanti,
untuk langkah pertama, Khalifah harus membangun perindustrian
berat, baik industri berat militer mahupun non-militer. Khilafah juga
harus memiliki kilang-kilang untuk memproduksi persenjataan
nuklear, pesawat pengintip, peluru-peluru berpandu, satelit-satelit,
pesawat tempur, kereta kebal, artileri, kapal selam, kereta perisai,
anti peluru dengan pelbagai jenisnya, serta pelbagai persenjataan
lainnya baik senjata berat mahupun senjata ringan. Selain itu,
Daulah Khilafah juga wajib memiliki industri yang berkaitan dengan
kepemilikan umum dan industri-industri ringan yang mempunyai
kaitan dengan industri ketenteraan. Semua itu merupakan bentukbentuk
persiapan yang wajib dipenuhi oleh pemerintah kaum
Muslimin dalam rangka memenuhi seruan Allah dan RasulNya demi
menegakkan agama Allah di muka bumi.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sudah sekian lama kita menyaksikan
kepincangan dalam pentadbiran dan pemerintahan negara.
Muhasabah dari rakyat sudah lama tidak dihiraukan oleh
pemerintah, malahan mereka dari masa ke semasa semakin rakus
mengejar keuntungan dengan kedudukan dan kuasa yang ada pada
mereka. Malahan dalam perkara yang melibatkan keselamatan
negara sekalipun, seperti pembelian pesawat pejuang, kapal
selam, peluru dan apa sahaja peralatan perang, ia tidak dilakukan
atas dasar untuk berjihad di jalan Allah tetapi atas dasar
mendapatkan habuan duniawi. Hilangnya enjin jet pejuang yang
tidak pernah digunakan untuk berjuang ini memanifestasikan
hilangnya amanah dari orang yang memikulnya. Justeru, wajar
sahaja apabila rakyat mendesak agar menteri yang
bertanggungjawab meletak jawatan atas apa yang berlaku. Namun,
perlu diingat wahai kaum Muslimin, jika menteri yang ada sekarang
meletak jawatan, naiknya menteri yang baru tidak akan mengubah
situasi selama mana sistem yang diterapkan tetap sistem sekular,
bukannya sistem Islam. Sememangnya menteri yang berkenaan
wajib bertanggungjawab dan menyiasat dengan serius untuk
menyelesaikan kes ini, dan jika mereka perlu meletak jawatan, ia
bukanlah kerana hilangnya enjin pesawat F-5E, tetapi kerana
hilangnya amanah Allah dalam diri mereka kerana tidak
menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahan. Itulah sebabnya
mereka perlu berundur dan digantikan dengan seorang Khalifah
yang akan menerapkan hukum dari Kitabullah dan Sunnah
RasulNya. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment