Thursday, December 10, 2009
Kita Doa Sampai Pecah Perut... !!!
[SN198] Sejak kebelakangan ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diserang dengan begitu hebat oleh UMNO. Salah satunya adalah isu ‘doa laknat’ yang beliau tujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ini adalah ekoran keengganan Najib memberikan wang royalti minyak kepada Kelantan. Nik Aziz melahirkan keyakinannya bahawa Allah akan memakbulkan doa orang dizalimi dalam hal ini. Pelbagai komen dari pelbagai pihak diberikan terhadap isu ini yang mana seperti biasa menunjukkan fanatisme terhadap pemimpin masing-masing. Walaupun diserang bertubi-tubi, Menteri Besar Kelantan ini sepertimana biasa tetap kental dengan pendiriannya, malah dalam ceramah terbarunya di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar, beliau sekali lagi turut melafazkan doa khusus kepada Najib yang berbunyi, “Ya Allah ya Tuhanku, tolong buka hati Perdana Menteri Malaysia supaya Perdana Menteri Malaysia perbetulkan fikirannya (lalu) beri (royalti minyak) petrol (milik) Kelantan). Minta perbetulkan pandangan Najib kalau dia berniat baik (dan) kalau berniat jahat (maka) musnahkannya. Kalau kamu (Najib) jahat, takkan nak suruh saya doa ya Allah, kau tolonglah orang yang jahat” [harakahdaily 06/12/09].
Terdahulu, Nik Aziz menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti seperti dituntut kerajaan negeri sebagai “melanggar keadilan asasi”. “Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi. Selagi tidak bagi (royalti petroleum), kita doa sampai pecah perut orang itu," kata Mursyidul Am PAS itu [harakahdaily]. Begitulah sekilas fakta yang menghiasi senario politik terbaru tanah air. Semoga Sautun Nahdhah kali ini dapat memberi sedikit pencerahan berhubung isu yang masih hangat diperkatakan ini.
Doa Adalah Ibadah
Sesungguhnya doa adalah satu ibadah, malah ia merupakan inti kepada ibadah. Hal ini adalah berdasarkan ayat,
“Dan Tuhanmu berfirman, ‘Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari ibadah kepadaKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina” [TMQ al-Mu’min (40):60].
Dalam ayat ini, Allah SWT telah menjadikan doa sebagai satu ibadah. Allah menyebut doa dengan lafaz “ibadah kepadaKu” setelah menyatakan “berdoalah kepadaKu”. Apa yang diungkapkan dalam ayat ini persis seperti sabda Rasulullah SAW,
“Doa adalah inti ibadah” [HR at-Tirmizi].
Justeru, doa adalah satu ibadah yang sangat-sangat dituntut oleh Allah dan Rasul dan Allah sangat mencintai hambaNya yang berdoa kepadaNya. Berdoa hukumnya sunat, tetapi barangsiapa yang tidak berdoa kepada Allah kerana sombong, maka ia termasuk ke dalam golongan yang disebutkan oleh Allah,
“(mereka) akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina”.
Doa merupakan permohonan dari seorang hamba kepada Allah SWT. Doa adalah semata-mata permintaan/permohonan dari sang hamba, sementara hak untuk mengurniakan atau memakbulkan doa adalah di sisi Allah sahaja. Ini sesuai dengan firman Allah di atas,
“(Dan) Tuhanmu berfirman, ‘Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan bagimu".
Allah memerintahkan kepada kita agar berdoa kepadaNya, namun ini tidak sekali-kali bermakna bahawa kita boleh meninggalkan hukum sebab-akibat (causality). Dengan kata lain, kita wajib berusaha untuk mendapatkan sesuatu atau menjauhkan sesuatu, dan dalam masa yang sama kita berdoa kepada Allah. Contohnya, kita yakin (secara pasti) bahawa Allah adalah Zat yang mendatangkan dan menetapkan sebanyak manakah rezeki untuk kita, namun ini tidak bermakna kita boleh meninggalkan hukum bekerja. Kita wajib bekerja dan dalam masa yang sama disunatkan berdoa kepada Allah agar diberikan rezeki yang banyak dan halal. Inilah yang dinamakan sebagai hukum sebab-akibat, yakni kita wajib bekerja agar rezeki yang Allah telah tetapkan (di Luh Mahfuz) itu ‘sampai’ kepada kita. Oleh itu, jika Nik Aziz berdoa kepada Allah agar memecahkan perut Najib, maka jika perut Najib benar-benar pecah, hal ini telah pun tertulis di Luh Mahfuz. Dan sekiranya perut Najib tidak pecah, hal ini juga telah pun tertulis di Luh Mahfuz. Namun, untuk perut itu pecah, mestilah ada sesuatu (hukum sebab-akibat) yang akan memecahkannya, seperti ia terkena suatu penyakit, terkena panah, tombak, tertusuk pisau, garpu dan sebagainya.
Doa Orang Yang Dizalimi Terhadap Orang Yang Menzalimi
Sebagaimana yang telah dijelaskan, isu doa ini timbul rentetan dari keengganan Perdana Menteri untuk memberikan royalti minyak kepada Kelantan. Justeru, Menteri Besar Kelantan itu merasakan bahawa beliau, dan rakyat Kelantan secara amnya telah dizalimi. Persoalan yang telah mengkecohkan satu Malaysia di sini adalah, bolehkah melakukan doa laknat ke atas pemimpin yang telah menzalimi rakyatnya? Sememangnya terdapat hadis di mana Rasulullah SAW bersabda,
“Takutlah pada doa orang-orang yang teraniaya kerana sesungguhnya antara mereka dan Allah tidak ada hijab (penghalang)” [HR Bukhari].
Mafhum hadis ini adalah jelas, cuma Rasulullah tidak menjelaskan di sini bagaimanakah bentuk doa yang perlu dilakukan oleh orang yang teraniaya tersebut, sama ada bolehkah dilakukan doa melaknat si penzalim, atau hanya sekadar berdoa agar Allah menjauhkan atau menghilangkan kezaliman dari orang tersebut? Oleh itu, hadis-hadis lain hendaklah dirujuk untuk mendapatkan kefahaman yang lebih baik.
Jika kita meneliti sirah Nabi SAW, kita akan mendapati bahawa terdapat keadaan di mana Rasulullah telah berdoa agar Allah memusnahkan musuh-musuh Islam. Namun begitu, hakikat ‘musuh Islam’ yang didoakan oleh Rasulullah adalah musuh-musuh yang beragama selain Islam (kafir), seperti golongan Quraisy, pasukan Ahzab dan musuh-musuh Islam lainnya. Ada kalanya Rasulullah berdoa dengan menyebut nama musuh Islam tersebut secara khusus seperti Bani Sulaim. Diriwayatkan bahawa Amir bin Malik, ketua Bani Sulaim meminta bantuan kepada Rasulullah untuk menghadapi musuh kaumnya. Rasulullah menerima permohonannya dan mengirim 70 orang sahabat yang terdiri dari para Qura (ahli dalam bacaan Al-Qur’an). Kaum Bani Sulaim kemudian menawan para sahabat ini di sebuah tempat yang bernama Bir Ma’unah dan kemudian membunuh mereka. Kejadian ini telah menyebabkan Rasulullah mengalami kesedihan yang mendalam. Abdullah bin Mas’ud ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah membaca Qunut Nazilah selama satu bulan ‘mengutuk’ Bani Sulaim [lihat Sahih Bukhari 2:586].
Rasulullah juga pernah berdoa melaknat Bani Ri’l, Zakwan dan Usayya kerana kederhakaan mereka kepada Allah dan RasulNya, di mana baginda berdoa
“Ya Allah laknatillah Ri’l dan Zakwan dan Usaiyya (bani-bani Arab) kerana mereka derhaka kepada Allah dan RasulNya” [Riyadhus Salihin, Imam Nawawi hal. 287].
Di samping menyebut nama, ada kalanya Rasulullah berdoa terhadap musuh Islam tanpa menyebut nama secara khusus. Oleh yang demikian, secara amnya ‘musuh Islam’ boleh termasuk orang kafir, orang munafik atau orang yang mendakwa dirinya Islam, selama mana mereka adalah golongan yang jelas lagi nyata memusuhi Islam.
Namun demikian, terdapat juga keadaan di mana Rasulullah tidak mendoakan kemusnahan kepada mereka yang memusuhi baginda atau yang memusuhi Islam. Contohnya, Rasulullah pernah berdoa agar Allah memberikan petunjuk (agar masuk Islam) salah satu di antara dua Umar (yakni Umar bin Hisyam iaitu Abu Jahal, dan Umar bin al-Khattab). Walaupun kedua-dua Umar ini merupakan dua orang yang bersungguh-sungguh memusuhi Islam dan memusuhi baginda sendiri sehingga ke tahap ingin membunuh baginda, namun Nabi SAW tetap mendoakan kebaikan kepada salah seorang darinya. Dan ternyata Allah menerima doa baginda dengan memasukkan hidayahNya ke dalam diri Umar al-Khattab. Disebutkan juga di dalam kitab tarikh bahawa sekembalinya dari Thaif di mana Rasulullah telah dihalau dengan begitu teruk sekali oleh pemimpin Thaif, maka ketika itu datanglah malaikat yang telah bersedia untuk memusnahkan penduduk Thaif, hanya menunggu perintah dari Rasulullah sahaja untuk malaikat tersebut berbuat demikian. Kata Malaikat,
“Ya Rasulullah! Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan kaummu kepadamu dan aku adalah malaikat penjaga gunung. Sesungguhnya Dia telah mengutusku kepadamu supaya engkau perintahkan kepadaku apa yang kau kehendaki. Jika engkau mahu supaya aku lipatkan kedua gunung yang besar ini di atas mereka, tentu aku kerjakan” [Munawar Khalil, Kelengkapan Tarikh Rasulullah I/365].
Namun ternyata Junjungan Besar ini tidak mahu agar Allah memusnahkan Thaif dan penduduknya, tetapi sebaliknya peribadi yang mulia dan agung ini berdoa kepada Allah agar selepas ini akan lahir dari penduduk Thaif, keturunan yang akan beriman kepada Allah. Dalam keadaan baginda dizalimi sedemikian rupa, kekasih Allah ini tetap mendoakan kebaikan ke atas orang yang menzaliminya.
Jadi, persoalannya di sini adalah, adakah Najib termasuk dalam kategori ‘musuh Islam’ sehingga doa laknat ke atasnya diperbolehkan? Yang pasti, Rasulullah SAW pernah berdoa agar Allah memberikan kesusahan kepada pemerintah kaum Muslimin yang menzalimi umat Islam, walaupun peristiwa tersebut bakal terjadi sesudahnya. Di antaranya, Rasulullah berdoa
“Ya Allah barang siapa yang ditugaskan mengurusi masalah umat ini, lalu ia berlemah lembut terhadap mereka, maka berlemah lembut jugalah Engkau terhadapnya, dan barang siapa yang memberatkan (menyusahkan) mereka maka Engkau beratkanlah (susahkanlah) juga dia” [HR Muslim].
Sememangnya kita akui bahawa kerajaan yang ada adalah sebuah kerajaan yang zalim kerana menerapkan sistem kufur ke atas kita semua. Mereka sedang memikul dosa besar di sisi Allah kerana mereka tidak menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahan mereka. Dalam semua aspek kehidupan, mereka menerapkan undang-undang sekular buatan tangan mereka sendiri ke atas kita semua, manakala undang-undang Allah mereka ketepikan. Minyak adalah termasuk dalam kategori al-milkiyah al-ammah (hak milik umum) yang merupakan hak rakyat dan haram bagi pemerintah untuk mengaut keuntungan darinya. Tetapi ternyata pemerintah tidak memperdulikan hukum syara’ dalam hal ini lalu mengaut segala keuntungan dari hasil minyak untuk memenuhi kantong-kantong mereka dan kroni mereka. Justeru, kita sememangnya termasuk dalam orang-orang yang dizalimi, kerana hak kita telah dirampas. Maka sewajarnyalah kita berdoa kepada Allah bagi menghilangkan kezaliman ini.
Doa Sebagai Fikrah, Memerlukan Thariqah Yang Benar
Islam adalah aqidah yang memancarkan nidzam (peraturan). Nidzam inilah yang merupakan hukum-hukum syara’ yang telah digali dari dalil-dalil yang terperinci. Islam telah menjelaskan di dalam peraturan tersebut akan tatacara pelaksanaan hukumnya yang berupa hukum syara’. Hukum-hukum syara’ yang menjelaskan tatacara pelaksanaan dinamakan thariqah, dan yang lain adalah fikrah. Hukum-hukum syara’ yang menjelaskan tatacara pelaksanaan terhadap pemecahan masalah tersebut, pemeliharaan aqidah dan pengembangan dakwah merupakan thariqah. Berdasarkan hal ini maka thariqah Islam merupakan bahagian yang tidak terpisah dari fikrahnya. Maka di dalam dakwah Islam tidak dibolehkan mencukupkan diri hanya dengan cara menerangkan fikrah-fikrahnya sahaja, akan tetapi juga harus mencakup thariqah. Inilah yang dikatakan sebagai mabda’ (ideologi) yang terdiri dari aspek fikrah dan thariqah. Keimanan kepada thariqah sama halnya dengan keimanan kepada fikrah. Kerana itu sudah menjadi kewajipan antara fikrah dan thariqah terdapat suatu kesatuan yang tidak dapat dipisahkan, sehingga di dalam pelaksanaan fikrah Islam tidak digunakan cara-cara selain thariqah Islam, yang keduanya membentuk Islam yang diterapkan dan dikembangkan dakwahnya [Taqiyuddin an-Nabhani, Mafahim Hizbut Tahrir].
Thariqah adalah suatu aktiviti fizik, yakni ia bukan sekadar kefahaman, tetapi ia adalah suatu yang akan menghasilkan sesuatu secara nyata. Kita ambil kesalahan ‘mencuri’ sebagai contoh. Dari segi fikrah, kita memahami bahawa mencuri adalah haram dan hukuman ke atasnya adalah potong tangan. Justeru dari segi thariqah, wajib ada sebuah mahkamah yang akan menjalankan hukum Allah untuk memotong tangan (secara fizik) ke atas si pencuri tadi. Di dalam Islam, kedua-dua aspek fikrah dan thariqah ini tidak boleh dipisahkan. Memisahkannya bererti dosa, kerana telah melanggar ketetapan Allah. Jika kita mengambil doa dan jihad sebagai contoh, kita akan dapati bahawa doa adalah satu perbuatan yang dapat menghasilkan nilai rohani, dan jihad sebagai suatu perbuatan fizik yang juga dapat menghasilkan nilai rohani. Doa, walaupun merupakan perbuatan fizik, akan tetapi akan mendatangkan hasil yang bukan dalam bentuk fizik, iaitu pahala. Berbeza halnya dengan jihad kerana jihad adalah memerangi musuh yang merupakan perbuatan fizik yang pasti akan menghasilkan sesuatu yang nyata, iaitu berupa penaklukan benteng-benteng, penahanan kota-kota atau membunuh musuh dan seumpamanya. Oleh kerana itu, jihad adalah thariqah iaitu merupakan perbuatan yang nyata yang akan menghasilkan sesuatu yang bersifat fizik, manakala doa (sebagai fikrah) pula tidak dapat dijadikan thariqah untuk berjihad walaupun seorang mujahid senantiasa berdoa kepada Allah. Oleh itu, tidak boleh bagi sesebuah Negara melawan musuh dengan cara hanya berdoa kepada Allah atau dengan hanya membaca al-Quran atau Sahih Bukhari, akan tetapi Negara harus menggunakan jihad, iaitu memerangi musuh dengan cara fizik, dan dalam masa yang sama mereka berdoa kepada Allah agar memberikan kemenangan.
Dalam membincangkan hal ini, kita mesti memahami bahawa kerajaan hari ini telah mengenepikan banyak aspek fikrah dan meninggalkan keseluruhan aspek thariqah Islam di dalam pemerintahan. Bukan sahaja minyak, gas asli dan galian-galian lainnya juga tidak pernah diberikan kepada rakyat sebagaimana sepatutnya. Kita juga dipaksa membayar untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan keamanan, walhal semua ini wajib disediakan oleh kerajaan secara percuma. Segala jenis hukum Islam juga langsung tidak diterapkan di dalam negara dan kesemuanya telah digantikan dengan undang-undang buatan sendiri. Justeru, dalam menghadapi semua ini, kita tidak boleh hanya berdoa kepada Allah agar Allah merubah keadaan buruk ini, malah kita wajib berusaha (sebagaimana Rasulullah berusaha) untuk mewujudkan sebuah Daulah Islam yang akan menjalankan keseluruhan aspek fikrah dan thariqah Islam.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sistem Federalisme yang diamalkan di Malaysia adalah terhasil dari Perlembagaan ciptaan si kafir Lord Reid, yang telah membahagikan kuasa kepada kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri. Sesungguhnya Al-Quran dan Sunnah tidak pernah membahagikan kuasa Negara Islam kepada kuasa pusat dan kuasa negeri. Daulah Islam adalah Daulah yang satu, dan hukum Allah yang sama dilaksanakan ke atas setiap warganegara Daulah, tidak kira seluas mana Daulah Islam sekalipun. Selama mana tanah itu adalah termasuk dalam Daulah, maka minyak yang ada di situ adalah hak setiap warganegara Daulah. Minyak adalah hak kaum Muslimin tidak kira di negara atau negeri mana ia berada. Ini adalah hukum Allah ke atas kita semua. Oleh itu, kita mesti mengimani bahawa minyak di Sarawak bukan hak rakyat Sarawak semata-mata, tetapi ia adalah hak umat Islam dan minyak di Terengganu bukan sahaja hak rakyat Terengganu, tetapi ia adalah hak umat Islam. Justeru, kita memerlukan Daulah Khilafah, yang akan memberikan minyak Kelantan kepada umat Islam secara keseluruhannya, bukan hanya kepada rakyat Kelantan semata-mata. Maka, berdoa dan berusahalah agar Khilafah segera tegak, agar keseluruhan umat Islam tidak lagi dizalimi oleh pemimpin yang zalim di bawah sistem sekular yang ada sekarang. Semoga Allah mengabulkan doa kita semua. Amin Ya Rabbal ‘Alamin
www.mykhilafah.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment