Saturday, November 29, 2008

KEPADA SIAPA HUKUM HARUS BERPIHAK?

(Bahagian 1)

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan ahli-ahli politik supaya tidak mencampuri urusan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung tugas penguatkuasaan yang dijalankan. Ini merujuk kepada terdapatnya di kalangan ahli-ahli politik yang menggunakan pengaruh mereka untuk membatalkan saman yang telah dikeluarkan kepada orang ramai. Ada yang datang sambil membawa 100 saman dan meminta PDRM membatalkannya. Tambah Musa, ini akan menyukarkan PDRM untuk melaksanakan tugasnya secara profesional [Utusan Malaysia 27/11/08].

Kita juga pasti masih ingat kes pembunuhan Norita Shamsudin dan wanita Mongolia Altantuya Sharibu. Kedua-dua kes ini dikaitkan dengan konspirasi peringkat tertinggi. Tetapi hingga ke hari ini tiada VVIP yang didakwa apatah lagi disabitkan kesalahan. Kes ini persis kes Sum Kuning di Jogjakarta, Indonesia sekitar tahun 70an. Sum seorang penjual telur telah diperkosa oleh segerombolan pemuda yang diantaranya anak pemimpin tertinggi Indonesia. Sum yang menuntut peradilan justeru sebaliknya didakwa mencemarkan nama baik keluara pemimpin.

Perkembangan politik Malaysia selepas PRU12 memperlihatkan bangsa-bangsa lain sudah berani mempersoalkan status quo bumiputera, samada ia lahir dari parti komponen kerajaan mahupun pembangkang. Lebih menarik adalah reaksi pemimpin Melayu Islam. Ada sesetengahnya mendedahkan pekong assobiyah bangsa mereka tidak rela ketuanan Melayu disanggah. Lebih bobrok lagi dipihak yang lain pula, umpama sudah hilang pedoman Islam hingga merelakan bukan Islam terlibat dalam penggubalan hukum mahupun terlibat dalam pemerintahan atas tiket demokrasi. Sampai isu pengharaman arak menjadi hukum yang boleh ditarik sorong.

Terbaru, Malaysiakini melaporkan PKR bersedia mengembalikan kekebalan institusi raja jika berjaya memerintah negara sebagai memenuhi semangat Raja Berperlembagaan, kata presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kongres parti itu hari ini.Mengulangi muafakat bersama yang ditandatangani ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat untuk memberikan komitmen terhadap kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, bahasa Malaysia dan agama Islam, beliau berkata:"Malah kita bersedia mengembalikan kekebalan Raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan. Inilah erti sebenar harapan baru yang kita bawa."

Rabu lepas, Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar bertitah supaya kekebalan daripada tindakan undang-undang dikembalikan kepada kerabat diraja bagi membantu mereka berfungsi dengan berkesan sebagai pelindung perlembagaan.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bagaimanapun berkata, perkara itu bukan penting untuk dibincangkan oleh jemaah menteri kerana ia tidak dibangkitkan atau dipersetujui oleh Majlis Raja-raja.

Nampaknya NGO2 semakin berani di era Pak Lah. Pejuang-pejuang emansipasi menuntut hukum yang bukan-bukan kononnya untuk membela wanita sampai mencadangkan hukuman cawat besi. Tetapi dalam masa yang sama mereka bangga melihat wanita menjual kehormatan dengan mendedahkan aurat dan sebagainya. Terbaru apabila NGO bukan Islam berani mempersoalkan Fatwa berkenaan Pengkid.

Satu isu yang mungkin sesetengahnya merasakan sudah lapuk walhal ianya masih lagi menjadi permasalahan besar yang belum selesai iaitu tingginya indeks jenayah di Malaysia. Walaupun mereka tidak dapat menafikan hakikat betapa sistem hari ini gagal menjadi penyelesaian masalah kehidupan ini, tetapi mereka masih menafikan kemampuan Islam untuk menyelesaikannya. Pelbagai alasan diberikan antara yang paling popular adalah masyarakat majmuk. Jelas ia alasan dari si jahil agama. Tetapi lebih sedih apabila ada yang bersikap defensif apologetik dengan menawarkan samada hukum Islam atau hukum kufur untuk dipilih oleh bukan Islam.

Melihat begini rancu- satu pihak yang mendirikan solat tapi jelas sekular, satu pihak golongan kufur yang menolak hukum Islam, dan satu pihak yang terpaksa berkompromi- hakikatnya kepada siapa sepatut hukum berpihak? Adakah kepada kemaslahatan ummat, atau kepada sokongan politik, kepada raja, atau bersandarkan keputusan yang popular, atau kepada pemimpin yang memegang kuasa, atau kepada si bukan Islam, atau kepada ummat Islam?

.... Karena itu, janganlah kalian takut kepada manusia, tetapi takutlah kepada-Ku. Janganlah kalian menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Siapa saja yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang allah turunkan, mereka itu adalah orang-orang yang kafir. (QS al-Maidah [5]: 44).

Bersambung...



No comments: