Monday, May 24, 2010
DIPENJARA KERANA POLIGAMI
Kisah poligami Bung Mokhtar Radin dengan pelakon Zizie Izzette hingga mengakibat mereka dihukum denda atau penjara, menimbulkan pelbagai reaksi. Malah ia sampai ditertawa bukan Islam. Menjadikan kes poligami ini sebagai kajian, sekiranya kita perhati dengan teliti, banyak lagi hukum Islam yang cuba disesuaikan dengan konteks idealogi sekular kapitalisme di Malaysia. Ia meliputi aspek:
1) Perundangan dan dasar
2) Nilai dan budaya
1) Perundangan dan Dasar
Perundangan dan dasar ideologi kapitalisme secara asasnya lahir dari aqidah yang bertentangan dengan Islam. Walaubagaimana, ada juga perundangan dan dasar yang hukumnya bersifat universal, maka ia diperbolehkan oleh Islam. Tetapi ada banyak hukum-hukum perundangan dan dasar yang bertentangan sama sekali dengan Islam. Maka banyaklah, pihak yang cuba mengabsahkan perudangan ini kerana melihat banyaknya kemaslahatan dari dasar kufur ini kepada umat Islam. Saya sekadar memberikan sebuah contoh hukum:
Ramai pihak yang melihat kebaikan usaha kerajaan mengawal harga barang agar tidak melambung. Sedang kenaikan harga barang juga berlaku pada zaman Rasulullah.
Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah,
”Ada seorang lelaki datang lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga.’ Baginda menjawab,’(Tidak) justeru biarkan sahaja’. Kemudian baginda didatangi lelaki lain lalu mengatakan, ’Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga.’ Baginda menjawab,’(Tidak) tetapi Allah yang berhak menurunkan dan menaikkan.’”
Diriwayatkan oleh Anas .a:
“Pada masa Rasulullah harga-harga melambung tinggi, lalu orang ramai mencadangkan kepada Rasulullah ‘Wahai Rasulullah, Kenapa tidak harga ini engkau tetapkan saja.’ Kemudian baginda besabda ‘Sesunguhnya Allah-lah Yang Maha Mencipta, Maha Menggenggam, Maha Melapangkan, Maha Memberi Rezeki, yang berhak menetapkan harga ini. Dan aku mahu menghadap Allah Azza Wa Jalla tanpa seorang pun yang menuntut kepadaku kerana kezaliman yang telah aku lakukan terhadap dirinya, baik dalam hal darah atau harta.”
Sekiranya kita memahami sistem ekonomi Islam, ia adalah 100% berbeza dengan asas dan praktik ekonomi kapitalisme hari ini. Tetapi, kita dapati akibat cuba menyesuaikan Islam mengikut ideologi kapitalisme, maka ramailah yang membenarkan kawalan harga kerana melihat maslahah yang perlu dicapai.
2) Aspek Nilai dan budaya
Dalam kapitalisme, nilai selain material bukanlah suatu yang diiktiraf. Malah budaya masyarakat yang diperintah oleh ideologi kapitalisme seperti Malaysia tentulah tidak sama dengan masyarakat Islam dalam khilafah Islam. Sebagai contoh, dalam pembahagian wang zakat, golongan gharimin (yang berhutang) adalah layak menerima zakat. Tetapi realitinya dalam sistem kapitalisme seperti di Malaysia, terlalu ramai orang yang tidak mampu membayar hutang. Buktinya, rujuklah AKPK. Apakah ini nilai dan budaya dalam kehidupan Islam sebegini rupa sehingga orang berhutang sampai 20 -25 tahun, kemudian tidak mampu membayar, hutang, atau perlu diinsuranskan? Ini sama sekali nilai dan budaya yang 100% bertentangan dengan hadharah Islam.
Kes ini : POLIGAMI
Barat menyerang Islam melalui poligami. Ada pula para pemikir Islam menjawab serangan tersebut, tetapi dengan cara defensif apologetik, membenarkan poligami dengan pelbagai syarat yang dibuat-buat. Perlu memenuhi pelbagai syarat yang sebenarnya tidak ada dalam Islam. Dalam hal ini Nabi bersabda:
Tiada gunanya orang mempersyaratkan syarat-syarat yang tidak ada di dalam Kitabullah. Syarat apapun yang tidak ada dalam Kitabullah adalah batil meskipun seratus syarat. Ketetapan Allah lebih layak (diikuti) dan syarat Allah lebih kuat (dipegangi) (HR al-Bukhari, Malik dan Ibn Majah)
Sebenarnya, dalam hampir semua aspek kehidupan dan perundangan hari ini, apabila ia melibatkan kontradiksi dan aspek hukum Islam, maka ianya disesuaikan dengan aplikasi dalam sistem kufur kapitalisme. Jika kita mempunyai pemikiran Islam yang jernih, kita boleh melihat satu persatu perkara ini dan kita akan melihat bahawa ideologi kapitalisme ini telah meracuni jauh dan merayap ketubuh umat Islam hatta kepada pemikiranya tanpa kita sedar. Inilah tugas berat pendakwah hari ini, untuk membuang jauh-jauh racun kapitalisme ini dari tubuh umat Islam yang sudah koma.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment