Monday, November 23, 2009

Berdebat Untuk Demokrasi atau Islam?



Jika membaca pandangan seorang sekularis dari parti pemerintah, dengan mudah kita faham ia orang kerajaan. Tetapi jika yang memberi pandangan adalah golongan akademik, ramai yang sukar untuk membezakan samada ia pandangan yang Islami atau sekular. Malah ramai yang menganggapnya pandangan ilmiah dari seorang ilmuan, yan tidak terjangkau dek pemikiran orang biasa. Pandangan-pandangan tersebut dijadikan asas perbualan dan pertimbangan dalam membuat tindakan.

Pandangan Dr Aziz Bari dalam petikan berikut mencuit minda saya. Petikannya...

Bercakap dalam sesi pertama program anjuran Institut Kajian Dasar pagi ini, beliau berkata masyarakat Malaysia sendiri masih belum dapat menerima budaya debat yang menyuburkan demokrasi.

Dr Aziz berpandangan budaya debat masih belum cukup subur di Malaysia untuk mecapai tahap demokrasi yang sedemikian tinggi. Ya... dalam negeri yang kuat demokrasinya, debat dan talk show yang bersifat ilmiah adalah suatu yang diperlu disuburkan. Ini kerana mereka berpandangan dengan cara ini, mereka dapat menghasilkan keputusan yang terbaik lalu digubal sebagai peruntukan undang-undang.

Dalam Islam juga menggalakkan penghujahan, tetapi penghujahan dalam Islam sama sekali berbeza dengan debat dalam sistem sekular demokrasi. Kerana dalam Islam, penghujahan hanyalah dalam ruang lingkup ijtihadiah yang dibenarkan syara'. Sedangkan dalam sistem demokrasi, mereka berhujah apa saja permasalahan yang timbul dan mengiktiraf suara manusia sebagai pandangan yang terbaik. Saya melihat, budaya ini sebenarnya sedang disuburkan di Malaysia, tetapi sayangnya dalam kerangka demorasi, dan bukannya Islam.

Kita sepatutnya jelas, bahawa yang perlu diseburkan adalah Islam bukannya kapitalisme. Menyeru kepada demokrasi hakikatnya hanya memperkukuh kapitalisme, kerana ianya adalah sistem dalam ideologi kapitalisme. Maka, pandangan-pandangan sebegini sebenarnya adalah pandangan yang lahir dari pemikiran politik ideologi kapitalisme dan bukannya Islam.

Bacalah ye...

-----------------------------------------------------------------------------------------------


Sistem dua parti: Pakatan perlu tempuhi jalan sukar...
Salhan K Ahmad
Nov 21, 09
10:18pm
Usaha untuk mewujudkan Pakatan Rakyat sebagai alternatif masih menerima kekangan daripada sistem warisan BN, manakala masyarakat Malaysia sendiri masih belum menyedari keperluan untuk mengamalkan sistem dua parti seperti yang diuar-uarkan.

Maka Pakatan masih perlu menempuh jalan sukar sebelum dapat melaksanakan sistem tersebut di negara ini, sekiranya pendapat beberapa ahli-ahli panel sebuah simposium mengenainya hari ini dijadikan ukuran.

Antara penghalang utama adalah ketiadaan budaya politik yang membolehkan sistem berkenaan dijalankan, kata profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Aziz Bari..

Bercakap dalam sesi pertama program anjuran Institut Kajian Dasar pagi ini, beliau berkata masyarakat Malaysia sendiri masih belum dapat menerima budaya debat yang menyuburkan demokrasi.

"Contohnya kalau seorang exco menyerang kerajaannya sendiri, masyarakat masih melihat perkara ini sebagai tindakan yang tidak betul, jadi bagaimana kita boleh melihat sistem dua parti dijalankan?

"Kita tidak boleh meniru hasil yang sama di negara lain seperti United Kingdom kerana kita tidak mempunyai budaya politik yang sama, ataupun konvensyen yang sama apabila sesuatu undang-undang dilaksanakan," katanya.

Menyetujui pandangan itu ialah seorang lagi panelis, Dr Thomas Stuart Knirsch yang menegaskan bahawa penanda aras yang jelas untuk melihat sistem dua parti dijalankan adalah kesediaan rakyat sendiri untuk menerima persekitaran politik tersebut.

Perubahan sosial, ekonomi


Kajian perlu dilakukan untuk menilai kesanggupan rakyat dalam menerima pakai sistem tersebut dengan mengambil kira realiti semasa, jelasnya lagi dalam sesi khusus berkaitan konsep dan amalan sistem itu.

"Perubahan-perubahan sosial dan ekonomi yang berlaku di negara ini mewujudkan kategori baru di kalangan pengundi dan juga golongan yang perlu diwakili mereka," katanya lagi.

Pandangan ini disambut oleh naib presiden PKR, R Sivarasa, yang berkata usaha untuk mewujudkan sistem dua parti telah wujud sejak 1960-an tetapi usaha ini telah ditekan oleh BN.

"Ini dilakukan melalui undang-undang ISA, tekanan ke atas kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun untuk membolehkan sistem satu parti dominan saja yang wujud," katanya lagi.

Tambahnya, Pakatan Rakyat perlu melakukan usaha berterusan bagi memastikan sistem dua parti dilaksanakan.

"Kita perlu pastikan kebebasan institusi-institusi seperti polis dan juga pemisahan kuasa cabang-cabang demokrasi.

"Satu lagi aspek yang perlu ditangani adalah ketidakseimbangan di antara kerajaan persekutuan dan negeri.

'Negeri Pakatan dihukum'


"Negeri-negeri memberi sumbangan yang banyak kepada kerajaan persekutuan tetapi tidak berkuasa untuk menentukan perkara-perkara berkaitan pendidikan atau kehidupan awam," katanya lagi.

Teng Chang Khim, speaker DUN Selangor dalam sesi seterusnya pula berkata kerajaan negeri itu, yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya 2008, kini dihukum oleh kerajaan BN persekutuan.

"Sebelum 8 Mac, semua peruntukan pembangunan disalur melalui pejabat tanah dan kerajaan negeri dapat tahu berapakah jumlah yang disalurkan.

"Tetapi selepas 8 Mac, kerajaan persekutuan membentuk Pejabat Pembangunan Negeri. Ini satu tawaran yang tidak adil kepada kerajaan negeri, jadi kita perlukan tawaran baru," katanya lagi.

Jelasnya, ini juga merupakan sebab utama kerajaan negeri itu mengusulkan penubuhan satu suruhanjaya geran bebas untuk menyalur peruntukan daripada pusat.

"Tetapi melihat kepada permusuhan antara kerajaan negeri dan pusat sekarang, nampaknya jauh lagi perjalanan (usaha) ini.

Exco kanan kerajaan PAS Kelantan, Datuk Husam Musa pula berkata, usaha tersebut memerlukan "pertukaran menyeluruh" dengan set nilai yang berbeza daripada BN.

Gabungan lemah

"Kita perlukan satu sistem untuk tukar keadaan ini dengan memperkuat pakatan kita," katanya lagi.

Jelasnya, Umno dan BN telah mendapat kesedaran daripada pengundi pada pilihan raya 2008 dengan "menukar" Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, perubahan itu bagaimanapun tidak dilakukan secara menyeluruh oleh BN kerana masih mengawal institusi-institusi yang masih dapat mengekalkan kuasa mereka.

Katanya lagi, ini diperhatikannya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih "takut" untuk mengadakan pilihan raya kecil di DUN Kota Seputeh.

Beliau mendakwa, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM juga telah 'memerangkap' dua ADUN di Perak, tetapi menurutnya, dua orang ini kemudian nampaknya seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan.

Tambahnya Pakatan Rakyat masih dilihat sebagai gabungan yang lemah, kesan daripada stigma yang ditanam oleh BN.

Jelasnya, Pakatan Rakyat juga perlu menghadapi stigma berkaitan Dasar Ekonomi Baru serta isu-isu melibatkan orang Melayu dan agama Islam.

Perlu beri penerangan

"Satu lagi stigma adalah PAS akan menubuhkan kerajaan Islam sekiranya Pakatan berjaya membentuk kerajaan pusat," katanya lagi.

Turut berbincang dalam sesi khas mengenai hubungan kerajaan pusat dan persekutuan ini adalah ADUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad yang berkata usaha perlu disegerakan untuk memperbaiki perkhidmatan di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan.

"Kita tidak boleh tunggu sehingga rakyat meluat lagi," katanya, sambil menjelaskan mengenai usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memberi penerangan berkaitan "hukuman" yang dikenakan oleh kerajaan pusat.

"Rakyat di kawasan saya contohnya masih berfikir mereka tidak perlu lagi membayar tol selepas Pakatan ambil alih kerajaan," katanya.

Sebelum itu, Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan ucapan dasarnya di simposium tersebut turut menyuarakan perkara yang sama, dan menegaskan bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan oleh Pakatan untuk menjadi sistem dua parti itu satu realiti.

Manakala setiausaha agung Pakatan, Salahuddin Hashim juga tidak begitu optimistik mengenai sistem dua parti menjadi realiti, antaranya kerana hak-hak negeri tidak dihormati oleh Putrajaya.

Sebagai contoh, katanya ialah negeri-negeri terikat kepada Majlis Tanah Negara, yang menghalang kebebasan kerajaan negeri.

Perak, katanya, adalah antara negeri yang berdepan dengan perkara itu.

Salahuddin berkata, walaupun tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri, tetapi kerana adanya majlis tersebut, maka kerajaan negeri tersebut tidak dapat melaksanakan apa yang dikehendakinya.

No comments: