Indonesia mahu bersama Malaysia buktikan Islam seiring demokrasi: Susilo
KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, berkata negara itu ingin bersama-sama Malaysia membuktikan kepada dunia bahawa agama Islam adalah seiring dengan demokrasi moden.
Beliau berkata, republik itu juga mahu bersama negara Islam lain membangunkan satu model dan membuktikan bahawa Islam juga mempunyai nilai yang dimiliki peradaban lain. "Tun Musa Hitam betul, Indonesia seperti Malaysia ingin membuktikan tidak ada konflik antara demokrasi dan Islam. Saya baru saja bercakap di Universiti Harvard bahawa tidak benar antara Islam dan demokrasi itu tidak seiring. "Mari kita buktikan bahawa nilai Islam juga memiliki nilai yang dimiliki peradaban lain," katanya pada majlis makan tengah hari sempena lawatan rasmi beliau ke negara ini di sini, hari ini.
Majlis itu dianjurkan Majlis Promosi Hubungan Antara Malaysia-Indonesia yang dipengerusikan Musa. Turut hadir pada majlis itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Terdahulu, berucap mengalukan kehadiran Presiden Indonesia itu, Musa berkata, kejayaan Susilo memenangi pilihan raya presiden untuk penggal kedua secara berturut membuktikan demokrasi boleh berlangsung sekalipun di negara Islam yang sedang membangun.
"Nama SBY (Susilo Bambang Yudhoyono) bila disebut membawa imej segera kepada kita bahawa beliau seorang Presiden Indonesia yang mengukir sejarah kerana dipilih secara demokrasi terbuka buat kedua kali.
"Beliau dapat membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa demokrasi juga membantu dalam memajukan masyarakat," katanya.
Musa menyifatkan kejayaan Susilo memenangi pilihan raya kali kedua itu diteguhkan dengan pemerintahan yang bukan saja berjaya meningkatkan ekonomi negaranya tetapi juga perubahan-perubahan lain yang dilakukan beliau. "Bapak Presiden buktikan beliau serius untuk kikis gejala negatif dalam pentadbiran Indonesia yang bawa akibat buruk kepada masyarakat Indonesia, sekarang kita nampak kejayaan (walaupun) perlahan-lahan tetapi maju ke depan," katanya lagi.
Dalam ucapannya itu yang didengari oleh lebih 200 tokoh daripada komuniti perniagaan Malaysia dan Indonesia, Susilo turut berterima kasih kepada masyarakat Malaysia atas sambutan yang begitu memberangsangkan.
"Saya datang dengan niat yang tulus membawa pesan persahabatan daripada rakyat Indonesia untuk rakyat Malaysia dan marilah kita jemput masa depan kita dengan optimisme yang tinggi dengan niat yang baik dengan pemikiran yang positif bahawa Malaysia dan Indonesia akan lebih kukuh dan bisa (boleh) bekerjasama lebih baik lagi, bahkan kita akan menjadi bahagian penting daripada perkembangan dunia yang makin aman, makin adil, makin demokratis," kata beliau.
Susilo juga berkata, beliau menghormati Malaysia dalam pelbagai perkara dan banyak belajar daripada negara ini.
Presiden Indonesia itu tiba di sini semalam bersama isteri, Ani Bambang Yudhoyono dalam rangka lawatan rasmi dua hari. Malaysia adalah negara pertama yang dilawati beliau selepas mengangkat sumpah sebagai presiden buat penggal kedua Oktober lalu.
Sumber : Berita Harian, 13/11/09
Amat Hina Mereka Yang Menyamakan Islam Dengan Demokrasi
Betapa rosak dan hinanya cara berfikir para pemimpin umat Islam hari ini yang menyatakan Islam seiring dengan demokrasi. Inilah hasil dari pemikiran sekular yang tertancap kukuh di benak pemikiran para pemimpin ini. Sungguh malang bagi umat Islam hari ini apabila para pemimpin mereka tidak dapat membezakan antara hak dengan yang batil, tidak dapat memisahkan cahaya dan kegelapan dan yang paling hina, tidak dapat memilih dengan betul antara Islam dan kekufuran. Nampaknya musuh-musuh Islam telah berjaya menjadikan para pemimpin sekular ini jurubicara mereka ditengah-tengah kehidupan umat Islam hari ini. Mereka ini tidak lain merupakan produk Barat yang berjaya dicetak pemikirannya agar selari dan seiring dengan kehendak Barat.
Wahai para pemimpin sekular umat Islam! Apakah kamu sedar apa yang telah kamu perkatakan? Kamu begitu berani menyamakan Islam dengan sistem kufur demokrasi. Apakah kamu sedar bahawa tidak ada Deen yang lebih tinggi dari selain Islam. Sabda Rasulullah SAW: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya”. Hanya Islamlah satu-satunya ad-Deen/cara hidup yang diterima oleh Allah SWT.
"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam". [TMQ A-li ‘Imraan (3) :19].
"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi". [TMQ A-li ‘Imraan (3) : 85].
Dalil-dalil al-Quran dan hadith di atas begitu jelas! Lantas kenapakah kamu begitu berani menyamakan Islam dengan demokrasi?
Wahai para pemimpin sekular umat Islam! Islam adalah Deen yang datangnya dari Allah SWT sementara demokrasi adalah sistem pemerintahan yang diciptakan oleh manusia! Mana mungkin Islam seiring dengan demokrasi!
Wahai para pemimpin sekular! Tidakkan kamu sedar bahawa Rasulullah SAW diutus dengan ad-Deen yang haq berserta al-Quran mulia untuk diizharkan mengatasi agama / sistem kehidupan yang lain?
“Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”. [TMQ At-Taubah (9) : 33].
Janganlah kamu menambahkan lagi kehinaan ke atas kamu dengan terus mengekalkan dan mempertahankan sistem kufur Barat, malah menyamakannya dengan Islam!!
1 comment:
Salam,, saya setuju dgn saudara.. kalu begitu saudara e-mailkan kepada tuan guru nik aziz dan ustaz hadi.. kerana dia org telah jd bahan boneka yg takboleh buat apa2, dr sistem demokrasi negara kita ini.. wassalam..
Post a Comment