Monday, May 11, 2009

Tabik Spring untuk P. Uthayakumar: Masuklah Agama Islam

Hari demi hari dirasakan berlalu cukup pantas. Banyak urusan yang masih belum selesai sudah datang pula perkara lain yang perlu difikirkan. Terkadang sampai saya tidak sempat mengikut perkembangan politik tempatan dan juga antarabangsa apatah lagi perkembangan krisis ekonomi dunia.

Belum lagi hilang kesedihan mendengar berita dari Lembah Ferghana, kita dikejutkan pula dengan pembantaian ummat Islam di Lembah Swat. Ia mengingatkan saya persis kepada tragedy di Hama, Syria suatu masa dulu. Jika bercerita tentang tentang perkembangan politik tempatan, pastinya apa yang berlaku di Dewan Undangan Negari Perak masih merupakan topik hangat terutama bagi rakan-rakan dari Pakatan Rakyat. Barisan Nasional tidak habis-habis memainkan isu durhaka kepada sultan bagi mempertahankan tindakannya. Manakala Pakatan Rakyat menjunjung tinggi undang-undang sekular sebagai asas tindakan mereka. Sampai sekarang belum ada yang bercakap bahawa tindakan mereka adalah atas asas hukum syara’. Yelah…. Tuan Speaker pun beragama Hindu.

Akhbar-akhbar arus perdana tidak habis-habis menyiarkan krisis kepimpinan dalam PAS. Sebenarnya bagi mereka yang terlibat secara langsung dengan kepimpinan PAS, perdebatan antara Professional atau ulama’ adalah isu yang telah lama wujud cuma tidak diperbesarkan. Malah semasa PAS menawan Kelantan dahulu, ada pihak yang mempertikaikan kemampuan TG Nik Aziz sebagai MB. Krisis kembali lagi pada PRU yang lepas, dimana ramai ustaz-ustaz yang mempunyai pengaruh dalam masyrakat tidak terpilih sebagai calon tetapi diganti dengan golongan professional. Saya tidak berhasrat mencampuri urusan dalaman PAS, biarlah mereka urusakan sendiri. Walau bagaimana pun, saya berkeinginan memberi pandangan Islam berkenaan masalah ini secara neutral dalam tulisan saya yang akan datang, insyaAllah.

Tajuk utama Mingguan Malaysia kali ini ‘Saya (P. Uthayakumar) tidak akan berterima kasih’ menarik perhatian saya. Ketegasan beliau untuk tidak menandatangani surat perjanjian dan tidak mahu mengucapkan terima kasih kerana percaya beliau tidak bersalah buat saya tabik spring pada beliau. Ia mengingatkan saya kepada perjuangan Ching Peng yang sanggup masuk ke dalam hutan semata untuk memperjuangkan ideologi sosialismenya.


Kenapa saya katakan begitu?

Kerana Ching Peng dan Uthaya sama-sama tidak beriman, tetapi ada keyakinan kepada prinsip ideology yang mereka perjuangkan. Ajaran sosialisme mengajar Chin Peng bahawa selepas mati tiada kehidupan lain kecuali jasadnya akan tersintesis menjadi material lain, mungkin tanah atau fossil atau lain-lain. Walaupun ideology mereka bathil, keyakinan kepada ideology membuatkan mereka ini sanggup mengorbankan kesenangan hidup. Cuma sayangnya mereka tidakberiman kepada Allah swt.

Tetapi ini merupakan satu tamparan bagi kita sebagai seorang yang beriman atas balasan syurga neraka tetapi tidak mahu berjuang dan berkorban di jalan Allah. Apatah lagi yang masih gila mengejar harta, pangkat dan kesenangan dunia. Hatta, Allah jika kita menjadikan anak, isteri dan keluarga sebagai alasan sekali pun Allah menyatakan ini sebagai golongan yang fasiq(At Taubah:24)

Saya tidak mengenali Uthaya dan tidak tahu bagaimana untuk menghubunginya. Tetapi secara terbuka saya menyerunya untuk beriman kepada pencipta sekelian alam iaitu Allah swt dan Nabi Muhammad sebagai rasulNya. Hanya dengan iman kepada al-Khaliq sajalah perbuatan kita akan diterima olehNya, bukan sekadar menjadi perjuangan berprinsip yang sia-sia.

No comments: