Wednesday, August 29, 2012

KEBANGKITAN MESIR DAN KEMENANGAN IKHWANUL MUSLIMIN


Hosni Mubarak yang memerintah secara kuku besi selama 30 tahun akhirnya tumbang. Ratusan ribu umat yang berarak di Dataran Tahrir menyambutnya dengan penuh syukur dan gembira. Kebangkitan secara besar-besaran bermula pada 25 Januari 2011, kini menjadi hari tarikh sambutan Hari Kebangsaan Mesir. 18 hari kemudian Mubarak tumbang. Kemudian diadakan Referendum Perlembagaan ke arah Pilihanraya Parlimen dan Pilihanraya Presiden. Kini Mesir sedang mengalami perubahan dari negara  yang dikuasai tentera kepada Negara Sivil Demokratik di bawah pimpinan Presiden yang baru dilantik, Dr Mohammad Morsi dari Freedom and Justice Party (FJP).

Kemenangan parti Islam sememangnya dijangka. Pakatan Demokratik yang diketuai FJP menang 45% kerusi, mana kala Blok Islam yang diterajui Parti Nour menguasai 25% kerusi parlimen. Baki 30% lagi dikongsi oleh pelbagai parti yang kebanyakkan dari latar belakang sekular liberal. Ia memperlihatkan betapa umat mahukan perubahan  dan hilangnya kepercayaan kepada golongan liberal. Malah dalam pilihnraya Presiden masih lagi dimenangi calon dari parti Islam walaupun pelbagai suruhanjaya pilihanraya yang boleh dipersoalkan.

Jutawan Ahmad Al Shater dilihat sebagai calon utama Presiden Mesir dari Ikhwanul Muslimin sebelum pencalonon beliau dibatalkan. Pun begitu masih lagi calon dari latar belakang Ikhwanul Muslimin mendapat sokongan rakyat. Dr Morsi menghadapi keadaan yang genting berikutan kemenangannya. Jawatankuasa Khas Angkatan Tentera (SCAF) yang merupakan kerajaan sementara untuk menguruskan peralihan kuasa, telah meminda peruntukan perlembagaan dengan menyempitkan kuasa Presiden  dengan memberi lebih kuasa kepada tentera. Ini merupakan cabaran paling besar kerana SCAF terdiri dari 21 pegawai tertinggi tentera dari zaman Hosni Mubarak yang turut mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat(US) dan Israel.

Morsi perlu menjaga hubungan baik dengan Israel yang bersempadan dengan Mesir sepajang 270km. Sejak perjanjian Camp David 1979, Mesir telah memainkan peranan yang baik  untuk Israel. Antaranya Mesir telah menghormati dan menjaga persempadanan dengan Israel, memastikan tiada pejuang Islam yang menggunakan Mesir sebagai pusat atau transit untuk menyerang Israel dan akur dengan arahan Israel dalam soal persempadanan  terutama di Rafah.

Penerimaan dunia terhadap kepimpinan FJP yang berlatarbelakang Ikhwanul Muslimin ini banyak dipengaruhi oleh pengiktirafan US. Malah terkait  rapat.juga hubungan dengan Israel. Dalam kebangkitan umat di Mesir, kita dapat lihat strategi yang dimainkan US dalam 3 peringkat:
a)      Sebelum kejatuhan Hosni Mubarak
      Kebangkitan besar-besaran rakyat Mesir bermula pada 25 Jan 2011 , saing dengan Syria. US telah membuat persediaan untuk menurunkan Hosni Mubarak. Sehari sebelum itu pada 24 Jan, Panglima Angkatan Tentera Mesir, Gen Sami Hafez Anan, telah dipanggil ke Washington. US cuba memimpin kebangkitan melalui Ketua IAEA, Muhammad Al Baradei, tetapi tidak berjaya. Kemudian, pada 30 Jan Gen Sami Hafez Anan bersama Menteri Pertahanan Mesir, Field Marshal Hussein Tantawi, telah menemui Setiausaha Pertahanan US bersama Menteri Pertahanan Israel. Jawatankuasa Khas Angkatan Tentera telah ditubuhkan pada 9 Feb 2011 untuk menguruskan peralihan kuasa. Mubarak meletakkan jawatan 2 hari kemudian setelah berkuasa selama 30 tahun. Dia jatuh dalam kebangkitan rakyat hanya dalam 19 hari. Rakyat Mesir berpesta penuh kesyukuran meraikan kejatuhan pemerintah zalim itu. Yang nyata, US masih lagi terlibat dalam menentukan hasil kebangkitan umat ini.

Sambutan Kejatuhan Hosni Mubarak di Dataran Tahrir
b)      Antara Kejatuhan Hosni Mubarak Hingga Kemenangan Ikhwanul Muslimin dalam Pilihanraya Parlimen dan Presiden
      Sejak awal lagi Ikhwanul Muslimin dijangka akan mendapat sokongan rakyat. Malah, diperingkat kepimpinan IM Mesir mereka berbeza pendapat samada mahu terlibat dalam pilihanraya atau sekadar menjadi whistle blower sahaja. Kerana sekiranya mereka bertanding peluang untuk menang adalah sangat besar dan IM akan berhadapan dengan cabaran untuk memerintah Mesir. Malah, Parti An Nour berlatar salafi yang baru ditubuhkan juga mendapat sokongan yang agak besar dari rakyat.

Referendum Perlembagaan diadakan untuk mendapat pandangan rakyat. Akhirnya ia membawa kepada pilihanraya Parlimen dari Nov 2011 hingga Jan 2012. Pakatan Demokrasi yang dipimpin FJP dan Blok Islam yang diketuai Parti Nour menang besar. Pakatan Demokrasi mendapat 45% kerusi manakala Blok Islam memperoleh 25%. Selebehnya dikongsi oleh parti-parti liberal dan Parti Wafd. SCAF telah beberapa kali meminda Perlembagaan baru Mesir untuk memberi lebih kuasa kepada tentera. Malah SCAF mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan Parlimen dan Presiden.

Pilihanraya Presiden menimbulkan banyak ketegangan apabile 10 orang calon dibatalkan termasuk 2 calon pilihan Ahmed Al Shater dari Ikhwanul Muslimin dan Omar Presiden, bekas Timbalan Presiden pada zaman Mubarak. Ahmed Al Shater yang juga seorang jutawan dan sangat berpengaruh di Mesir dilihat calon paling utama untuk memenangi pilihanraya Presiden. Walaubagaimana pun Dr Morsi dari IM tetap memenangi Pilihanraya Presiden yang diadakan dalam 2 peringkat. Tentunya beliau berhadapan dengan tugas yang amat getir.

c)      Selepas Kemenangan Ikhwanul Muslimin

Konteks dalam negara, Dr Morsi menghadapi SCAF yang masih berkuasa dan dominan. Beliau juga berhadapan dengan tekanan dari Israel. Paling utama adalah untuk mendapatkan restu US kerana US menguasai SCAF dan juga berpengaruh ke atas Israel.

Sejurus kemenangan Morsi, Setiausaha Luar Negara US, Hillary Clinton, telah menemui beliau di Kaherah. Selepas pertemuan tersebut, Hillary telah menemui Ketua SCAF Marsyal Hussein Tantawi secara berasingan. Dalam sidang media yang diadakan selepas itu Hillary telah menegaskan kepentingan untuk menghormati perlembagaan baru oleh semua pihak, menggesa tentera untuk menyerahkan kuasa sepenuhnya Presiden, memastikan kestabilan rantau(baca: Israel) dan menyeru kerjasama semua pihak untuk kearah sebuah negara sivil yang demokratik.

Pertemuan Hillary dan Morsi
Dr Morsi setelah itu dalam kenyataanya menafikan akan menerapkan hukum syariat kerana beralasan syariat telah terkandung dalam perlembagaan Mesir 1923. Beliau juga menyatakan akan menghormati semua perjanjian dengan Israel. Pemimpin dan media Israel agak bersikap lunak terhadap kepimpinan baru Mesir ini walaupun dalam masa yang sama terus mengkritik dan menyatakan kebimbangan. Kejadian pembunuhan pengawal sempadan Mesir di wilayah Sinai telah dimanipulasi Israel untuk memberi tekanan kepada Morsi kononnya keselamatan Israel terancam. Sebagai respon, Morsi bersetuju menempatkan kereta kebal dan pesawat di situ.

Antara kejayaan terbesar Morsi setakat ini adalah dengan menamatkan jawatan Field Marsyal Hussein Tantawi dan Gen Sami Hafez Anan. Ia dilihat sebagai tindakan yang cukup berani oleh Morsi dalam keadaan beliau baru berkuasa. Malah ada penganalisa politik menyatakan setelah tindakan tersebut maka Morsi lebih berkuasa dari Hosni Mubarak suatu masa dulu. Morsi melantik Gen Abdoul Fatah Al Sissi, bekas Ketua Perisikan Mesir sebagai ketua tentera yang baru. Sissi yang dikatakan mempunyai hubungan yang baik dengan Ikhwanul Muslimin sejak dulu, sebenarnya juga rapat dengan US. Sissi juga seorang pegawai tentera yang rapat dengan perisikan tentera US. Penasihat Anti Pengganas kepada Presiden Obama, telah menemui Sissi semasa lawatannya ke Mesir pada Oktober lepas. Wall Street Journal menyatakan itu petanda bahawa Maryal Hussein Tantawi yang hampir memcecah 80 tahun bersetuju Sissi sebagai pengganti. Pejabat Presiden US ketika mengulas perlantikan itu menyatakan Sissi sebagai pegawai tentera yang telah lama bekerjasama dengan US, yang akan terus bekerjama dan menghargai perdamaian dengan negara-negara jiran.
Dari Kiri; Field Marsyal Hussein Tantawi, Dr Mohammad Morsi  dan Gen Sami Hafez  Anan

SENARIO MASA DEPAN

US memberi tanggungjawab kepad Dr Morsi dan FJP untuk menubuhkan sebuah negara sivil demokratik di Mesir menggantikan negara tentera. Mesir perlu meneruskan peranan untuk menjaga kepentingan dan keselamatan Israel tetapi dalam masa yang sama Morsi perlu mengambil langkah-langkah popular untuk mendapat sokongan rakyat dan dunia Islam. Antaranya dengan membuka kembali pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir dengan Gaza, suatu keputusan yang telah dibuat oleh SCAF 2 bulan selepas kejatuhan Mubarak. Banyak perkembangan politik di rantau tersebut yang akan menguji peranan Mesir terutama berkaitan Israel. Sebagaimana Mubarak, lama mana kekuasaan Morsi banyak ditentukan oleh US dan Israel, selain sokongan rakyat Mesir.

KESIMPULAN

Morsi sedang menghadapi cabaran yang sangat genting untuk membangunkan Mesir, mengurangkan pengaruh tentera, mengimbangi tekanan Israel dan mendapatkan redha US. Inilah realiti kekuasaan yang diperoleh melalui jalan demokrasi. Rakyat memberi sokongan melalui undi tetapi hakikatnya kekuasaan masih lagi terhad. Tentera, US dan Israel masih mempunyai peranan yang besar. Ini bentuk kekuasaan yang ditolak Rasulullah semasa thalabun nusrah, di mana ada bani-bani yang sanggup memberi kekuasaan secara terhad kerana masih tertakluk perjanjian dengan Parsi atau Rom. Juga Rasulullah menolak kekuasaan yang bersyarat yang tidak syar’ie. Sedangkan hari ini betapa banyak perkara yang tidak syarie telah dilakukan FJP untuk mengekalkan kuasa di Mesir. Mengikitiraf Israel, tunduk kepada US, menerapkan negara sivil demokratik hingga memohohon pinjaman USD4.6 billion dari IMF. Walaupun ia akan dihalalkan dengan alasan maslahah politik, hakikatnya ia adalah pelanggaran hukum dan pengkhianatan kepada umat Islam. Semakin jelas, kekuasaan sebenarnya tidak akan mampu diraih melalui demokrasi. Khilafah hanya akan bangkit melalui thariqah nubuwwah, insyaAllah.






2 comments:

KluangMan said...

Cakap pasal Islam berdegar2, bila dah berkuasa tak serupa bikin. Tak payah tengok jauh2, di Malaysia ni pun lebih kurang sama.

wuzara said...

Hosni Mubarak yang zalim kepada rakyatnya, sebenarnya berkedudukan hamba kepada Amerika. Sebab itu semudah itu US menegenepikan hambanya itu. Morsi yang mendapat kekuasaan melalui demokrasi, tetap masih tertakluk kepada kedudukan hamba itu. Cuma seperti Erdogan, beliau akan mengambil banyak keputusan popular untuk menaikkan imejnya di kacamata umat. Walhal, ia hakikatnya hanyalah antara bidak Amerika untuk menjayakan peralihan dari Negara Tentera kepada Negari Sivil Demokratik.