Monday, November 15, 2010

BERPUASA PADA HARI RAYA & BERAYA DI HARI TASYRIQ; APA DAH JADI NI?

Kota Bahru; Isnin 15 Nov 2010

Hari ini para jamaah haji akan mengerjakan wuquf di Arafah. Bagi kita yang tidak mengerjakan haji disunat berpuasa atau biasa disebut shamul arafah (puasa hari Arafah).

“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melarang (jamaah haji) berpuasa pada Hari Arafah, di Arafah” (HR. Abu Dawud, An Nasa’i dan Ibnu Khuzaimah dalam Shahihnya, Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar).

Berdasarkan hadits itu, Imam Asy-Syafi’i berkata, “Disunnahkan berpuasa pada Hari Arafah (tanggal 9 Dhulhijjah) bagi mereka yang bukan jamaah haji.”

Usai solat Suboh tadi imam mengingatkan para jamaah adalah disunatkan untuk berpuasa pada hari ini. Timbul pelbagai kekeliruan dari kalangan jamaah. Ada yang menyangka esok (Selasa) wuquf di Arafah kerana (mengikut Malaysia) hari raya pada hari Rabu. Ada juga yang keliru bilakah sepatutnya Puasa Arafah, Isnin atau Selasa, kerana jamaah Haji di Makkah menyambut Eidul Adha pada Selasa sedangkan Malaysia hari Rabu. Ada juga yang mengutarakan, di televisyen ada ustaz yang mengajar boleh berpuasa Arafah di kedua-dua hari (Isnin dan Selasa). Ada Mufti pula yang mengeluarkan fatwa berpuasa pada hari Selasa. Imam tadi yang dalam keadaan serba salah menjawab, ” dari apa yang saya belajar, sepatutnya ikut hari wuquf di Arafah” lantas beliau membubarkan majlis.


BELENGGU PEMIKIRAN DAN SEMPADAN POLITIK

Pembahasan penetapan tarikh hari raya adalah pembahasan fiqh asas yang difahami ramai ilmuan Islam. Tetapi apabila ia melibatkan permasalahan politik iaitu penetapan oleh pemerintah, ramai dari mereka yang sekadar akur dan tidak bersuara, mungkin juga bingung. Sebagai contoh, si Imam tadi walaupun tahu sepatutnya berhari raya qurban esok (Selasa) tetapi saban tahun beliau mengimamkan solat raya bersandarkan penetapan pemerintah sekular dan bukannya ilmu kitab-kitab muktabar semasa beliau bertalaqqi di Pakistan suatu masa dulu.

Beberapa kali saya berbahas dengan ustaz-ustaz dan aktivis gerakan Islam dalam hal ini. Ramai dari mereka yang mengetahui perkara ini, tetapi sekadar menyandarkan kepada penetapan pemerintah masing-masing dan tidak kurang juga yang mengaggap perkara ini tidak perlu dipermasalahkan. Oleh itu dari pemerhatian saya, yang membelenggu para ustaz dan ulama’ di Malaysia dari menjelaskan masalah ini adalah mereka tidak sanggup menghadapi persoalan dan ketidaksenangan dari umat, tekanan dari pihak berkuasa agama mahupun dari pemerintah. Dalam masa yang sama mereka dibelenggu assobiyah yang merantai pemikiran mereka dalam kepompong wathoniyah negara bangsa sehingga mereka tidak melihat kesatuan umat Islam dalam sebuah daulah Islamiah sebagai suatu yang amat mendesak. Maka berterusanlah bid’ah sesat berpuasa pada hari raya Qurban (10 Zulhijjah) dan berhari raya pada hari tasyriq.


MEMAHAMI HUKUM PENETAPAN HARI RAYA QURBAN

Kewajipan umat Islam menyambut hari raya pada hari yang sama bagi seluruh kesatuan umat, baik hari raya puasa mahupun qurban, adalah suatu yang sebenarnya jelas diterangkan oleh para fuqaha. Walau bagaimana pun, pembahasan fiqh antara keduanya ada perbezaan. Dalam penulisan ringkas ini, saya hanya menyentuh berkenaan penetapan tarikh hari raya Qurban.

Dari af’al rasul, para sahabat, tabien dan tabiut tabien hingga kesemua ulama mazhab tiada berkhilaf bahawa Eidul Adha adalah hari selepas wuquf.

Hadits A’isyah RA, dia berkata “Rasulullah SAW telah bersabda :
“Idul Fitri adalah hari orang-orang (kaum Muslim) berbuka. Dan Idul Adha adalah hari orang-orang menyembelih kurban.” (HR. At-Tirmidzi )

Seluruh ulama’ mazhab sepakat bahawa penetapan Hari Raya Qurban adalah berdasarkan ru’yat penduduk Makkah dan ia berlaku bagi umat Islam di seluruh dunia. Fakta ini diriwayatkan secara mutawatir dari zaman Rasulullah, para sahabat, khalifah rasyidin, dan khalifah-khalifah seterusnya. Ia adalah suatu yang ma’lumun min addini bidh dharurah.

Sesungguhnya Amir (Wali) Makkah pernah berkhutbah :
“Rasulullah SAW mengamanatkan kepada kami untuk melaksanakan manasik haji berdasarkan ru’yat. Jika kami tidak berhasil meru’yat tetapi ada dua saksi adil yang berhasil meru’yat, maka kami melaksanakan manasik haji berdasarkan kesaksian keduanya.” (HR Abu Dawud dan Ad-Daruquthni . Imam Ad-Daruquthni berkata,’Ini isnadnya bersambung [muttashil] dan shahih.’ Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar)

Hadith ini dengan jelas menunjukkan bahawa penetapan 1 Zulhijjah - yang melibatkan tarikh perlaksanaan manasiq haji seperti wuquf, thawaf ifadhah,bermalam di Muzdalifah dan melempar jumrah - wajib ditetapkan oleh ru’yat penduduk Makkah, bukan Baitul Maqdis, Iraq, Yaman apatah lagi Malaysia. Walaupun setelah kehancuran khilafah, tarikh hari raya Qurban masih lagi bersandarkan Ru’yatul Hilal Hijaz meskipun pemeritahan Saud itu adalah pemerintah yang bathil. Oleh itu, seluruh umat Islam di dunia termasuk Malaysia wajib berhari raya pada yaumun nahr dan bukan keesokannnya pada hari tasyriq.


BERPUASA DI HARI RAYA DAN BERAYA DI HARI TASYRIQ ADALAH BID’AAH MUNKAR YANG SESAT

Apa yang dilakukan oleh pemerintah Malaysia (begitu juga Indonesia) adalah satu bid’ah yang sesat lagi menyesatkan. Para ulama’ kerajaan tidak lain sekadar menjadi alat untuk menghalalkan kesesatan ini. Para ilmuan yang berdiam diri sekadar membiar terjadinya malapetakan dalam syariat Islam.

Tetapi wahai umat bangkit dan sedarlah bahawa, kita wajib beramal dengan hukum Islam. Hari ini bukan perkara sebesar pemerintahan, tetapi dalam pengamalan hari kebesaran islam turut juga diselewengkan oleh pemerintah sekular. Janganlah kita terpedaya dan mengikut hasutan syaithan-syaithan ini kerana mereka tidak akan mampu menyelematkan kita di yaumil mahsyar kelak kecuali mengheret kita ke neraka jahannam.

Mereka adalah pemerintah yang berhukum dengan hukum kufur dan ulama’ yang mencari kesenangan dunia. Saya yang jahil ini jika tidak disedarkan Hizbut Tahrir, mungkin masih lagi terkeliru dalam perkara ini. Oleh itu dikesempatan kecil ini, saya menyeru para pembaca untuk kita sama-sama kembali kepada hukum Islam yang murni dalam perkara Hari Raya Haji ini. Sama-sama juga kita berjuang mengembalikan kehidupan Islam dengan berusaha menegakkan kembali Khilafah dengan mengikut minhaj kenabian. Semoga inilah Hari Raya Qurban yang terakhir kita menyambutnya dengan perpecahan dan diseliputi bid’ah munkar. Semoga akan datang, kita bersama menyambutnya pada satu tarikh dibawah satu khilafah Islam.

SELAMAT MENYAMBUT EIDUL ADHA!

6 comments:

gunungmerapi said...

salam,

ada yg memberitahu saya, ulama' falak berpandangan adalah lebih tepat menentukan tarikh raya Eiduladha berdasarkan keputusan rukyah di tempat masing-masing, iaitu dgn menentukan tarikh 1 zulhijjah bagi mendapatkan 10 zulhijahnya utk sambutan eiduladha ...kerana perbezaan matlak dan jarak maka ada ketikanya wujud perbezaan tarikh raya haji negara Malaysia dgn Arab saudi....maka keputusan rukyah Arab Saudi tak boleh diambil kira sebagai keputusan rukyah utk semua negara....

itulah kawan saya cakap, Umat Islam di Malaysia perlulah mengikut keputusan rukyah di Malaysia dalam menentukan hari untuk menyambut Hari Raya Idil Adha, maka dgn itulah berbeza juga hari utk Puasa Hari arafah, .....wallahuallam....

maka puasa lah kalau yg nak berpuasa sunat samada isnin atau selasa tu...sebab kalau kita raya pada selasa tu sepertinya kita raya pada 9 Zulhijjah bagi negara kita.

Jadi utk keadaan yg sukar ini, rasanya Allah tentu tidak meletakkan kemurkaanNya kpd kita, apatah lagi usaha yg diambil oleh ulama2 ini bukan utk meraikan kehendak nafsukan sendiri bahkan cuba memberi tafsiran atau ijtihad yg termampu oleh mrk utk mengamalkan kehendak agama ini...walllahuallam..

saya pada mulanya agak keliru...tapi bila diberi penjelasan, saya rasa sedikit boleh bertenang. Harap anda juga begitu. Salam AidilAdha.... :D

abe joe said...

salam...

abe joe dapat lembaran tulisan ustaz Noh Gadut berkaitan isu ni....errr sebanyak 14 halaman, tadi depa pakat buat copy kat skolah....dan sempat juga abe joe singgah blog ustaz Zaharudin yg menulis berkaitan isu ni.Elok juga jika wuzara turut membacanya.

abe joe tak sukalah wuzara cepat sangat halakan tuduhan bida'ah dan sebagainya sebelum benar2 halusi perkara ini....tak baik la

wuzara said...

Salam,

GunungMerapi,
Hukum berkenaan hak melakukan ru'yat zulhijjah telah lama diselesaikan oleh para fuqaha.

MInta maaf jika saya memberi pandangan. Kita sepatutnya mampu membezakan permasalahan baru yang memerlukan pemecahan melalui ijtihad. Dalam masa yang sama, kita juga sepatutnya jelas hukum2 syara' yang telah menjadi perkara yang maklum dalam agama.

Abe Joe,
Apa yang itulis oleh Ust Zaharudin, tidak menyentuh pembahasan kepada siapakah hak melakukan ru'yah zulhijjah itu diberikan oleh syara'. Beliau membahas perkara yang sama sekali tiada kena mengena dengan kesimpulan.

Sekian.

abe joe said...

sebenarnya....abe joe tak faham apa yg wuzara cuba berfalsafah di sini....sekarang ni masuk bab 'hak' melakukan rukyah pulok doh...

wuzara, ada tarikh yg boleh kita tentukan sendiri...contohnya tarikh nak menikah, tarikh nak pindah rumah ko, atau tarikh nak masuk jawi anak ko...
tapi tarikh nak beraya ni bukan tanggungjawab kita, ia tanggungjawab pemerintah.Bahkan ada peruntukkan undang2 negara yg boleh menghukum warganya yg sambut raya berlainan tarikh dgn yg ditentukan pemerintah.. .

maka pada saya, kerajaanlah bertanggungjawab dan menanggung dosa andai dia menyeleweng dlm penentuan tarikh raya utk kita ni.

hmmm.....kesian ustaz zaharudin...tulisannya juga turut 'tak berharga' di sisi wuzara....bahkan tak de kena mengena, sedang saya rasa dia dah menjawab pun apa yg YB salahuddin dok pening...wallahuallam...tak pa lah,InsyaAllah abe joe akan terus kaji dan bertanya org yg lebih arif ttg perkara ni...

wuzara said...

Salam,

Buat Abejoe,

Apa yang dipaparkan di blog ustaz zaharudin adalah kenyataan dari jabatan Mufti selangor. Jika abejoe baca betul2 penerangan saya dan bandingkan dengan kenyataan jabatan mufti tersebut, abejoe sepatutnya dapat faham dengan mudah.

Jabatan Mufti membahaskan persoalan fiqh ru'yah mahupun hisab. Sedangkan, secara spesifik dalam penulisan saya, saya membahaskan tentang dalil yang menunjukkan bahawa hak untuk menentukan tarikh hari raya haji hanyalah hak penguasa Makkah, selain dari itu tiada hak untuk menentukannya. Ia telah diamalkan sejak zaman nabi dan khalifah2 setelah baginda.

Jika abejoe, baca betul2 dengan hati yang benar2 jujur untuk memahaminya, walaupun mungkin tidak sepenuhnya terus menerima apa yang saya sampaikan, setidaknya abejoe dapat asas intipati apa yang dibahaskan. InsyaAllah, taklah kalut begitu sekali.

abejoe said...

"Jabatan Mufti membahaskan persoalan fiqh ru'yah mahupun hisab. Sedangkan, secara spesifik dalam penulisan saya, saya membahaskan tentang dalil yang menunjukkan bahawa hak untuk menentukan tarikh hari raya haji hanyalah hak penguasa Makkah, selain dari itu tiada hak untuk menentukannya. Ia telah diamalkan sejak zaman nabi dan khalifah2 setelah baginda."

untuk tulisan di atas saya tidak bersetuju. Ia pandangan yg tidak cukup kuat.Jika benar wuzara membaca bingkisan dari mufti selangor atau mufti Johor, jawapan utk tulisan wuzara itu sudah pun diperjelaskan.Saya boleh memahaminya dgn jelas.

tak pa lah, saya tidak berbalas komen di sini utk menang ke atas wuzara, saya mencari kekuatan ilmu, yg dgnnya saya boleh yakin beramal....itu saja.