Monday, January 18, 2010

Jawapan Itu Tiada Sekarang (Episod I)



Pemergian saya ke JB pada Sabtu lepas mengenangkan saya memori semasa menuntut dahulu. Mungkin kerana saya menaiki bas ekspres dari Sri Putri, suatu tempat yang menjadi hentian sepanjang saya di UTM dulu. Keadaanya masih lebih kurang sama, kelihatan ramai student yang berada disitu samada turun atau menunggu bas. Dalam bas tiba-tiba saya teringat ungkapan yang pernah terdetik dalam hati saya dulu, “ Penyelesaian yang aku hendak tiada sekarang”. Itulah jawapan yang saya peroleh terhadap pelbagai persoalan yang pernah berlegar di kotak fikiran saya. Jawapan itulah yang membuat saya pasrah, kehidupan sebagai seorang Islam dalam kehidupan yang tidak Islami memang memeritkan. Persoalan itu muncul sejurus saya saya selesai bab 1 Kitab Nizamul Islam. Ayat Al-Quran surah An Nisa’ ayat 65 sebagai pengakhiran atau kesimpulan bagi bab tersebut benar-benar buat saya rasa takut, takut yang amat sangat. Di sini saya tuliskan makna ayat tersebut:

“Maka demi Rabbmu, mereka itu (pada hakikatnya) tidak beriman sebelum mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di hati mereka suatu keberatan terhadap keputusan yang engkau berikan, dan mereka menerima (pasrah) dengan sepenuhnya”.

Tersentap dengan ayat ini membawa saya mencari penjelasan lanjut bagi ayat ini. Dalam keadaan masih merangkak dalam mempelajari Islam akhirnya membawa saya kepada penjelasan asbab an nuzul dan tafsiran ayat tersebut. Ayat tersebut diturunkan kepada Zainab Al Jahsy, yang mana Zainab dan abangnya keberatan untuk dinikahkan Rasulullah dengan Zaid Al Harithah, bekas hamba Saidatina Khadijah. Lantas ayat ini turun maka lalu Zainah menerima pernikahan tersebut.

Pada masa membaca asbab an nuzul ayat ini, saya masih lagi belum memahami tentang ushool fiqh apatah lagi pembahasan pelbagai kaedah fiqh. Dari penjelasan yang boleh saya fahami, kita bukan sekadar menerima hukum Islam tetapi kita wajib menerima sebulatnya tanpa ada perasaan berat hati atau apa pun. Kesimpulan yang saya buat sendiri pada masa itu, jika arahan untuk bernikah begini pun kita tak boleh bantah, apatah lagi hukum-hukum Allah yang diperintahkan kepada kita. Lantaran dari ini pelbagailah persoalan yang muncul di benak saya.

Antara persoalan pertama yang terlintas, apakah hukum jadi polis? Yelah masa itu arus reformasi masih bergegar dan pelbagai cerita yang kurang baik saya baca tentang polis. Di satu sisi polis menjalankan tugas yang mulia menjaga keamanan, tetapi di satu sisi yang lain menangkap pendakwah dan menjadi jentera kerajaan menangkap dan menghalang aktivis reformasi. Isu-isu yang berkaitan PBT yang dipaparkan Harakah menimbul pelbagai persoalan lain dibenak saya. Apa hukum menjadi D.O? Bandar perlu ditadbir dengan cekap, tetapi dalam keadaan system hari ini pentadbir sebegini perlu meluluskan lessen bagi premis menjual arak, pusat perjudian. Jika dibiarkan kepada orang yang tidak ada kesedaran Islam maka ia akan lebih teruk, jadi bolehkan kita yang ada kesedaran Islam memegang jawatan sebegini. Begitulah banyak persoalan lain seperti menjadi Pegawai Tadbir Agama, menjaga kepentingan Agama Islam tetapi juga menyekat perkembangan dakwah yang tidak selari dengan dasar kerajaan.

Persoalan yang memeningkan saya pada masa itu saya suarakan kepada beberapa rakan. Lucunya, ada rakan yang agak Islamik lantaran kemarahan mereka kepada tindakan Polis dan FRU kepada aktivis reformasi dan DSAI, mengatakan keje begitu haram, tetapi jawatan-jawatan lain saya nyatakan diatas diperbolehkan kerana maslahah. Tiada siapa dikalangan kawan-kawan yang dapat member jawapan. Lantas seorang kawan membawa saya bertanya dengan seorang Ustaz. Ustaz tersebut pernah ditawarkan jawatan sebagai Pegawai Tadbir Agama tetapi menolaknya kerana melihat permasalahan ini. Secara peribadi beliau menasihatkan supaya mencari jawatan yang tidak ada syubhat begini tetapi beliau juga tidak ada jawapan konkrit bagi permasalahan ini. Pencarian saya membawa saya ke Library UTM (PSZ), menemukan saya kepada sebuah kitab yang masyhur yang biasa saya dengar namanya, Fatwa Muasirah, tulisan Dr Yusof Qardhawy (DYQ). Nama DYQ ini sering disebut oleh sedara mara saya yang cenderung kepada Islam, juga saya sering dengar dari kaset ceramah TG Haji Hadi. Saya juga pernah mendengar kritikan terhadap beliau yang dikatakan membolehkan keterlibatan dalam riba’ dalam konteks hari ini. Saya pinjam buku tersebut, baca dan saya fotostat beberapa muka surat yang ada perkaitan dengan persoalan saya. Saya juga membaca beberapa kitab lain yang membahas perkara ini. Ia menimbulkan kepelikan dikalangan kawan-kawan apabila saya tiba-tiba berminat membaca buku sedemikian. Yelah… saya bukanlah orang berwatakan berkopiah atau gaya ala-ala ustaz, saya masih berseluar jean dan tshir, bermain ragbi dan berambut agak panjang.

Persoalan ini benar-benar menimbulkan konflik dalam diri saya, konflik yang amat sangat. Kerana apa? Kerana kita semua mengakui keharaman perkara tersebut, tetapi menjadikan hujah maslahah untuk membenarkan pengurusan riba’, judi, arak, hukum kufur dan sebagainya. Membanding pandangan DYQ dalam Fiqh Afdhaliyah dengan penulisan Dr Taha Husin dan beberapa penulisan yang sealiran benar-benar buat saya bingung kerana seolah-olah semua perkara tersebut diperbolehkan dalam konteks hari ini atas hujah kemaslahatan umat. Pandangan Rashid Ridha yang menghalalkan riba' bagi konteks hari ini cukup menimbulkan pelbagai tanda tanya bagi saya. Apakah maknanya, secara umumnya perkara yang asalnya haram tetapi ia diperlukan bagi konteks umat Islam hari ini, maka ia diperbolehkan?

(bersambung bila ada masa nanti…)

2 comments:

hizbi Islami said...

belom ada masa ka nak sambung cerita ni ?? ...

WUZARA said...

maaf hizbi, jadual waktu saya agak padat sekarang. Akan bersambung bila ada kesempatan.