Thursday, September 23, 2010

Bahasa Sepanyol Atau Bahasa Kelantan

Saya ada seorang client berbangsa Iran tetapi lama menetap di Kanada dan Amerika Syarikat. Beliau berkahwin dengan wanita Melayu dan sudah 12 tahun menetap di Malaysia. Tetapi sampai sekarang masih tidak mampu berbahasa Melayu. Peliknya, setiap kali saya memberi salam, beliau menjawab dengan good morning dan sebagainya. Anak-anak beliau boleh berbahasa Melayu dan Inggeris, jadi mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Sebelum appointment, sepatutnya saya ke Kelantan untuk urusan kerja tetapi ditangguhkan di saat akhir. Beliau yang mengetahui saya sepatutnya ke Kelantan, bertanyakan tentang bahasa Kelantan kepada saya. Cerita beliau,... pada suatu hari ada business partner dari Sepanyol datang ke rumahnya. Tiba-tiba rakan dari Sepanyol itu menerima panggilan telefon dan bercakap dalam bahasa Sepanyol. Salah seorang anak kawan saya ini tiba-tiba kehairanan dan bertanya, wahh... dia pandai bercakap bahasa Kelantan??!!!!

Tuesday, September 14, 2010

PERUT BABI DI PASAR BATU PAHAT



Salam Syawal. Mungkin masih ramai yang masih bercuti dan ada juga yang sudah kembali bekerja. Syukur ke hadrat Ilahi dapat bertemu Aidilfitri buat sekian kali. Bertemu sanak saudara adalah detik menggembirakan setiap kali menjelang hari raya.

Pada 3 Syawal yang lepas, saya dan isteri telah merancang untuk menyediakan juadah nasi dagang. Bagi orang di Johor, kebiasaannya nasi dagang hanya dijual di pasar malam oleh peniaga yang berasal dari pantai timur. Tidak ramai orang Johor yang pandai memasaknya apatah lagi beras nasi dagang sukar diperoleh di sini. Untuk itu, Hari Raya kebelakangan ini setahun sekali kami menghidangkan nasi dagang dan sedara-mara yang tak pernah makan pun mula berkenalan dengan makanan pantai timur ini.

Pagi Ahad tersebut saya dan isteri ke Pasar Batu Pahat untuk mencari bahan-bahan yang diperlukan. Ikan tongkol, santan, kelapa parut, ikan selayang dan lain-lain. Manakala, beras telah dibeli terlebih dahulu dari Kota Bahru. Memasak nasi dagang memang agak leceh, beras perlu direndam 12 jam dan kemudian dikukus sebanyak 3 kali. Tetapi pada saya di situ ada keseronokan apabila bersama-sama meyediakannya. Saya hanya menjadi tukang angkat dan penasihat saja kepada isteri dalam membeli segala keperluan. Pasar agak ramai orang pada bagi itu, ramai juga saya terserempak kawan-kawan. Sementara menunggu isteri, saya berdiri di tepi kedai-kedai menjual sayur dan bahan-bahan basah. Tiba-tiba saya terpandang di bungkusan plastik tulisan Mei Chai Belly Pork, cukup mengejutkan. Ia dijual dibahagian bahagian menjual sayur, ikan, daging dan santan. Apa lagi, saya ambil terus ambil gambar.



Babi adalah najis mughalazah yang cukup menggelikan. Peminum khamar pun muntah kalau tertelan daging babi. Tetapi perut babi yang telah dipek, mungkin telah dijeruk dijual bersama bahan-bahan lain secara terbuka di Pasar Batu Pahat.

Wednesday, September 8, 2010

KPN UNGKIT LAGI ISU CAMPURTANGAN PIHAK KETIGA DALAM URUSAN PDRM


Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan, sekali lagi mengungkitkan campur tangan pihak ketiga dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang. Kali ini beliau mengulang kenyataan yang sama setelah diumumkan persaraan. Malah menurut beliau, beliau hanya tahu tentang persaraan sebut apabila diumumkan pada majlis pengumuman. Ini pastinya menimbulkan pelbagai tanda tanya dikalangan rakyat.

Sebahagian dari kita pastinya telah boleh mencongak pasti ada masalah yang kronik antara KDN dan operasa PDRM. Malah secara spesifik Tan Sri Musa merujuk kepada KDN sebagai pihak yang dimaksudkan beliau. Dalam struktur KDN hanya ada 7 jawatan di atas beliau termasuk Menteri dan 2 Timbalan Menteri. Siapa yang masuk campu bukan persoalan yang ingin dibicarakan di sini. Cuma yang ingin saya kongsikan bersama adalah hukum kepolisian dalam Islam.

Tugas polis di dalam Islam adalah untuk menjaga sistem Islam, menjaga keamanan dalam negara dan melaksanakan seluruh aspek implementatif. Hal ini sesuai dengan hadis Anas bin Malik,

“Sesungguhnya Qais bin Saad di sisi Nabi SAW memiliki kedudukan sebagai ketua polis dan ia termasuk di antara para amir [HR Bukhari].

Imam at-Tirmidzi juga telah meriwayatkannya dengan redaksi,

“Qais bin Saad di sisi Nabi SAW berkedudukan sebagai ketua polis dan ia termasuk di antara para amir. Al-Ansari berkata, iaitu orang yang menangani urusan-urusan kepolisian”.

Hadis ini menunjukkan bahawa polis berada di sisi penguasa. Maksudnya polis berperanan sebagai kekuatan implementatif yang diperlukan oleh penguasa untuk menerapkan syariah, menjaga sistem Islam dan melindungi keamanan, termasuk melakukan kegiatan rondaan (patrol). Aktiviti rondaan itu adalah meronda untuk mengawasi dan menangkap pencuri atau orang yang berbuat kerosakan/kejahatan atau orang yang dikhuatiri melakukan kejahatan. Abdullah bin Mas‘ud bertindak sebagai ketua peronda pada masa Abu Bakar. Manakala Umar bin al-Khaththab melakukan rondaan sendiri dan kadang-kadang ditemani oleh Abdurrahman bin Auf.

Tetapi dalam konteks hari ini, apabila hukum yang dikuatkuasa bukan hukum Islam, ia tidak dapat memberi penyelesaian. Jenayah semakin bertambah dan polis sering menjadi pihak yang dipersalahkan. Ia secara umum disebabkan oleh 2 maslaah utama, iaitu :
1) Undang-undang yang dikuatkuasakan tidak mampu untuk memberi penyelesaian yang menyeluruh bagi pelbagai permasalahan yang timbul.
2) Kualiti modal insan baik di peringkat KDN mahupun struktur PDRM sendiri. Sehingga kempen anti-rasuah dengan memakai tag terpaksa dilancarkan tetapi rakyat sudah sebati melihat mereka sebagai begitu.

Apa pun, kepada Tan Sri Musa Hasan, sewajarnya Tan Sri bersyukur dilepaskan dari tanggungjawab melaksanakan sistem yang tidak Islami ini. Dan kepada kita umat Islam, menjadi kewajipan untuk kita mengembalikan semula kehidupan Islam dan insyaAllah profesion kepolisian ini akan kembali mulia di sisi Allah dan masyarakat.

Sunday, September 5, 2010

PAS perlu ‘nasionalkan’ parti, bawa aspirasi Perlembagaan Persekutuan

Saya semakin sukar memahami apa yang sebenarnya diperjuangkan PAS, sampai-sampai Perlembagaan Kufur itu yang ingin dijadikan aspirasi.


Prof Aziz Bari dan Dr Mujahid Yusof bersama buku “Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme” dan “Kita kan Orang Malaysia” yang dilancarkan malam tadi. — Gambar oleh Choo Choy May
Sumber : TheMalaysianInsider
KUALA LUMPUR, 3 Sept — PAS, yang menjalin kerjasama dengan PKR dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat, perlu mengambil langkah “menasionalkan” parti iaitu menjadikannya “parti yang berpijak dalam kerangka negara bangsa dan bergerak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.”

Dalam buku terbaru berjudul “Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme”, ahli jawatankausa kerja PAS pusat Dr Mujahid Yusof berkata, parti Islam ini perlu menonjolkan ciri-ciri nasional yang mampu memberi keyakinan kepada orang ramai tentang komitmennya terhadap tonggak negara bangsa.

Buku itu dilancarkan di sini malam tadi.

“Persoalan ini timbul berlatangbelakangkan persepsi yang ditanggap oleh orang ramai bahawa PAS bukan parti nasional yang ada kaitan dengan semangat negara bangsa, malah dakwaan PAS keluar dari kerangka perlembagaan dan kebimbangan PAS tidak membawa aspirasi nasional adalah kebimbangan yang berasas,” kata Mujahid.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata kebimbangan itu sebenarnya adalah persepsi orang ramai kepada kepada PAS hasil daripada ungkapan-ungkapan pemimpin dan ahli PAS yang seolah-olah menafikan Perlembagaan Persekutuan.

Anak bekas presiden PAS ini menambah, semasa awal kepimpinan ulama sehingga ke hari ini ungkapan bahawa Perlembagaan Persekutuan dilabel sebagai perlembagaan “Taghut” dan dianggap sebagai sebuah “Perlembagaan Kafir”.

“Tanggapan ini terbentuk dalam melihat dan membuat perbandingan antara dasar PAS iaitu al-Quran yang ‘diintepretasikan’ sebagai Perlembagaan dengan Perlembagaan Persekutuan yang ada.

“Pelabelan secara umum dan tanpa melihat perincian kepada keperluan-keperluan semasa dalam konteks kenegaraan telah menimbulkan satu masalah kepada PAS seolah-olah PAS masih lagi belum mampu meneraju politik negara ini kerana ciri ‘nasionalnya’ yang belum kuat dan meyakinkan rakyat Malaysia,” kata beliau.

Buku ini menggariskan senarai krisis dilalui PAS yang kini berusia enam dekad.

Dalam buku setebal 194 halaman yang dikeluarkan oleh The Malaysian Insider, Mujahid menambah, kesan silap faham ini menimbulkan pelbagai persoalan, antaranya keengganan parti untuk menyanyikan lagu Negara Ku atas alasan tidak syariah dan sekali gus menampakkan kurangnya ciri nasionalistik PAS secara simboliknya.

“Tetapi, dengan berkembangnya PAS sebagai sebuah parti yang menentukan masa depan negara dan kerana PAS mempunyai rakan dalam membentuk pakatan strategik yang bercita-cita menuju ke Putrajaya, tekanan supaya PAS menjadi parti yang bersumberkan aspirasi nasional dalam penampilannya kini menjadi sesuatu yang cukup mendesak.

“Kegagalan kepimpinan melihat ini sebagai ciri penting PAS dalam Lekuk Ketiga akan menjadikan PAS ketinggalan di belakang untuk menerajui politik negara,” kata beliau lagi.

Mujahid berkata, sebagai sebuah parti nasional, PAS perlu melihat dirinya berdiri di atas premis Perlembagaan Persekutuan dan untuk menjelmakan premis ini PAS perlu mengambil lima langkah organisasi.

Antaranya ialah memasukkan dalam latihan pengkaderannya satu modul khas tentang Perlembagaan Persekutuan dan membentuk identiti nasional dalam program-program parti melalui simbol yang melambangkan komitmen nasional PAS seperti mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu Negara Ku.

Dua langkah lain ialah berpakaian dengan ciri-ciri kebangsaan dan menegaskan dalam pengucapan awam komitmen parti mengikut perlembagaan parti bahawa PAS adalah parti yang berpijak di bumi nasional dan menamakan semula perkataan-perkataan yang dianggap eksklusif kepada nama-nama yang mudah difahami oleh orang ramai dalam pengucapan awam supaya ekspresi bahasa mudah difahami awam.

Mujahid juga berkata, kepimpinan PAS dalam Lekuk Ketiga perlu mengubah persepsi orang ramai bahawa mereka adalah golongan eksklusif yang memimpin dengan gelaran tertentu.

Katanya, PAS perlu memperbetulkan persepsi ini kerana nama kepimpinan ulama itu sendiri boleh disalah tafsir sebagai nama kepada golongan tertentu.

“Dicadangkan dalam Lekuk Ketiga PAS memperkukuhkan lagi kepimpinannya dengan membuat penjenamaan semula gelaran kepimpinan dengan nama baru yang meletakkan PAS pada ciri inklusif seperti Kepimpinan Berkebajikan, Kepimpinan Sejagat atau Kepimpinan Untuk Semua.

“Nama kepimpinan ulama adalah untuk membezakan kepimpinan Datuk Asri dengan wujudnya satu badan baru dalam Perlembagaan PAS yang dinamakan Majlis Syura,” kata beliau.

Menurut beliau, sudah tiba masanya setelah 20 tahun berlalu, nama kepimpinan ulama diperkukuhkan dengan nama baru seperti yang dicadangkan ini.

“Selain itu cara pemikiran fikah kepimpinan mestilah menjurus kepada mencapai maslahat mengikut marhalah dan keupayaan parti,” katanya.

Mujahid berkata, kemunculan Lekuk Ketiga boleh berlaku dengan sendirinya, namun kemunculannya tanpa diurus dengan baik akan menimbulkan berbagai kekeliruan kepada ahli dan orang ramai, apatah lagi masalah dalaman yang berpotensi menimbulkan konflik tiada berkesudahan.

Oleh itu, tambah beliau, Lekuk Ketiga ini perlu diurus dalam satu pasukan pengurusan parti yang perlu melihat perubahan dalam parti berlaku secara terancang.

“Lekuk Ketiga diharapkan menjadi kekuatan baru parti untuk menuju ke hadapan bagi generasi ketiga menyambung perjuangan parti,” kata pemimpin berusia 45 tahun ini.

“Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme” adalah antara dua buku tulisan Mujahid yang dilancarkan semalam.

Buku “Kita kan orang Malaysia” pula siri keluaran Buku Siasah. Kedua-duanya dilancarkan oleh penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Prof Abdul Aziz Bari.