Monday, September 14, 2009
RASUAH DAN 'HADIAH' MENJELANG HARI RAYA
Menjelang Hari Raya. Bagi sesetengah kita yang bekerja, satu budaya (baca: gejala) yang biasa diamalkan adalah pemberian hamper dan voucher. Gejala ini berlaku di sektor swasta dan lebih parah lagi di sektor awam. Inilah masa yang sesuai untuk pihak yang berkepentingan mengambil kesempatan memberi rasuah atau lebih biasa disebut hadiah kepada penjawatan jawatan yang mereka ada kepentingan. Memandangkan ini adalah hari pertama minggu terakhir sebelum berhari Raya, maka rasuah dalam bentuk hadiah ini sedang rancak diagihkan. Sampaikan bagi ramai pihak, ia seolah amalan yang halal dan tanpa rasa bersalah malah bangga menerimanya. Saya sendiri tidak terkecuali dari menerima bentuk tawaran begini. Baru sebentar tadi, seorang supplier engineering equipment datang dah memberikan saya envelop berisi voucher. Saya tolak dengan baik.
Oleh itu, saya rasa terpanggil untuk membicarakan hukum masalah ini memandang ia suatu yang lumrah dalam kehidupan hari ini. Adalah sangat penting untuk kita memahami pandangan hukum Islam bagi permasalahan ini supaya kita mempunyai pemikiran yang jelas dan tidak terikut hawa nafsu dalam menghadapi umpan duniawi sebegini.
HUKUM RASUAH
Tidak ada perbezaan di kalangan ulama mengenai haramnya rasuah. Di dalam ayat Al-Quran memang tidak disebutkan secara khusus istilah rasuah. Namun Imam al-Hasan dan Said bin Zubair menafsirkan ungkapan al-Quran yaitu `akkaluna li al-suhti` sebagai rasuah.
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ
Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta putusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau beRpalinglah dari mereka (QS al-Maidah [5]: 42).
Kalimat ` akkaluna li al-suhti ` secara umum memang sering diterjemahkan sebagai memakan harta yang haram. Namun konteksnya menurut kedua ulama tadi adalah memakan harta hasil rasuah. Jadi rasuah identik dengan memakan sesuatu yang diharamkan oleh Allah Swt dalam firman-Nya:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Dan Janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (QS al-Baqarah [2]: 188).
Selain itu ada banyak sekali dalil dari al-Sunnah yang mengharamkan rasuah dengan ungkapan yang sharih. Dari Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ فِي الْحُكْمِ
Allah melaknat perasuah dan penerima rasuah dalam hukum (pemerintahan) (HR Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmidzi)
Dari Abdullah bin Amru, Rasulullah saw juga bersabda:
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
Laknat Allah bagi penyuap dan penerima rasuah (HR Khamsah kecuali al-Nasa`i dan di shahihkan oleh al-Tirmidzi).
Dari Tsauban ra:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَ
Rasulullah saw melaknat perasuah, penerima rasuah, dan perantaranya (HR Ahmad).
Dalam sebuah hadith Rasulullah saw bersabda:
Hadiah bagi pegawai negara adalah kemaksiatan, rasuah adalah kekufuran.
BAGAIMANA SIKAP KITA
Adalah perlu di bezakan di sini antara hadiah dengan rasuah, kerana hukum hadiah itu adalah sunat. Dan jangan sekali-kali kita menerima rasuah dengan alasan ia hadiah. Terutama dalam hari-hari perayaan, seringkali rasuah diberi berselindung nama hadiah dalam bentuk hamper dan sebagainya.
Bagi kakitangan negara, menerima hadiah mahupun rasuah adalah jelas haram. Ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah saw.
Manakali bagi mereka yang bekerja di sektor swasta, sekiranya ada pihak yang memberikan hadiah, hukum hadiah tersebut sebenarnya bukanlah milik kita tetapi adalah milik majikan tempat kita bekerja. Sekiranya, majikan tersebut memberikannya kepada kita maka barulah hadiah tersebut menjadi milik kita. Jika tidak, kita memakannya sebagai suatu yang haram.
Mahabenar Allah Swt dalam firman-Nya:
قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِاْلأَخْسَرِينَ أَعْمَالاً(103) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا
Katakanlah, “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya? Yaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya (QS al-Kahfi [18]: 103-104).
Rasulullah saw bersabda:
مَنْ جَمَعَ مَالاً مِنْ حَرَامٍ ثُمَّ تَصَدَّقَ بِهِ لَمْ يَكُنْ لَهُ فِيْهِ أَجْرٌ وَكَانَ إِصْرُهُ عَلَيْهِ
Barangsiapa yang mengumpukan harta dari jalan yang haram, kemudian dia menyedekahkan harta itu, maka sama sekali dia tidak akan memperoleh pahala, bahkan dosa akan menimpanya (HR Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, dan al-Hakim).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment