Saturday, August 1, 2009

Hidup Disulam Pemergian



Masa berlalu cukup pantas. Tidak lama lagi jika sampai umur insyaAllah kita akan bertemu Ramadhan. Saya mengira hari, aduh sekali lagi ia datang ketika kerja saya sedang kemuncak sibuk. Jika mengikut jadual akhir bulan ini loji kuasa saya sepatutnya menyalurkan tenaga ke Grid Nasional. Ia akan mencipta sejarah loji kuasa pertama di Malaysia yang menyalurkan tenaga dari bahan buangan industri ke Grid Nasional. Mengikut kata Chairman syarikat, kemungkinan besar PM yang akan merasmikannya. Beginilah sukarnya bekerja dengan bukan Islam. Mereka seringkali tidak peduli dengan peristiwa di sekeliling kita. Comissioning di bulan Puasa, memanglah penat, pukul berapa nak balik, buka puasa di mana, laratkah aku nak bertarawikh, apatah lagi bangun malam jika telah penat dihambat kerja yang melelahkan ini? Inilah yang bermain difikiran saya 2,3 hari ini. Atau aku akan terlepas peluang meraih ganjaran sempena Ramadhan kali ini?

Saya juga mungkin mencipta sejarah, genap setahun tak balik ke kampung mertua. Kali terakhir saya balik semasa Hari Raya yang lepas. Apabila saya beritahu kepada boss, beliau menyatakan "you are the worst son in-law". Padahal kerana dia lah saya tak berani ambil cuti. Perancangan untuk mengerjakan haji tahun ini pun tertunda kerana saya tak dapat cuti. Takpelah, berada dalam senarai rayuan ini memang sukar untuk mendapat kepastian. Cuti tahunan tahun lepas masih ada 6 hari, cuti tahun ini baru ambil sehari dan ada beberapa hari cuti yang saya masih belum ambil tahun ini. wahhhh... banyaknya cuti saya. Kalau ada rezeki, nak ambil cuti pergi makan angin. Tapi tak tahu bila.

Sekarang ni musim H1N1, nak jalan-jalan pun bimbang. Sampai nak pergi ke pasar pun berfikir-fikir. Dah ramai yang dijangkiti H1N1 ditempat saya. Adik-adik saya ada di rumah diarah balik kerana Universiti ditutup sementara. Pandemik ini semakin tidak terkawal nampaknya. Antara solat maghrib dan isya' semalam, berbual bersama-sama jamaah lain tak lepas isu H1N1. Saya cuba alihkan cerita kepada isu di Xinjiang, ia masih belum reda. Malah 10000 orang telah hilang. Alhamdulillah ada juga yang berminat berkongsi pandangan. Tiba-tiba seorang jiran menyakan," engkau ni macam arwah. kau punya gaya, cerita, sebijik. aku rasa arwah pun kalau masih hidup akan beli kereta macam kau".

Jiran tersebut adalah sepupu kepada seorang sahabat baik saya yang telah meninggal dunia pada tahun 2003. Dah lebih 6 tahun rupanya. Entah mengapa saya mula jadik sebak teringatkannya. Allahyarham Mohd Iswadi b. Jainuri, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Beliau adalah sahabat sama sekolah dengan saya. Tetapi zaman di sekolah saya tidak rapat dengannya. Beliau kategori budak alim yang memang dah cenderung kepada Islam, suka duduk di surau dan berani menegur. Kami sama-sama dalan team ragbi, hanya arwah seorang yang memakai pakaian menutup aurat. Roh dakwah memang dah nampak pada diri beliau, ke mana-mana beliau bercakap tentang Islam. Sedangkan saya pada zaman sekolah belum berminat dengan ini.

Saya rasa bersyukur sangat kerana Allah mentaqdirkan saya dalam satu kursus yang sama semasa di UTM. Semasa di tahun 1 bilik saya berdepan dengan bilik arwah dan saya selalu menumpang motor arwah kemana-mana. Sehingga apabila naik ke tahun 2 kami duduk sebilik di rumah sewa. Arwahlah yang menegur kesalahan-kesalahan saya, mengajak saya belajar agama, berjumpa ustaz, mendesak saya bergi ke usrah dan sebagainya. Saya masih ingat kami sama-sama naik motor arwah ke Kluang bertemu Ustaz Alizan. Ustaz Alizan adalah tempat rujukan arwah bab2 agama ini. Tapi ntah kenapa saya ni degil sangat. Sampai satu masa saya jadi rasa bersalah sendiri.

Apabila seorang saudara membawakan fikrah khilafah (masa tu belum tahu nama Hizbut Tahrir lagi) kepada saya, pada mulanya saya menjadi semakin bingung. Kepada arwahlah saya ceritakan dan kepada ustaz Alizanlah kami merujuk. Tetapi naluri dan akal fikiran saya mudah menerima fikrah khilafah yang dibawa. Akal jadi puas dan jiwa jadi tenang. Tetapi saya tak pandai nak menerangkan, sampai-sampai ada yang menyangka saya membawa ajaran sesat, apatah lagi demokrasi saya tiba-tiba haramkan. Saya masih ingat bagaimana arwah jadi risau takut saya ikut ajaran sesat. Sampailah saya ketemukan arwah dengan seorang sahabat untuk beri penerangan. Arwah boleh menerima dakwah khilafah ini dengan penuh keihlasan.Saya masih ingat di hari saya pergi membeli Al-Quran terjemahan, arwah sungguh tersenyum girang.

Apabila beliau menerima idea Hizbut Tahrir inilah baru dakwah di UTM mula berkembang. Ramai kawan-kawan yang arwah ajak ke halaqah. Sememang arwah telah sebelum ini pun terkenal dengan sukakan Islam, agak mudah beliau menarik orang. Saya rasa saya jauh ketinggalan. Antara saya dan arwah menjadi semakin rapat, kami dah macam adik-beradik. Tambahan pula adik saya pun tinggal menyewa bersama kami. Sampai arwah abah saya pun kata dah anggap arwah seperti anak sendiri. Arwah abah turut sedih apabila arwah Iswadi meninggal. Saya dapat merasakan betapa tulus hati arwah sebagai seorang teman. Beliau bukan saja sanggup menolong ketika saya susah tetapi ikhlas menegur ketika saya melakukan kesilapan. Sampai sekarang saya belum bertemu sahabat sedemikian.



Saya masih ingat 6 hari sebelum beliau meninggal dunia. Kami 6 orang dalam satu halaqah. Arwah bertanya, sekiranya beliau meninggal bagaimana dengan hutang-hutang JPA, dengan akaun-akaun bank yang beliau takut keluarganya akan mengambil interestnya sekali. Saya percaya syabab-syabab yang berada dalam halaqah tersebut masih ingat soalan-soalan beliau. Petang sebelum beliau meninggal beliau sempat turut bercerita tentang kematian. Saya rasa cikgu Hisham pasti ingat.

Petang itu hari Ahad, kami di rumah sewa. Saya ingin balik ke kampung sekejap, arwah pun ingin balik ke kampung sekejap. Ketika saya meninggalkan rumah saya nampak arwah sedang membuat halaqah. Saya pulang ke kampung di Parit Raja. Sepatutnya malam itu saya pulang semula ke Skudai. Tetapi akibat telah lewat dan stesen minyak telah tutup saya mengambil keputusan untuk pulang ke Skudai setelah Suboh kerana pukul 8pagi saya ada kelas. Pukul 9 habis kuliah saya terus balik ke rumah sewa. Motor arwah tiada. Saya dan kawan-kawan berbual. Katanya arwah pulang ke kampung. Tiba-tiba saya mendapat panggilan dari seoarang kawan, bertanya apakah betul Iswadi meninggal accident di Highway. Saya bagaikan tak percaya. Terus saya telefon rumahnya di kampung, saya masih ingat adik arwah yang bongsu menjawab. Saya memintanya memanggil abang Is. Jawabnya abang Is dah meninggal. Hanya tuhan yang tahu perasaan saya pada masa tersebut. Sahabat baik yang tak pernah saya jumpa selainnya hingga saat ini. Saya memaklumkan kepada kawan-kawan lain dan kami pergi ke kampungnya arwah di Rengit. Saya memang tak dapat menahan kesedihan di waktu tersebut, kehilangan sahabat terbaik yang cukup ikhlas kepada saya. Dari saya masih nakal sampai saya mula dekat dengan Islam. Tak jemu-jemu menasihat dan mengingatkan.

Saya kehilangan seorang kawan, teman dan member makan. Kebiasaannya dengan dia dan adik sayalah kami makan, kebetulan kami semua satu fakulti. Sarapan pagi(cum tengah hari) kami biasanya sekali. Kerana terlalu sedih kami pindah rumah sewa. Saya sebilik dengan Cikgu Hisham. Adik saya kata, dia taknak bilik nak tidur di luar sahaja. Tetapi setiap malam dia tidur bersama saya diatas katil bujang. 6 hari kemudian kami mahu pergi melawat keluarga arwah. Tiba-tiba kami mendapat panggilan adik saya pula kemalangan. Kami bergegas ke hospital Tun Aminah, JB. Sesampai saya lihat adik saya sedang diusung dari Kecemasan ke Operation Theater. Saya dengar beliau mengucap Allah... Allah...
Semasa menunggu pembedahan, naluri saya dapat merasakan saya akan rasa satu lagi kehilangan. Doktor keluar sekadar mengesahkan. Kali ini saya hilang adik yang benar-benar sayangkan abang. Menanggung perbelanjaan saya ketika saya extend pengajian. Yang rajin berdakwah dan jaga amalan.
Kepada Arwah Iswadi b. Jainuri dan Mohd Noor Ariff b. Khairudin dan Arwah Abah Khairudinb. Md Salleh (yang kembali ke Rahmatullah pada 2007) semoga Allah merahmati roh kalian. Aku teramat rindu dengan kalian. Semoga kita bertemu di Syurga kemudian. Ameen.

3 comments:

Anonymous said...

Salam,

Entri yang menarik. Bergitulah peritiwa-peristiwa yang kita lalui dalam kehidupan ini umpama lembaran benang. Seutas demi seutas akan disulam menjadi helaian kain yang akan dipersembahkan kepada Allah untuk dinilai mutunya.

Wasalam.

iqra' said...

Salamun'alaik..
Post yang meruntun hati.Lumrah kehidupan setiap pertemuan pasti ada perpisahan.Bezanya waktu perpisahan masing2 dan waktu pertemuan masing2 d alam abadi.

WUZARA said...

semoga roh mereka ditempat dalam golongan beriman. Kita juga sedang menghampirinya.