Wednesday, September 8, 2010

KPN UNGKIT LAGI ISU CAMPURTANGAN PIHAK KETIGA DALAM URUSAN PDRM


Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan, sekali lagi mengungkitkan campur tangan pihak ketiga dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang. Kali ini beliau mengulang kenyataan yang sama setelah diumumkan persaraan. Malah menurut beliau, beliau hanya tahu tentang persaraan sebut apabila diumumkan pada majlis pengumuman. Ini pastinya menimbulkan pelbagai tanda tanya dikalangan rakyat.

Sebahagian dari kita pastinya telah boleh mencongak pasti ada masalah yang kronik antara KDN dan operasa PDRM. Malah secara spesifik Tan Sri Musa merujuk kepada KDN sebagai pihak yang dimaksudkan beliau. Dalam struktur KDN hanya ada 7 jawatan di atas beliau termasuk Menteri dan 2 Timbalan Menteri. Siapa yang masuk campu bukan persoalan yang ingin dibicarakan di sini. Cuma yang ingin saya kongsikan bersama adalah hukum kepolisian dalam Islam.

Tugas polis di dalam Islam adalah untuk menjaga sistem Islam, menjaga keamanan dalam negara dan melaksanakan seluruh aspek implementatif. Hal ini sesuai dengan hadis Anas bin Malik,

“Sesungguhnya Qais bin Saad di sisi Nabi SAW memiliki kedudukan sebagai ketua polis dan ia termasuk di antara para amir [HR Bukhari].

Imam at-Tirmidzi juga telah meriwayatkannya dengan redaksi,

“Qais bin Saad di sisi Nabi SAW berkedudukan sebagai ketua polis dan ia termasuk di antara para amir. Al-Ansari berkata, iaitu orang yang menangani urusan-urusan kepolisian”.

Hadis ini menunjukkan bahawa polis berada di sisi penguasa. Maksudnya polis berperanan sebagai kekuatan implementatif yang diperlukan oleh penguasa untuk menerapkan syariah, menjaga sistem Islam dan melindungi keamanan, termasuk melakukan kegiatan rondaan (patrol). Aktiviti rondaan itu adalah meronda untuk mengawasi dan menangkap pencuri atau orang yang berbuat kerosakan/kejahatan atau orang yang dikhuatiri melakukan kejahatan. Abdullah bin Mas‘ud bertindak sebagai ketua peronda pada masa Abu Bakar. Manakala Umar bin al-Khaththab melakukan rondaan sendiri dan kadang-kadang ditemani oleh Abdurrahman bin Auf.

Tetapi dalam konteks hari ini, apabila hukum yang dikuatkuasa bukan hukum Islam, ia tidak dapat memberi penyelesaian. Jenayah semakin bertambah dan polis sering menjadi pihak yang dipersalahkan. Ia secara umum disebabkan oleh 2 maslaah utama, iaitu :
1) Undang-undang yang dikuatkuasakan tidak mampu untuk memberi penyelesaian yang menyeluruh bagi pelbagai permasalahan yang timbul.
2) Kualiti modal insan baik di peringkat KDN mahupun struktur PDRM sendiri. Sehingga kempen anti-rasuah dengan memakai tag terpaksa dilancarkan tetapi rakyat sudah sebati melihat mereka sebagai begitu.

Apa pun, kepada Tan Sri Musa Hasan, sewajarnya Tan Sri bersyukur dilepaskan dari tanggungjawab melaksanakan sistem yang tidak Islami ini. Dan kepada kita umat Islam, menjadi kewajipan untuk kita mengembalikan semula kehidupan Islam dan insyaAllah profesion kepolisian ini akan kembali mulia di sisi Allah dan masyarakat.

No comments:

Post a Comment