Sunday, September 5, 2010

PAS perlu ‘nasionalkan’ parti, bawa aspirasi Perlembagaan Persekutuan

Saya semakin sukar memahami apa yang sebenarnya diperjuangkan PAS, sampai-sampai Perlembagaan Kufur itu yang ingin dijadikan aspirasi.


Prof Aziz Bari dan Dr Mujahid Yusof bersama buku “Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme” dan “Kita kan Orang Malaysia” yang dilancarkan malam tadi. — Gambar oleh Choo Choy May
Sumber : TheMalaysianInsider
KUALA LUMPUR, 3 Sept — PAS, yang menjalin kerjasama dengan PKR dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat, perlu mengambil langkah “menasionalkan” parti iaitu menjadikannya “parti yang berpijak dalam kerangka negara bangsa dan bergerak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.”

Dalam buku terbaru berjudul “Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme”, ahli jawatankausa kerja PAS pusat Dr Mujahid Yusof berkata, parti Islam ini perlu menonjolkan ciri-ciri nasional yang mampu memberi keyakinan kepada orang ramai tentang komitmennya terhadap tonggak negara bangsa.

Buku itu dilancarkan di sini malam tadi.

“Persoalan ini timbul berlatangbelakangkan persepsi yang ditanggap oleh orang ramai bahawa PAS bukan parti nasional yang ada kaitan dengan semangat negara bangsa, malah dakwaan PAS keluar dari kerangka perlembagaan dan kebimbangan PAS tidak membawa aspirasi nasional adalah kebimbangan yang berasas,” kata Mujahid.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata kebimbangan itu sebenarnya adalah persepsi orang ramai kepada kepada PAS hasil daripada ungkapan-ungkapan pemimpin dan ahli PAS yang seolah-olah menafikan Perlembagaan Persekutuan.

Anak bekas presiden PAS ini menambah, semasa awal kepimpinan ulama sehingga ke hari ini ungkapan bahawa Perlembagaan Persekutuan dilabel sebagai perlembagaan “Taghut” dan dianggap sebagai sebuah “Perlembagaan Kafir”.

“Tanggapan ini terbentuk dalam melihat dan membuat perbandingan antara dasar PAS iaitu al-Quran yang ‘diintepretasikan’ sebagai Perlembagaan dengan Perlembagaan Persekutuan yang ada.

“Pelabelan secara umum dan tanpa melihat perincian kepada keperluan-keperluan semasa dalam konteks kenegaraan telah menimbulkan satu masalah kepada PAS seolah-olah PAS masih lagi belum mampu meneraju politik negara ini kerana ciri ‘nasionalnya’ yang belum kuat dan meyakinkan rakyat Malaysia,” kata beliau.

Buku ini menggariskan senarai krisis dilalui PAS yang kini berusia enam dekad.

Dalam buku setebal 194 halaman yang dikeluarkan oleh The Malaysian Insider, Mujahid menambah, kesan silap faham ini menimbulkan pelbagai persoalan, antaranya keengganan parti untuk menyanyikan lagu Negara Ku atas alasan tidak syariah dan sekali gus menampakkan kurangnya ciri nasionalistik PAS secara simboliknya.

“Tetapi, dengan berkembangnya PAS sebagai sebuah parti yang menentukan masa depan negara dan kerana PAS mempunyai rakan dalam membentuk pakatan strategik yang bercita-cita menuju ke Putrajaya, tekanan supaya PAS menjadi parti yang bersumberkan aspirasi nasional dalam penampilannya kini menjadi sesuatu yang cukup mendesak.

“Kegagalan kepimpinan melihat ini sebagai ciri penting PAS dalam Lekuk Ketiga akan menjadikan PAS ketinggalan di belakang untuk menerajui politik negara,” kata beliau lagi.

Mujahid berkata, sebagai sebuah parti nasional, PAS perlu melihat dirinya berdiri di atas premis Perlembagaan Persekutuan dan untuk menjelmakan premis ini PAS perlu mengambil lima langkah organisasi.

Antaranya ialah memasukkan dalam latihan pengkaderannya satu modul khas tentang Perlembagaan Persekutuan dan membentuk identiti nasional dalam program-program parti melalui simbol yang melambangkan komitmen nasional PAS seperti mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu Negara Ku.

Dua langkah lain ialah berpakaian dengan ciri-ciri kebangsaan dan menegaskan dalam pengucapan awam komitmen parti mengikut perlembagaan parti bahawa PAS adalah parti yang berpijak di bumi nasional dan menamakan semula perkataan-perkataan yang dianggap eksklusif kepada nama-nama yang mudah difahami oleh orang ramai dalam pengucapan awam supaya ekspresi bahasa mudah difahami awam.

Mujahid juga berkata, kepimpinan PAS dalam Lekuk Ketiga perlu mengubah persepsi orang ramai bahawa mereka adalah golongan eksklusif yang memimpin dengan gelaran tertentu.

Katanya, PAS perlu memperbetulkan persepsi ini kerana nama kepimpinan ulama itu sendiri boleh disalah tafsir sebagai nama kepada golongan tertentu.

“Dicadangkan dalam Lekuk Ketiga PAS memperkukuhkan lagi kepimpinannya dengan membuat penjenamaan semula gelaran kepimpinan dengan nama baru yang meletakkan PAS pada ciri inklusif seperti Kepimpinan Berkebajikan, Kepimpinan Sejagat atau Kepimpinan Untuk Semua.

“Nama kepimpinan ulama adalah untuk membezakan kepimpinan Datuk Asri dengan wujudnya satu badan baru dalam Perlembagaan PAS yang dinamakan Majlis Syura,” kata beliau.

Menurut beliau, sudah tiba masanya setelah 20 tahun berlalu, nama kepimpinan ulama diperkukuhkan dengan nama baru seperti yang dicadangkan ini.

“Selain itu cara pemikiran fikah kepimpinan mestilah menjurus kepada mencapai maslahat mengikut marhalah dan keupayaan parti,” katanya.

Mujahid berkata, kemunculan Lekuk Ketiga boleh berlaku dengan sendirinya, namun kemunculannya tanpa diurus dengan baik akan menimbulkan berbagai kekeliruan kepada ahli dan orang ramai, apatah lagi masalah dalaman yang berpotensi menimbulkan konflik tiada berkesudahan.

Oleh itu, tambah beliau, Lekuk Ketiga ini perlu diurus dalam satu pasukan pengurusan parti yang perlu melihat perubahan dalam parti berlaku secara terancang.

“Lekuk Ketiga diharapkan menjadi kekuatan baru parti untuk menuju ke hadapan bagi generasi ketiga menyambung perjuangan parti,” kata pemimpin berusia 45 tahun ini.

“Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme” adalah antara dua buku tulisan Mujahid yang dilancarkan semalam.

Buku “Kita kan orang Malaysia” pula siri keluaran Buku Siasah. Kedua-duanya dilancarkan oleh penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Prof Abdul Aziz Bari.

4 comments:

  1. saya berpandangan, bukan 'perlembagaan persekutuaan' itu yg tidak halal....tapi mana-mana item perlembagaan persekutuan yg bertentangan dgn syarak maka item itulah yg haram...maka tentu tidak salah kalau pas bergerak atau mengambil pakai mana2 peruntukan perlembagaan yg selaras dengan kehendak syarak.

    begitu juga nasionalisma....ia bukan total salah malah boleh memiliki semangat nasionalisma jika ia sebenarnya memperjuangkan agama.



    anda sudah membaca buku2 tersebut?saya belum menbacanya jadi saya tidak mampu membuat kupasan lagi ttg buku itu....maka saya kena baca dulu dan baru menilai.

    apa pun, saya akui kurang senang dgn beberapa pandangan ustaz mujahid...saya rasa dia banyak terpengaruh dgn pentarbiyaah dlm JIM yg diikutinya dulu2....wallahuallam

    ReplyDelete
  2. Salam...

    Teringat saya kepada peristiwa Saidina Umar yang membaca carikan Taurat. Nabi dengan muka yang sangat marah menegurnya.

    Saidina Umar membaca pastinya sekadar untuk mengetahui, dan bukan mengamalnya, itu pun sudah ditegur nabi. Apatah lagi Perlembagaan yang lahir dari Aqidah Lord Reid, bukan itu yang patut kita gunakan sebagai pendekatan menduduki Putrajaya.
    Saya dapati seringkali banyak hukum kufur yang digunapakai, diberi alasan menggunakan yang selari dengan Islam, dari demokrasi, tahalluf siasi, dan terkini perlembagaan Lord Reid dan Nasionalisme. Sepatutnya yang diguna adalah minhaj nabi, muka kompromi hukum jahiliah ini.

    ReplyDelete
  3. sebenarnya baginda meninggalkan sirah yg pelbagai dan terdedah kpd tafsiran yg macam2...bahkan ulama dari dulu ada wujud khilaf dlm menafsirkan maksud dari beberapa perbuatan dan percakapan nabi saw.

    utk tulisan ust mujahid ini....saya ingin benar membacanya, namun belum berkesempatan.
    setakat yg boleh saya baca dari entry anda di sini, tidak lah mujahid membawa maksud membawa pas lari dari orbit perjuangan Islamnya....cuma sebagai satu dari usaha utk memahamkan org ramai ttg Pas tidak menolak mana-mana amalan dan peruntukkan perlembagaan yg selari dgn syarak...mungkin sebelum ini ada pemimpin pas yg berceramah menghentam kufur perlembagaan persekutuan sehingga dilihat bathil 100% hatta nak menanyikan lagu negaraku pun rasa berdosa...wallahuallam.

    saya kira wuzara....jika pemerintahan Islam dapat ditegakkan di Malaysia, beberapa perkara yg ada dlm perlembagaan hari ini mungkin ada yg dikekalkan, jika ia selari dgn syarak...

    apa pun, saya berharap dpt membaca buku ini terlebih dahulu.

    ReplyDelete
  4. Ketupat,
    Pokok persoalannya tetap sama, kita perlu melihat Islam secara murni dan suci Islam. Bukan cuba mencipta demokrasi Islam, hak asasi Islam mahupun pelbagai idea kufur lain yang cuba diberi aspirasi Islam. Begitu juga nak mencari2 hukum Islam dalam perlembagaan yang asalnya kufur, ia lebih sukar dari mencari berlian dari jutaan butir pasir.
    Saya masih ingat puluhan jika tidak ratusan kali para pendakwah PAS menyatakan kekufuran Perlembagaan Lord Reid, termasuk dari TGNA sendiri. Tetapi tiba2 ada pemimpin yang cuba membawa aspirasi perlembagaan kufur.
    Saya kira racun liberal perlu dibuang cepat2 jika tidak ia akan laju melarat.

    ReplyDelete