Tuesday, October 26, 2010
Economic Transformation Programme
Semalam Perdana Menteri melancarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di PWTC. Meneliti dari apa yang dicatatkan di muka surat depan akhbar, transformasi ekonomi yang dimaksudkan adalah manifestasi dari konsep kitaran ekonomi yang berasaskan indeks pengeluaran (KNK dan KDNK). Jika sosialisme memandang ekonomi adalah sebahagian dari proses dialetika materialisme, maka ’keadilan sosial’ menjadi asas bagi membangun ekonomi mereka. Berbeza pula dengan kapitalisme yang diamalkan diseluruh penjuru dunia hari ini, pengeluaran adalah asas bagi mengukur kekuatan ekonomi mereka. Maka kita boleh lihat, bagi melakukan ’transformasi ekonomi’, sebagai permulaan 9 usaha sama antara pihak kerajaan dan swasta bagi menjana projek mega telah dimeterai yang setakat ini bernilai RM300.7 billion. Antaranya adalah di Kulim-Hi Tech Park, Mydin, perhotelan mewah, Schlumberger, Eastern Hemisphere Global Financil Service Hub dan KL International Financial District (KLIFD)
Secara konsep, apa yang dilakukan kerajaan adalah suatu yang baik untuk menjana ekonomi sesebuah Negara dari sudut pandang kapitalisme. Ia memang diperlukan untuk menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia. Malah, jika kita tiada gambaran jelas konsep ekonomi Islam turut akan bersetuju. Tetapi jika kita berbalik kepada asas aqidah dan memahami pandangan Islam dalam membangun ekonomi, nescaya kita dapati asas indeks pengeluaran yang digunapakai kapitalisme ini sama sekali bathil. Dalam Islam asas ekonomi adalah untuk memastikan bahawa segala keperluan hidup yang asas terpenuh dan keperluan berikutnya dapat diperoleh secara ma’ruf. Secara mudahnya, jika sosalisme memandang kepada keadilan sosial yang tidak masuk akal, kapitalisme menitik beratkan pengeluaran, Islam menjadikan pengagihan sebagai asas politik ekonomi. Politik ekonomi negara Islam adalah untuk memastikan segala keperluan asas umat seperti makan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan, jalanraya dipenuh secara mutlak dan keperluan lainnya dapat diperoleh secara ma’ruf sesuai dengan kemampuan. Kita boleh lihat, bahawa hukum-hukum fiqh berkenaan hak kepemilikan benar-benar untuk menjaga keberlangsungan perkara ini. Saya faham untuk memahami perkara ini dalam keadaan ia langsung tidak dilaksanakan dalam kehidupan hari adalah agak sukar. Malah, ramai cendekiawan Muslim hari ini yang cuba mengasimilisasikan mekanisme ekonomi kapitalisme dengan Islam. Mungkin mereka menyangka ia untuk kebaikan umat Islam, tetapi hakikatnya ia tidak lebih dari mengubah agama dan menjauhkan umat dari Islam yang murni.
Penulisan pagi hari ini juga bukanlah untuk mengupas lanjut perkara ini kerana ia tiada kapasiti tersebut. Walaubagaimana pun, saya suka mencadangkan para pembaca menelaah Kitab Sistem Ekonomi Islam dan Kitab Fiqh Amwal terbitan Hizbut Tahrir. Walaupun agak berat, ia mampu memberi gambaran bagaimana revolusi ekonomi dapat dilaksanakan dari sistem yang sematanya riba’ kepada apa yang diwahyukan Allah. Seterusnya bagi pembahasan fiqh ekonomi terdapat banyak kitab muktabar yang telah dikarang para fuqaha yang terpecaya.
WUZARA
No comments:
Post a Comment