Saturday, October 16, 2010

TUN M DAN 1 MALAYSIA


Saya baca entry terbaru Tun Dr Mahathir (TDM) di blognya. Jarang sebenarnya baca blog TDM.Cuma satu yang menarik diblog TDM ni, komen-komennya panjang belaka. Dari pandangan mereka, seperti kebanyakannya golongan terpelajar dan mereka yang memikirkan tentang masa hadapan Malaysia dan bangsa Melayu.

Human Development Seminar yang sepatutnya disampaikan TDM di Melbourne rupanya antaranya mengupas definisi 1Malaysia. Para pembaca boleh baca sendiri, pandangan TDM. Bagi mereka yang tiada kerangka berfikir yang jelas, pasti setidaknya cuba berfikir dalam kotak apa yang cuba disampaikan TDM. Beliau mengemukakan persepsi 1Malaysia ramai orang Melayu dan juga persepsi 1Malaysia masyarakat Cina dan India. Ia berbalik tentang kontrak sosial Melayu, Cina dan India. Jika kita terjebak ke dalam kerangka berfikir sedemikian, nescaya berserabutlah minda untuk mendapatkan hubungan harmoni antara 3 kaum. Datanglah pelbagai andaian dan harapan dirasakan susah untuk dijawab apatah lagi untuk merealisasikannya. Bagi para pemimpin dan pemikir negara, mungkin mereka merasakan telah berkorban mengerah seluruh kemampuan berfikir untuk mendapatkan ramuan terbaik bagi permasalahan koktrak ini. Apa tidaknya, mereka adalah orang-orang cerdik pandai yang mempunyai kelulusan tinggi baik dalam bidang politik, undang-undang, ekonomi dari universiti-universiti terkemuka. Masing-masing dengan kegeniusan cuba memberi buah pandangan bagi membina apa yang disebut bangsa Malaysia.

Tiba-tiba saya teringat pertemuan saya dengan seorang yang boleh dikira pembesar sebuah negeri di Malaysia. Melihat gelaran yang panjang sebelum namanya, dan jawatan-jawatan yang disandang oleh beliau di business cardnya, memang beliau seorang berpengaruh. Asalnya hanya perbincangan kerja, akhirnya merebak kepada pelbagai isu lain. Gaya bahasanya, sememangnya minda politiknya cenderung kepada UMNO tetapi dalam masa yang sama mengkritik UMNO. Pada pandangan beliau mereka yang cerdik pandai sukar mendapat tempat dalam UMNO, inilah yang menyebabkan ramai yang beralih ke PAS dan PKR. Satu point yang menarik, menurutnya pada tahun 60an semasa beliau menuntut di UM, dari 2000 pelajar pelbagai jurusan sains, hanya 11 orang Melayu. Dari situ, beliau membicarakan pelbagai permasalahan bangsa. Walaupun mengkritik dengan pedas, tetapi perjuangan masih acuan UMNO, tidak nampak jalan penyelesaian dan berserabut. Ini adalah lumrah jika kita berbicara pemimpin-pemimpin yang asas perjuangan Melayu. Asasnya adalah assobiyah dan ia bagi saya cukup berserabut.

Berbalik kepada apa yang dibawa TDM, jawapan bagi kita umat Islam sebenarnya tidaklah sesulit apa yang dicerna TDM. Permasalahan besar umat Islam kerana kita tiada entiti politik yang mampu menaungi umat Islam. Kalau pun TDM memikirnya, ia tidak lebih dari memperkasa OIC. Walhal, jika entiti politik global ini dapat diwujudkan (wajib diwujudkan dan sememangnya telah dinyatakan ia kembali oleh daith mutawatir), bukan sekadar bangsa Melayu, Cina dan India, malah seluruh umat manusia akan dapat disatukan dalam khilafah Islamiyah. Seluruh umat Islam layak hidup di dalam Khilafah dan sesiapa yang bukan beragama Islam turut layak hidup dalam Khilafah asalkan mereka sanggup patuh kepada undang-undang dan membayar jizyah. Hak mereka sama seperti warga yang beragama Islam kecuali mereka tidak boleh menyebarkan agama mereka dan menduduki jawatan pemerintahan seperti khalifah, muawwin, wali, amil, amirul jihad dan qadhi.Rasulullah bersabda yang maksudnya;
“Barangsiapa yang menzalimi orang bukan islam, atau mengurangkan haknya, atau membebankannya luar dari kemampuannya, atau mengambil daripadanya sesuatu tanpa jalan yang baik, maka aku akan menyoalnya pada hari akhirat kelak” (HR Abu Dawud)

Mereka mempunyai hak yang sama untuk masuk universiti, memegang jawatan pentadbiran, berniaga, memiliki rumah dan sebagainya. Jelas tidak timbul isu bumiputera, kontrak sosial dan sebagainya.

Andainya TDM memahami perkara ini dan mempunyai wawasan dan kerangka politik Islam yang jelas, nescaya akan ramai para pemikir yang belajar memahaminya. Jika tidak, selagi mereka berfikir dalam kerangka kapitalisme, selagi itulah mereka memikir sesuatu yang tak terjangkau dek akal dan segala idea yang terhasil sekadar membawa malapekata ke atas peradaban dunia.

No comments:

Post a Comment