Thursday, November 12, 2009

DI SEBALIK PENANGKAPAN DR.ASRI



[SN194] Pada 2 Oktober lepas, Negara telah dikejutkan dengan penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semasa menyampaikan kuliah agama di sebuah kediaman peribadi di Taman Sri Ukay Hulu Klang. Beliau ditahan atas alasan mengajar agama tanpa tauliah di hadapan kira-kira 100 hadirin. Antara yang turut hadir dalam ceramah beliau adalah Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan ADUN PAS Hulu Kelang, Saari Sungib. Peristiwa penangkapan ini telah mendapat liputan yang meluas di hampir kesemua media cetak dan elektronik, dan pelbagai komen pro dan kontra telah kita dengar mengenainya. Namun, dari berita-berita yang tersiar, ternyata pihak yang menyokong Asri jauh lebih ramai dari yang menentang. Hatta, Perdana Menteri Malaysia sendiri mempersoalkan tindakan JAIS yang menangkap Asri. Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz juga turut menyuarakan sokongan kepada pensyarah USM itu, malah Dr. Asri dilaporkan baru sahaja bertemu Nik Aziz di Kota Baharu untuk mengucapkan terima kasih beliau kepada Menteri Besar Kelantan itu. Semasa Asri di mahkamah, antara yang hadir memberi sokongan adalah Marina Mahathir, Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Azman Shafawi, Saari Sungib, Zuraida Kamaruddin dan Zainah Anwar (SIS). Turut hadir ialah wakil kepada Datuk Jamil Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

altBegitulah istimewanya Asri di mata pemimpin Malaysia, baik yang sekular, liberal mahupun Islam. Media massa pula nampaknya telah terlebih dahulu menghukum bahawa Dr Asri betul dan JAIS salah. Bagi yang mengikuti perkembangan penahanan Asri dari awal, banyak perkara pelik dan istimewa yang terdapat dalam kes ini. Pihak polis dikatakan menunggu selama 3 jam sebelum masuk dan membawa Dr. Asri keluar. Dan setelah masuk ke rumah, dilaporkan bahawa pihak polis mengambil masa lebih kurang sejam untuk berunding dengan Asri. Asri kemudian keluar dari kediaman mewah tersebut tanpa digari. Dengan kata lain, bekas Mufti Perlis ini ‘ditangkap’ dengan penuh hormat. Di Mahkamah pula, ternyata tiada sebarang dakwaan dilakukan dan pada petangnya Asri telah pun dijadualkan untuk mengadakan sidang media khas di sebuah hotel bersama Jamil Khir. Umum mengetahui bahawa sebelum tangkapan dibuat, Asri telah mengadakan sidang media menjelaskan isu Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah sebarang cadangan melantik beliau sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Asri mengakui yang Najib sendiri menawarkan jawatan tersebut kepada beliau tetapi beliau masih belum memberikan sebarang jawapan, malangnya PGSM telah menghantar memorandum bantahan. Beliau tidak ada masalah dengan bantahan, tetapi fitnah yang dilontarkan oleh PGSM, itulah yang menjadi punca kemarahannya, ujar Asri [http://www.youtube.com/watch?v=i1Y36XLYCVA].

Tauliah Perlu Di Bawah Kerajaan Sekular

Banyak pihak yang cuba mengaitkan penangkapan Dr. Asri dengan fahaman Wahabi yang dibawanya. Namun hal ini dinafikan oleh JAIS mahupun oleh Asri sendiri. JAIS menegaskan bahawa Asri ditangkap kerana mengajar agama tanpa tauliah. Bagi Asri dan bagi ramai pengamat, tauliah bukanlah ‘isu’, tetapi ada agenda lain di sebalik penahanan beliau. Semua orang tahu bahawa isu tauliah adalah isu lapuk, masakan orang sehebat Asri, dengan PhD yang dimilikinya, memerlukan tauliah untuk mengajar agama? Inilah yang ditekankan oleh Asri sendiri berkali-kali, bahawa kepakarannya telah pun diiktiraf oleh Universiti, malah pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan dan pembangkang sering mengundangnya untuk berceramah, apakah kebolehannya masih dipertikaikan sehingga memerlukan tauliah?

Isu tauliah sebenarnya adalah isu yang menjadikan semua Jabatan Agama (bukan sahaja JAIS) dibenci oleh majoriti masyarakat, apatah lagi oleh golongan pendakwah sendiri. Apa tidaknya, Jabatan Agama sebenarnya menjadi penghalang utama kepada mereka yang ingin berdakwah atau menyampaikan ilmu agama. Jabatan Agama dengan sewenang-wenangnya menggunakan ‘kuasa’ dan undang-undang sekular yang ada untuk menghalang seseorang dari menyampaikan agama Allah. Sungguh hina apa yang mereka lakukan! Jabatan Agama bukannya terdiri dari mereka yang bodoh yang tidak tahu bahawa hukum berdakwah adalah wajib. Namun, oleh sebab mereka adalah badan pelaksana kepada kerajaan sekular, dengan ‘kuasa’ yang sedikit yang diberi oleh kerajaan sekular kepada mereka, maka mereka dengan bangganya menangkap penceramah agama yang tidak diberi tauliah oleh mereka. Dan golongan yang ditangkap pula adalah golongan penceramah yang biasanya tidak seaspirasi dengan kerajaan atau dengan lebih tepat, yang selalu ‘menghentam’ kerajaan. Kerajaan sekular sememangnya sebuah kerajaan yang zalim dan sangat takut jika dihentam dari sudut agama, kerana ini boleh mengancam status quo mereka. Jadi, mereka biasanya menggubal undang-undang bagi membolehkan mereka menangkap orang-orang yang tidak sebulu dengan mereka.

Sesungguhnya Allah telah pun memberikan ‘kebenaran’ kepada setiap Muslim agar menyampaikan agamaNya dengan hak. Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri bukanlah pihak yang jahil untuk tidak mengetahui bahawa urusan dakwah merupakan kewajipan/perintah Allah ke atas setiap Muslim. Namun, kezaliman dan kuasa menyebabkan hati mereka tertutup dan mata mereka buta dari kebenaran, sehingga mereka sanggup menangkap orang yang berdakwah di jalan Allah. Berapa banyak ayat-ayat Al-Quran dan Al-Hadis yang tidak terungkap di sini yang memerintahkan kaum Muslimin menyampaikan dakwah, namun pihak Jabatan Agama tetap sanggup menjadi ‘penghalang’ kepada kewajipan ini, Masya Allah! Setelah Allah dan RasulNya sendiri memerintahkan kita untuk melakukan dakwah, apakah hak Jabatan Agama Islam untuk menghalangnya? Alangkah beraninya mereka mencegah manusia dari melakukan kewajipan yang Allah perintahkan!

Kita tidak menghalang jika pihak Jabatan Agama ingin melakukan pemantauan, dan hal ini seharusnya mereka lakukan demi menjaga agama Allah yang suci ini. Mereka boleh hadir ke mana-mana ceramah yang diadakan, dan jika mereka mendapati bahawa ceramah itu bertentangan dengan Islam atau mengandungi kesesatan, maka mereka bolehlah menghentikan ceramah seketika itu juga. Namun, jika ceramah yang disampaikan itu bertepatan dengan hak dan di atas landasan yang benar, maka mereka tidak mempunyai hak untuk menangkap penceramah tersebut. Malah mereka wajib mendengar ceramah tersebut dengan penuh khusyuk dan mengambil pengajaran darinya. Yang perlu dipantau di sini adalah ‘isi’ ceramah yang disampaikan, sama ada benar atau salah, bukannya ‘penceramah’ sama ada mempunyai tauliah atau tidak. Jika ada perbezaan pendapat sekalipun, maka hal ini masih tidak memberikan hak kepada Jabatan Agama untuk menahan seseorang, tetapi apa yang mesti dilakukan adalah dengan mengadakan perbincangan dan perdebatan yang Islami berdasarkan Al-Quran dan Sunah.

Sekitar Perbezaan Pendapat

Di dalam Islam, perbezaan pendapat merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ia terjadi bukan sahaja dalam masalah fiqh, malah dalam masalah akidah. Pada zaman Rasulullah SAW sendiri pun telah berlaku perbezaan pendapat di kalangan sahabat, dan hal ini berterusan sehinggalah ke zaman keemasan dan kemunduran Islam. Selama mana perbezaan pendapat tersebut masih berlaku dalam ruang lingkup ajaran Islam, ia tidak pernah memecahbelahkan kaum Muslimin, malah mereka menanggapinya dengan penuh ukhwah dan profesional. Ini kerana, mereka masih disatukan dalam satu negara yakni Negara Khilafah. Dan Khalifah biasanya akan terjun langsung dan menyelesaikan persoalan perbezaan pendapat yang boleh menyebabkan perpecahan umat. Namun, setelah runtuhnya Daulah Khilafah, perbezaan pendapat yang berlaku tidak lagi ditangani dengan benar oleh umat Islam itu sendiri apatah lagi oleh pemerintah. Pemerintah telah bertukar menjadi sekular dan tidak suka, malah tidak boleh ditegur dengan Islam. Mereka memerintah negara-bangsa dengan penuh kezaliman dan berusaha menghalang dan menangkap ulama-ulama yang menyeru kepada penyatuan di bawah satu pemerintahan Islam yang sebenar. Namun, dalam masa yang sama, mereka ‘menjaga’ ulama-ulama yang boleh mendukung kesekularan mereka. Ulama-ulama ini ditawar dan diberi jawatan tinggi dalam kerajaan, gaji yang tinggi, diberi pangkat dan publisiti yang istimewa. Ini adalah kerana, kerajaan sekular tahu bahawa ulama-ulama inilah yang boleh meng‘Islam’kan segala tindakan mereka yang tidak Islam.

Selain kezaliman pemerintah yang tidak boleh dimuhasabah, perpecahan juga melanda umat Islam dengan adanya sikap jumud dan jahil segelintir kaum Muslimin yang tidak dapat menerima pendapat orang lain yang berbeza dengannya, hingga ke tahap berlakunya kafir-mengkafir sesama sendiri. Lebih teruk, kafir-mengkafir ini merebak dari persoalan furu’ hinggalah ke persoalan pokok. Ajaran Wahabi yang selalu dikaitkan dengan Golongan Muda sebagai contoh, sering mengetengahkan isu teologi (ketuhanan). Dalam pembahagian tauhid Golongan Muda yang disandarkan kepada Imam Mujtahid Ibnu Taimiyyah, mereka membahagikan tauhid kepada 3 bahagian iaitu Ubudiyah, Uluhiyah dan Asma’ Wa Sifah. Dalam pembahasan mereka, mereka tidak memberi takwil kepada sifat Allah dan mereka tidak menakwilkan kalimah tentang ‘anggota’ Allah. Contohnya perbincangan tentang tangan Allah (yadullah), menurut Ibnu Taimiyyah, bila Allah menyebut tanganNya, maka yang perlu kita fahami adalah Allah mempunyai tangan, tetapi jangan kita bayangkan (bagaimana) tangan Allah, kerana perkara ini tidak dapat dijangkau oleh akal. Pendapat beliau ini kemudian diterima pakai oleh Imam Mujtahid Ibnu Wahab, yang kemudian mengundang kritikan besar dalam dunia teologi Islam. Akhirnya terjadi polemik antara pengikut dan orang yang anti kepadanya, sehingga ada tuduhan mengkafirkannya. Sementara itu, aliran teologi tradisionalis ‘Kaum Tua’, banyak dibentuk oleh pemikiran Imam Abu Hassan Ashaari dan Maturidi, yang mana pendapat mereka ini sesuai dengan pendapat imam-imam Syafi’iyyah. Dalam hal ini mereka mentakwilkan ‘Tangan Allah’ dengan ‘Kekuasaan Allah’, ‘Istiwa’ dengan ‘Istawla’ dan sebagainya.

Malangnya, kerana perbezaan dalam mentakwil dan mentafwidkan makna, makna yang tersirat dalam nas-nas telah diambil dan dijadikan senjata untuk mengkafir dan menyesatkan sesama kaum Muslimin. Walaupun pembahasan ini telah lama wujud, tetapi sehingga kini perbincangan sebegini masih tetap subur di kalangan sesetengah pihak yang fanatik, yang menyebabkan isu kafir-mengkafir terus muncul. Isu ini terus membara apabila ada puak-puak fanatik ini yang bekerja dan bernaung dalam Jabatan Agama sama ada di peringkat Pusat mahupun di peringkat Negeri. Maka, dengan ‘kelebihan’ kuasa yang ada pada mereka, mereka berusaha untuk mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan akidah mereka, atau setidak-tidaknya mereka akan berceramah di sana-sini dengan menyebarkan fitnah yang jahat dengan mengatakan kumpulan itu sesat dan kumpulan ini sesat. Dengan adanya puak yang fanatik ini, apatah lagi dengan adanya ‘sumbangan’ kekuatan dan layanan istimewa dari pihak pemerintah, maka merajalela-lah fitnah dan perbalahan hasil kerja tangan mereka. Perbalahan telah berlanjut kepada perkara-perkara furu’ seperti masalah qunut, wirid, doa selepas solat, azan sekali atau dua kali sebelum Jumaat dan banyak lagi. Akhirnya isu khilafiah telah menjadi isu untuk saling bid’ah membid’ahkan dan sesat-menyesatkan. Sudahnya, berlanjutan pula kepada isu pentauliahan, seolah-olah orang yang menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah adalah berbahaya seperti menyampaikan suatu ajaran sesat. ‘Tauliah’ justeru telah menjadi kayu ukur kepada benar atau sesatnya seseorang penceramah.

Kaedah Menangani Perbezaan Pendapat

Dalam menangani masalah perbezaan pendapat di kalangan umat Islam, Syeikh Taqiyuddin Al-Nabhani memberikan komentar, “Sedangkan pemahaman terhadap hukum Islam tidak hanya bergantung pada akal semata-mata, semestinya dengan pengetahuan tentang bahasa Arab, kemampuan menggali hukum, dan pengetahuan tentang hadis-hadis yang sahih dan juga yang dha’if (lemah). Berdasarkan hal ini maka para pengembang dakwah hendaknya menganggap bahawa pemahaman mereka terhadap hukum-hakam syarak adalah pemahaman yang benar, meski ada kemungkinan salah. Begitu pula hendaknya para pengembang dakwah menganggap pemahaman orang lain itu salah, meski ada kemungkinan benar. Hal ini akan membuka peluang kepada mereka untuk berdakwah menyampaikan Islam dan hukum-hakamnya sesuai dengan pemahaman dan istinbath mereka terhadap hukum-hukum tersebut. Hendaknya mereka mencuba mengubah pemahaman orang lain yang dinilai salah meski ada kemungkinan benar, supaya mengikuti pemahamannya, iaitu pemahaman yang dianggapnya benar meskipun ada kemungkinan salah. Berdasarkan hal ini, pengembang dakwah tidak boleh mengatakan tentang pendapatnya, ‘bahawa pendapat ini adalah pendapat Islam’ (pendapat lain tidak Islam). Yang seharusnya mereka katakan adalah ‘pendapat ini merupakan pendapat yang (bersifat) Islami’. Para pemuka mazhab dari kalangan mujtahidin menganggap bahawa istinbath mereka terhadap hukum-hakam syara’ adalah benar, namun ada kemungkinan salah. Mereka masing-masing selalu mengatakan: “Apabila hadis tersebut benar (sahih) itulah mazhabku dan buang jauhlah pendapatku”. Pengembang dakwah harus menganggap bahawa pendapat yang ditentukannya atau yang telah mereka usahakan dan sampai pada pendapat yang dipilihnya itu berasal dari Islam dan sesuai dengan apa yang mereka fahami, dan itu adalah pendapat yang benar meski ada kemungkinan salah.” [Mafahim Hizbut Tahrir, hal.70].

Perlu diingat bahawa kaedah di atas adalah terpakai di mana pembahasannya masih berada dalam ruang lingkup hukum syarak, namun jika yang dibahaskan adalah persoalan yang terkeluar dari hukum syarak, maka yang ada hanyalah kebenaran (haq) dan kebatilan sahaja. Justeru, selama mana pembahasan masih bersifat Islami, maka kaum Muslimin tidak dibenarkan menyesatkan pendapat orang lain yang bertentangan. Keadaan akan menjadi lebih buruk apabila Pihak Berkuasa Agama menggunakan ‘kuku besi’ (undang-undang sekular) untuk menangkap pengembang dakwah yang berbeza pendapat dengan mereka atau dengan kerajaan mereka, yang lantas terus menutup perbincangan ilmiah dari dilakukan. Maka semakin terkucillah umat Islam dari usaha menimba ilmu dan mencari kebenaran.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Ingatlah bahawa akidah Islam bukanlah persoalan salafi (wahabi) atau Asha’ari, Syiah atau Ahlu Sunnah. Usahlah bertengkar dan mengkafirkan orang lain dengan dakwaan bahawa akulah Ahli Sunnah yang sebenar. Sesungguhnya Allahlah yang Maha Mengetahui siapakah pengikut RasulNya dan penolong agamaNya, Sedarlah bahawa yang menjadi musuh kita sebenar adalah akidah sekularisme yang ditanam dalam diri pemimpin dan juga umat Islam oleh kuffar Barat. Inilah akidah kufur yang sebenar-benarnya yang menjadi musuh bagi kita semua. Perbezaan aliran teologi bukanlah punca sebenar perpecahan kaum Muslim, tetapi pemikiran sekularisme, assabiyyah dan wathaniyyah-lah yang telah memecahbelahkan umat Islam dari kesatuan. Kepada pihak berkuasa agama, amanah yang kalian pikul memanglah berat, tetapi musuh kalian bukanlah umat Islam. Musuh kalian adalah hukum kufur yang diterapkan ke atas umat Islam dan ke atas kalian sendiri pada waktu ini. Jalan penyelesaian untuk kalian bukanlah dengan menangkap pendakwah yang tidak bertauliah, tetapi tangkaplah mereka yang telah merubah hukum Allah dan yang menerapkan hukum selain dari Islam. Ingatlah bahawa tugas besar yang kita semua pikul adalah untuk menyatukan semula umat Islam yang berpecah dan lemah ini ke dalam satu negara superpower iaitu Negara Khilafah. Wallahu a’lam.

www.mykhilafah.com

No comments:

Post a Comment