Thursday, May 7, 2009

DULU ISLAM HADHARI, SEKARANG ULAMA' KERAJAAN KENA PERTAHANKAN 1 MALAYSIA PULA


KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengeluarkan garis panduan mengenai konsep 1Malaysia sebagai panduan kepimpinan negara, bagi mengelak salah tafsiran dan tanggapan negatif masyarakat mengenainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, kepimpinan negara memerlukan garis panduan khusus mengenai konsep itu supaya apa yang diucapkan dapat difahami rakyat. Katanya, sehingga kini rakyat belum dapat memahami konsep tersebut secara mendalam kerana matlamat dan gagasan 1Malaysia sering diputar belit pihak tertentu untuk kepentingan sendiri. "Sebelum konsep ini dipolemikkan dengan lebih parah oleh pihak berkepentingan, kita perlu menyediakan panduan supaya gagasan ini dapat diperjelaskan dengan lebih terperinci supaya ia berupaya membangunkan agama, bangsa dan negara," katanya selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat mengenai Konsep 1Malaysia di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini. Jamil Khir berkata, garis panduan itu akan dirangka berdasarkan resolusi yang akan dihasilkan semasa persidangan meja bulat tersebut. Beliau berkata, garis panduan itu akan terkandung dalam buku kecil yang akan disebarkan ke seluruh negara agar semua pihak memahami hasrat baru kepimpinan negara. Beliau menyarankan pihak media turut memainkan peranan mereka dengan menyebarkan resolusi itu.

Persidangan sehari itu dihadiri oleh Timbalan Menteri di JPM, Datuk Dr Mashitah Ibrahim; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin; bekas penasihat, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Muhammad Uthman Al-Muhammady.

[Berita Harian 05/05/09]

----------------------------------------------------------------------------------------------------

ULASAN

Konsep 1Malaysia (One Malaysia) yang akan terus menerapkan sistem sekular kini sedang cuba dipertahankan bermati-matian oleh para ulama yang dilantik oleh kerajaan diketuai oleh Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom. Sebagai orang-orang agama yang paling dekat dengan pemimpin No.1 negara, mereka sepatutnya melakukan muhasabah kepada pemimpin negara supaya berubah dan segera melaksanakan seluruh syariat Islam bukannya terus bersekutu di dalam meneruskan agenda 1Malaysia. Sebagai seorang Islam kita dituntut untuk menyatakan kebenaran walaupun ia selalunya pahit. Konsep dan slogan 1Malaysia yang mempunyai matlamat bertentangan dengan Islam seharusnya dihapuskan dan diganti dengan Syariat Islam sepenuhnya. Kini, bukan setakat mempertahankan, malah mereka kini menjadi mata tombak untuk menyebarkannya ke seluruh negara dengan merancang untuk menerbitkan buku kecil dan diagih-agihkan ke seluruh Negara.

Jika dahulu slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang terpapar di papan-papan tanda, akhbar dan media, kini slogan 1Malaysia pula bakal menghiasi semuanya itu. Walaupun 1001 macam slogan mahupun penampilan dibuat, namun selagi ia masih berteraskan konsep sekularisme dan mewarisi perlembagaan yang dicipta dan digubal oleh manusia, semuanya itu tidak ada nilainya di sisi Allah Azza wa Jala. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang beramal satu amalan yang bukan diatas perintah kami, maka ianya tertolak”. [HR. Muslim].

Tindakan para ulama kerajaan berkumpul untuk mempertahankan 1Malaysia itu pasti akan menerima nasib yang sama dengan Islam Hadhari iaitu ia tetap akan menemui kegagalan. Firman Allah SWT:

“Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah kebatilan; sesungguhnya kebatilan itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".[TMQ al-Israa’ (17) : 81].
Ayat ini menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa walaupun seluruh kekuatan dikumpulkan untuk mempertahankan kebatilan, nescaya ia tetap akan dilenyapkan oleh Allah SWT. Jadi perancangan dan tindakan yang dilakukan oleh para ulama kerajaan itu adalah perbuatan yang sia-sia bahkan merugikan masa, tenaga dan wang ringgit.

Ketahuilah bahawa sekiranya semua negara umat Islam termasuk Malaysia ingin berjaya sepertimana yang pernah dicapai oleh para Sahabat dan tabiin, maka Allah SWT telah memperjelaskannya di dalam Surah al-A’raaf (7), ayat ke-96 yang bermaksud:

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. Mana mungkin umat Islam ini akan dapat mencapai nilai ketakwaan jika tidak menjadikan al-Quran sebagai petunjuk di dalam kehidupan mereka. Firman Allah SWT: “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”. [TMQ al-Baqarah (2) : 2].

SUMBER: www.mykhilafah.com

No comments:

Post a Comment