Tuesday, March 3, 2009

BN IKUT RAJA, PR IKUT PERLEMBAGAAN, SIAPA YANG IKUT ISLAM?


DUN Perak bersidang dibawah pokok untuk melulusakan resolusi Ir Nizar sebagai MB dan membubarkan DUN.(Foto:The Malaysian Insider)


DUN Perak bersidang bawah pokok! Nak tergelak ada, marah pun ya, sedih juga melihat saudara seagama jadi begini. BN, siapa yang tak kenal, pelaksana hukum kufur di Malaysia. Sejak merdeka hingga hari ini, Perlembagaan Lord Reid yang diterapkan oleh mereka, bukan perlembagaan dari Kitabullah dan Sunnah Rasul. Padan muka akibat tewas pada PRU yang lepas.

Tidak pula saya ucapkan tahniah kepada Pakatan Rakyat(PR). Selain dari PAS,dua lagi parti, PKR dan DAP, jelas bukan parti yang memperjuangkan Islam.Cuma mereka disatukan oleh minhaj yang sama, iaitu demokrasi. Mereka masing-masing setuju bahawa Demokrasi adalah jalan terbaik untuk mendapatkan kekuasaan. Apakah kekuasaan Islam atau kekuasaan taghut, itu tolak tepi pada mereka. Buktinya, di Perak Menteri Besarnya beragama Islam tetapi jawatan yang paling berkuasa di Parlimen disandang oleh seorang Hindu. Hingga hari ini tiada satu negeri pun yang dikuasai pembangkang melaksanakan sistem pemerintahan dan hukuman Islam termasuk Kelantan.Mereka malah mengelirukan ummat dengan menyatakan ini pemerintahan Islam, walhal jauh sangat dari Islam. Maka rata-rata ummat pun terkeliru.

Kes yang terjadi pada kerajaan Negeri Perak adalah buktinya bahawa minhaj yang diguna oleh Pakatan Rakyat dan diamalkan selama ini adalah sistem kufur demokrasi. Dari mana kita nak kutip nas syari' yang menjelaskan masalah ini? Sebab itu, Pakatan Rakyat beriya-iya menyatakan tindakan mereka selari dengan peruntukan undang-undang. Sedangkan Barisan Nasional pula tidak habis-habis mengapi-apikan isu derhaka kepada Sultan. Yang jelas tiada pula antara kedua-dua pihak ini yang menyandarkannya kepada hukum Allah.

Kenapa Jadi Begini?

Kalau BN, PKR dan DAP tidak pelik mereka bersikap begini. Kerana mereka mengamalkan ideologi kapitalisme yang berasaskan faham sekular. Bagi golongan sekular, agama hanyalah sebatas peribadatan kepada Tuhan. Sedangkan bagi soal kehidupan, undang-undangnya ditentukan oleh suara mojoriti manusia menggubal undang-undang. Dalam sekularisme, tuhan/agama tiada peranan dalam kehidupan.

Tetapi kenapa pula PAS yang dipimpin oleh golongan ulama' juga menggunakan minhaj ini? Apakah mereka setuju akal manusia untuk menggubal undang-undang dan mengenepikan hukum Allah? Inilah yang menimbulkan tanda tanya.

Sepanjang pengalaman saya berhujah dengan mereka yang menggunakan demokrasi sebagai method memperjuangkan Islam ini, ada pelbagai alasan dan hujah untuk mengabsahkan demokrasi. Malahan hujah-hujah itu ada yang saling bertentangan.

1)Mereka yang berpandangan demokrasi adalah selari dengan Islam. Ini adalah pandangan ulama' moderate tersohor, Dr Yusof Qardhawi.

2)Mereka yang berpandangan demokrasi walaupun bukan sistem Islam tetapi diperbolehkan untuk menggunakannya untuk kemaslahatan ummat Islam atau dalam keadaan dharurah. Ini adalah pandangan ramai diantara mereka. Maka pelbagai kaedah fiqh yang dikemukakan untuk mempertahankan pandangan ini.

3)Mereka yang berpandangan hukum berubah dengan zaman dan tempat. Bagi golongan ini, bukan saja demokrasi, tetapi apa-apa hukum yang sesuai dan perlu dengan kehidupan sekarang maka adalah harus digunapakai. Pandangan ini persis fahaman Islam liberal.

MENEGAKKAN KEMBALI KHILAFAH ISLAMIAH

Penegakan kembali khilafah Islamiah adalah suatu fiqh yang tidak pernah dibahaskan oleh para fuqaha terdahulu. Ini kerana mereka hidup dalam daulah khilafah, ia sedang berdiri dan sedang menguasai dunia. Seiring dengan kemunduran pemikiran Islam ummat, kemunduran kemampuan ulama' untuk berijtihad, maka seiiring dengan itu juga khilafah hancur.

Akibatnya, setelah khilafah dijatuhkan, ummat tidak tahu bagaimana cara untuk mengembalikannya. Malangnya, khilafah hancur seiiring dengan ketidakmampuan ulama' melakukan ijtihad untuk mengembalikan semula khilafah. Maka, terkapai-kapailah ummat berusaha menegakkan khilafah. Maka sampai ada ulama' yang setuju terlibat dengan demokrasi kerana melihatkan tiada jalan lain selain demokrasi dan jihad. Pada mereka, jihad tidak sesuai dan akan mendatangkan banyak mafsadat, maka demokrasi dilihat sebagai satu-satunya cara terbaik untuk mengembalikan Islam.

Saya sangat yakin, ulama' tersebut berniat baik untuk mengembalikan Islam tetapi tidak nampak jalan lain selain demokrasi, maka diperbolehkan demokrasi. Tetapi apa yang terjadi, tahun demi tahun, dekad demi dekad, demokrasi sudah sebati dan mendarah daging dengan ulama' pelapis dan ummatnya. Mereka dari lahir, disekolahkan, dididik dan akhirnya berjuang dengan keyakinan demokrasi adalah sistem yang terbaik. Jika tidak, mengapa mereka beriya-iya mempertahan demokrasi dan menolak apabila ada pejuang-pejuang khilafah yang mengajak mereka menuntuti thariqah nubuwwah dan meninggal demokrasi. Mereka malahan ada yang membenci, memboikot, memfitnah dan memburuk pejuang khilafah ini. Dalam mereka membenci pejuang khilafah yang mengajak mereka kembali kepada minhaj nubuwwah, mereka boleh bekerjasama dengan parti-parti kufur atas nama demokrasi. Sekali lagi demokrasi!!!

Apa yang terjadi di Perak jelas antara parti komponen BN bersatu kerana demokrasi. Dan Pakatan Rakyat, yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP pun bersatu atas nama demokrasi. Siapa pula yang nak bersatu dibawah minhaj nubuwwah?

Renung-renungkan...

1 comment:

  1. Siapa ikut Islam? Memadailah sekiranya hanya sekelompok kecil yang lemah dan teraniaya ini sajalah yang mengikuti Islam. Kerana, sesungguhnya mereka yakin bahawa Allah sajalah pembela sekalian ummat Islam. Dan kita tidak sepatutnya juga mengikut mana-mana pun individu mahupun parti yang tidak menjadikan Islam sebagai Ad-Din. Biarpun pemimpinnya dari kalangan orang Islam, tapi haram tak pernahnya nampak solat berjemaah 5 waktu dimana-mana masjid dan surau dalam negara ni. Masalahnya, para pemimpin melayu ni semuanya berkehendakkan sesuatu dalam perjuangannya. Tiada yang melakukannya demi kerana agama, tapi kerana bangsa dan raja. Islam tidak pernah diasaskan sebagai memperjuangkan bangsa mahupun mana-mana raja yang mengaku Ketua Agama Islam, tapi raja manakah yang ada pernah mengimamkan solat 5 waktu bersama rakyat jelatanya? Hebat kan negara kita yang beraja, raja mengaku ketua agama, tapi mereka sendiri yang memburukkan agama? Adakah undang-undang dalam perlembagaan yang boleh kita guna untuk mendakwa mereka kerana tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua agama? Dihadapan Allah nanti, pasti kita semua akan dituntut atau dipersoalkan tentang masalah ini. Wallahu'alam. Terima kasih. Teruskan perjuangan kerana Islam, dan jangan kerana parti mahupun pemimpin.

    ReplyDelete