Monday, January 19, 2009

YA ALLAH, AMPUNKAN DOSA RIBA-KU

Tulisan ini saya petik dari http://at-tafqir.blogspot.com . Saya kira ramai orang yang mengetahui keharaman riba' adalah qath'ie. Tetapi dalam menungkah arus 'Debt Based Moneytary System' ramai di antara kita yang tewas, dari ilmuan Islam hinggalah ummat yang jahil. Walhal dosa riba' itu amat besar sekali. Semoga posting ini menjadi amal baik bagi saya dan penulisnya. Dan buat pembaca, semoga kita mendapat manfaat darinya. Ameen.






“Harap-harap Allah ampunkan dosa riba ni”

Itulah satu petikan yang keluar dari seorang teman saya yang ditujukan kepada dirinya sendirinya yang membeli kereta dengan pinjaman riba bank. Sukar untuk menerima dialog seperti ini, kerana dia adalah seorang yang berstatus seorang yang mempelajari agama, namun tidak memahami bahawa suatu ketetapan yang ditetapkan oleh Allah SWT perlu kita jaga, sama ada perlu dilakukan atau meninggalkannya.

Kepada temanku, yang mungkin sedang membaca tulisan ini, aggaplah tulisan ini sebagai teguran dan nasihat dari temanmu. Mungkin pada saat itu, belum sesuai untuk menyatakannya, jadi aku memilih diam dan menuliskannya di sini. Kerana aku yakin, kamu juga akan membuka blog-ku ini di sela-sela masa yang ada. Tidak bermaksud untuk mencela atau mengumbar aib (kerana aku tidak membuka identiti kamu), melainkan sebagai iktibar yang perlu kita fahami berkenaan isu halal dan haram di dalam islam.

Aku bukanlah tuhan, yang boleh menghukum sama ada orang itu berdosa ataukah tidak, sama ada diampunkan oleh tuhan ataukah sebaliknya. Namun, sebagai seorang hamba yang beriman, aku juga diperintahkan untuk melaksanakan perintahNya yang berupa Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar, menyeru kepada yang ma’ruf (kebaikan), dan mencegah dari segala hal yang munkar (keburukan). Kerana, jika aku tidak melakukannya, sudah barang tentu, aku tidak dapat menjawab di hadapan Allah SWT kelak.

Sahabatku (jika kamu sedang membaca tulisan ini), keharaman riba ini telah jelas termaktub di dalam kitab suci yang berbunyi:




الَّذِيْنَ يَأْكُلُوْنَ الرِّبَا لاَ يَقُوْمُوْنَ إِلاَّ كَمَا يَقُوْمُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُواْ إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَن جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانْتَهَى فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللهِ وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيْهَا خَالِدُوْنَ



“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Rabbnya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah: 275)


يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِيْنَ. فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوْسُ أَمْوَالِكُمْ لاَ تَظْلِمُوْنَ وَلاَ تُظْلَمُوْنَ


“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” (QS Al-Baqarah[2]: 278-279)

Akhi, teman, dan saudaraku sekalian. Perbahasan tentang riba sudah banyak dituliskan dalam buku-buku, lebaran-lebaran nasrah, bahkan melalui ceramah-ceramah yang membahas berkenaannya. Jadi, tidak perlulah aku bahaskan secara panjang lebar berkenaannya. Keharaman riba sudah maklum di dalam agama (ma’lum minad deen wad dhoruri).

Benarlah bahawa walaupun kita tidak menjalankan praktik riba, namun debu-debu riba pasti akan terkena pada kita. Dengan gaji yang kita perolehi, dengan baki transaksi yang diberi, dengan pengeluaran duit di bank (daripada gaji), semua itu mungkin saja adalah debu-debu riba yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimana dengan engkau sahabatku. Adakah engkau sedang mempraktikkan riba atau debu riba? Jelas, engkau sedang bergelumang dengan praktik maksiat riba itu sendiri. bertaubat, bukanlah suatu yang hanya dari mulut dan niat semata. Tetapi taubat sebenar adalah taubat nasuha, yang bilamana kita menyedari kesalahan kita tersebut, maka kita akan terus meninggalkannya, dan tidak akan mengulanginya, sambil senantiasa beristighfar kepada Ilahi.

Sebagai seorang mukmin, ketika kita menyedari tentang perbuatan yang kita lakukan berstatus dosa, maka dengan serta-merta-lah kita meninggalkannya. Bukan meneruskannya, seraya berharap agar Allah SWT mengampunkan kita. Allah SWT berfirman:

“Tidaklah pantas bagi orang yang beriman lelaki ataupun perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu perkara lantas bagi mereka masih terdapat pilihan yang lainnya dalam menyelesaikan urusan mereka. Barangsiapa yang durhaka kepada Allah dan rasul-Nya sungguh dia telah tersesat dengan kesesatan yang amat nyata.” (QS. Al-Ahzab : 36)

Wallahu’alam...

p/s: maaf, saya sengaja menggunakan kata ganti nama diri “aku” dan “engkau”, kerana selaras dengan literal penulisannya.

No comments:

Post a Comment