Saturday, January 17, 2009

Resolusi 1860 PBB merupakan bukti sikap pengecut para pemimpin kaum Muslimin.



Resolusi 1860 PBB merupakan bukti sikap pengecut para pemimpin kaum Muslimin. Mereka bukan hanya mengecewakan Gaza dengan tidak menghantar tentera mereka ke sana bahkan mereka menyerahkan Gaza kepada Yahudi melalui resolusi ini.


Pagi pagi hari ini, PBB telah mengeluarkan resolusi 1860 berkaitan dengan keganasan biadab yang dilakukan ke atas Gaza. Teks resolusi tersebut memanifestasikan percaturan politik yang busuk yang sebelum ini pernah digunakan di dalam Resolusi 242 PBB. Resolusi ini, yang dikeluarkan selepas perang tahun 1967, mengatakan bahawa Yahudi “..harus menarik diri dari tanah…” sedangkan seharusnya ia berbunyi “..menarik diri dari seluruh tanah”. Tujuan teks ini digunakan adalah agar Yahudi tetap mempunyai ruang untuk menduduki wilayah yang dikehendakinya!

Begitu juga dengan resolusi pada kali ini di mana tidak dinyatakan secara tegas (bahawa Yahudi) “..harus menarik diri dari Gaza…” sebaliknya ia hanya menyatakan, “..harus menghentikan pertempuran (gencatan senjata)” yang kemudiannya akan membawa kepada pengunduran. Namun persoalannya, bila dan bagaimana ini akan berlaku? Lantas bagaimana resolusi ini, yang penuh dengan kekaburan boleh menghentikan serangan Yahudi sedangkan mereka tidak pernah menghentikan serangan meskipun sudah ada sejumlah resolusi yang jauh lebih keras dan tegas?!

Resolusi-resolusi PBB hakikatnya tidak pernah menyelesaikan sebarang masalah, bahkan sudah terlalu banyak resolusi seperti ini yang tidak pernah dipatuhi oleh rejim Yahudi. Meskipun begitu, AS dan sekutunya tetap terus menolak penghasilan sebarang resolusi dari Majlis Keamanan berkaitan isu ini. Ini dilakukan untuk memberikan waktu yang cukup bagi rejim Zionis ini menumpahkan darah dalam serangan biadabnya terhadap Gaza, sehingga rejim ini dapat merealisasikan objektifnya.

Akibat dari mengikut telunjuk AS, para penguasa kaum Muslim itu tunduk patuh kepada kehendak AS, sama ada secara rela atau terpaksa. Lantas mereka ini berpecah belah dan berselisih antara satu sama lain dan mereka tidak pernah sepakat.

Namun, setelah rejim Zionis Yahudi ini menyaksikan bahawa mereka terpaksa menghadapi penentangan yang hebat, mereka mula sedar bahawa mereka tidak akan mampu merealisasikan objektif mereka secara ketenteraan. Mereka juga sedar bahawa masalah ini boleh terus berpanjangan, sedangkan pilihan raya umum mereka sudah hampir. Mereka memerlukan suasana ‘kemenangan’ baik melalui peperangan mahupun perdamaian, agar pilihan raya umum tersebut dapat dijalankan dalam suasana ini. Di sinilah AS memainkan peranannya secara aktif bagi mewujudkan suasana tersebut melalui Majlis Keamanan PBB di mana Condolezza Rice menjadi tarikan luar biasa dalam berbagai pertemuan dan perjumpaan. Dia pun mula menggerakkan para penguasa yang menjadi ejennya, sehingga mereka bergegas menemui Majlis Keamanan PBB. Siang dan malam mereka bekerja dengan begitu keras dengan penuh semangat. Mereka inilah para penguasa yang sebelum ini memandang sebarang bantuan tentera ke Gaza bagai pandangan orang yang seolah-olah sudah mati, padahal andai saja para penguasa ini membuat serangan atau sebahagian dari serangan, sudah tentu entiti Yahudi ini akan bergoncang, bahkan boleh sahaja hancur berkecai.

Melalui resolusi ini, pada hakikatnya, para penguasa inilah yang telah mewujudkan kepentingan Yahudi yang justeru tidak dapat direalisasikan melalui serangan biadab mereka. Resolusi itu akan menyebabkan tentera Israel kekal di Gaza, dan ini akan memastikan pemboikotan ke atas Semenanjung Gaza tetap berlaku dengan alasan untuk memastikan tidak berlaku penyeludupan persenjataan dan kekuatan. Janganlah tertipu dengan penjelasan yang dibungkus dengan indah, tentang akan dibukanya pemboikotan makanan dari mereka.

Untuk ‘memasarkan’ resolusi ini, AS sengaja menarik diri dari pengundian agar tampak bahawa AS seolah-olah tidak berada di belakang resolusi tersebut dan para penguasa ini menampakkan kemenangan gemilang yang jauh dari pengaruh AS. Mereka sesungguhnya telah berbohong - setiap orang yang berakal dan mempunyai kesedaran politik pasti menyedari bahawa andai sahaja AS tidak berada di belakang semua itu, sudah pasti AS akan memveto resolusi tersebut.

Wahai kaum Muslimin!

Sungguh tepat sekali apa yang disabdakan oleh manusia yang jujur dan terpercaya, Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam:

«إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ»


“Jika kamu sudah tidak mempunyai rasa malu, maka buatlah apa saja yang kamu mahu.” [HR Bukhari, Ibn Majah dan Ahmad]

Para penguasa itu melihat Gaza memang harus dihancurkan, di mana darah-darah orang tidak bersalah berhak ditumpahkan. Mereka tidak menggerakkan tenteranya untuk membantu Gaza, tidak melepaskan satu roket pun dari peluncurnya, bahkan lebih dari itu, mereka justeru menghalang para sukarelawan untuk membantu Gaza. Ironisnya, mereka justeru bergegas dan berlumba-lumba untuk mengeluarkan sebuah resolusi yang menghalang Gaza dari mendapat akses kepada senjata dan faktor-faktor yang dapat menguatkannya. Dilaknati Allah-lah mereka; bagaimana mereka sampai boleh berpaling seperti itu?

Sesiapa sahaja yang melihat entiti Yahudi, perampas Palestin ini dan dia tinggal berdekatan dengan para penguasa itu, sudah barang pasti tahu bahawa kewujudan entiti Zionis ini benar-benar bergantung kepada para penguasa ini. Merekalah yang melindunginya, jauh lebih baik daripada melindungi diri mereka sendiri. Sesungguhnya AS dan negara-negara Barat yang lain, yang mendukung entiti ini, tidak akan mempunyai pengaruh apa pun, kalau seandainya ada seorang sahaja dari para penguasa itu seorang yang waras…

Wahai kaum Muslimin!

Kami telah mengingatkan berkali-kali dan kami mengulanginya dan kami tambahkan lagi, bahawa siapa saja yang ingin menghancurkan entiti Yahudi dan mengembalikan Palestin secara utuh ke pangkuan negeri Islam, maka dia harus berjuang untuk mewujudkan seorang penguasa yang ikhlas dan negara yang benar, iaitu Daulah Khilafah Rasyidah. Ini adalah kerana seorang imam (pemimpin) itu adalah bagaikan perisai, di mana mereka (umat Islam) berperang di belakangnya, dan kepadanya (Khalifah) mereka berlindung, sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasul kita yang mulia. Pada saat itulah, rejim Zionis Yahudi ini tidak akan wujud di muka bumi, bahkan negara-negara Kafir penjajah yang jauh lebih kuat berbanding rejim ini pun akan pasti dihinakan!!

Allah berfirman:


إِنَّ فِي ذَلِكَ لَذِكْرَى لِمَن كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى السَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ


“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.” [TMQ Qaf [50]:37]

13 Muharram 1430 H
9 Januari 2009 M
Hizbut Tahrir

No comments:

Post a Comment