Thursday, August 12, 2010

CORETAN DI 2 RAMADHAN



Hari kedua di Bulan Ramadhan. Jika panjang umur sekejap sahaja kita akan sampai di penghujungnya. Kegembiraan menyambut Aidulfithri ada kalanya berbaur kesedihan meninggalkan Ramadhan dan kelalaian meraih ganjaran di dalamnya.

Ramadhan kali ini bagi saya lebih menggembirakan. Jawapannya hanya satu, kerana saya sudah tidak sesibuk dulu. Tahun lepas, sepuluh hari pertama puasa di China. Saya berkursus di sebuah tempat bernama Dongying dalam Wilayah Shengdong. Mujur ada sebuah restoren Muslim Xinjiang di hadapan hotel saya menginap. Kebetulan ketika itu sedang meletus isu Xinjiang, habis tubuh saya diperiksa semasa di Airport. Masih teringat juga keenakkan daging kambing panggang dibilas teh Cina, itulah santapan kegemaran saya setiap kali berbuka puasa di sana. Tidak lupa kenangan solat Jumaat di sana. Dari 1.6 juta penduduk, hanya 2000 yang beragama Islam, hanya sebuah masjid di situ. Saya dilayan umpama tetamu kehormat, duduk di hadapan khatib, bergambar bersama dan dihadiahkan sehelai kopiah.

Kali ini memulakan puasa di tanah air. Menyedihkan, penetapan tarikh berpuasa tidak diketahui menggunakan rukyah atau hisab. Kita seolah sudah tahu Puasa bermula rabu. Seperti tahun lepas, Sya'ban 29 hari. Jika begitu sepatutnya ru'yah yang digunakan, tetapi di mana hilal kelihatan tidak diberitahu. Jadi apakah hukum Islam yang diguna pakai bagi persoalan penentuan Ramadhan dan Syawal atau hukum Islam Islam Hadahari wal 1Malaysia? Ada yang bertanya, apakah boleh bertarawikh sedangkan belum tentu esok puasa? Saya menjawab, bertarawikhlah apabila sudah pasti kelihatan hilal Ramadhan. Kira-kira pukul 12 malam, mendapat berita hilal kelihatan di Celincing, utara Jakarta. Tetapi hanya hampir pukul 5pagi baru dapat dipastikan secara rasmi kelihatan hilal di banyak tempat di seluruh dunia. Saya yang tidur pukul 2 pagi, terasa bagai mendapat semangat terus bangun dan sempat menunaikan tarawikh, alhamdulillah.

Amalan yang sama, tetapi dengan hukum yang berbeza. Ada ramai umat Islam yang berpuasa berdasarkan ru'yatul Islam, tetapi ramai juga umat Islam di Malaysia yang menyandarkan kepada pemerintah yang tidak diketahui hukum apa yang diguna pakai. Andai hilal tidak kelihatan, nescaya berpuasalah pada hari syak.

Puasa bukanlah sekadar bulan ruhiyah, ia juga bulan siyasah. Ummat Islam berperang di Badar semasa Ramadhan. Banyak lagi peristiwa politik berlaku dalam bulan ini. Memahami, segala tindakan kita bukan sekadar untuk membolot balasan pahala, tetapi hakikatnya untuk mencari keredhaan Ilahi. Umpama seorang jejaka yang kemaruk cinta seorang gadis, diberikan segala hadiah dan kata-kata manis untuk menawan hati si gadis. Tetapi andai tetap ditolak si gadis, mana semua usaha tadi sekadar sia-sia. Begitulah kita sebagai hamba kepada Allah swt, seluruh amal kita agar Allah meredhai kehidupan kita dan dimasukkan ke syurgaNya, ameen.



Dakwah dan perjuangan tetap diperlu diteruskan di Ramadhan ini. Memang keletihan tetap terasa, tetapi itukan kemanisan sebagai Muslim begitu juga daei. Terasa rindu benar hati untuk berpuasa dalam naungan sebuah Khilafah Islamiah. Semoga cita-cita ini akan tercapai sedikit masa lagi. Selamat berpuasa diucapkan kepada semua, semoga Allah menerima amalan kita.

No comments:

Post a Comment