Monday, December 7, 2009

Itulah Qada' Allah...


Sabtu lepas, saya keluar rumah pada pukul lima suku pagi menuju ke rumah pakcik yang jaraknya lebih kurang 25km dari rumah saya. Kemudian kami bersama pergi menunaikan solat suboh di masjid. Imam solat suboh itu juga akan bersama kami ke Uniten, Bangi pagi ini menghadiri Simposium Ilmuan Islam anjuran Hizbut Tahrir. Selepas solat suboh saya mengambil mereka untuk sama-sama ke sana. Seramai 6 orang berada dalam MPV yang saya pandu. Malam tadi saya dah cek semua minyak enjin, coolant dan lain-lain yang patut. Baru seminggu lebih dihantar servis, saya kira kereta ini sepatutnya dalam tip top condition. Baru setengah jam perjalanan, tiba-tiba keluar sign didashboard, tanda minyak brake tak cukup. Kemudian keluar pula sign STOP. Nampaknya saya perlu berhenti. Jam menunjukkan belum 7 pagi, saya berada di tengah kawasan kangkar yang dipenuhi kebun sawit dan dusun, itulah jalan terdekat untuk saya memasuki highway Pagoh. Saya cek level minyak brake, berada di paras maximum, yelah… saya baru saja tukar minyak brake. Brake pad pun baru saja saya tukar sekali semasa servis minggu lepas. Saya cuba hubungi kedua-dua mekanik yang biasa repair kereta ini, tetapi tidak diangkat. Memandang perjalan masih 200km lagi, dan kami dijangka perjalanan pulang kami akan sampai waktu malam, melihat riak muka Pak Imam yang dah mula risau dengan kumat-kamit bersholawat dan berdoa. Saya membuat keputusan untuk patah balik dan tidak pergi ke Bangi. Untuk meredakan kerisauan kami berhenti sarapan. Semasa sarapan, salah seorang dari mekanik menghubungi saya balik. Beliau menyatakan ia tidak ada masalah, itu cuma cable sensor short body. Analisa saya sendiri cenderung untuk menyatakan demikian, tetapi selagi belum dicheck, saya tidak berani untuk meneruskan perjalanan, apatah lagi melihat kerisauan pada tuan imam. Andai kata benar-benar ada masalah dengan brake, ia boleh jam, pada kelajuan lebih100km/j di hiway, kita boleh bayangkan apa yang terjadi kepada kami. Selepas sarapan saya menghantar seorang demi seorang pulang ke rumah mereka. Memang pada mulanya terasa sikit kekecewaan, tetapi memikirkan ia adalah qada’, saya redha. Rasa sedikit kesal apabila seorang saudara saya dari lembah Klang yang hadir atas jemputan saya menelefon bahawa beliau telah sampai di Simposium. Tiba-tiba saya teringat sebuah lagi kereta yang ada dirumah, tetapi perjalan jauh hanya boleh muat 4 orang sajalah. Maka saya patah balik mengambil 2 sahabat lain. Akhirnya kami pergi juga ke symposium berempat. Sampai agak lewat kira-kira pukul 11.30 pagi. Ketika saya masuk, Presiden Hizbut Tahrir Ust Abdul Hakim Othman sedang menyampaikan ceramahnya yang menjelaskan thariqah yang ditabanni oleh Hizbut Tahrir untuk mendirikan semula khilafah Islamiah. Saya sampai dirumah pada pukul 10 malam, terasa letih badan ini. Mekanik seorang lagi menghubungi saya menyatakan perkara yang sama, tidak ada masalah dengan brake MPV saya, cuma sensor short. Jika saya meneruskan perjalanan pun insyaAllah tiada masalah. Tetapi apa pun saya dah selamat dan pulang walaupun berempat dengan menaiki kereta. Hasrat membawa tuan imam tidak kesampaian. Saya redha dengan qada’ Allah ini, sesungguhnya hanya Dia mengetahui hikmah atas segalanya.


KECELARUAN TENTANG PEMAHAMAN QADA’ WA QADAR


Jahm bin Sofwan adalah orang pertama yang membawa keracuan dalam pemahaman qada’ wa qadar dengan menyatakan seluruh perbuatan manusia telah ditentukan oleh Allah swt. Pemahaman ini dinamakan aliran Jabariah. Kemudian, Wasil bin Atho’ menyanggahnya dengan menyatakan sesungguhnya semua perbuatan manusia ditentukan oleh manusia sendiri yang kemudian dinamakan pemahaman muktazilah. Sebenarnya, persoalan tentang perbuatan manusia ini ditentukan oleh tuhan atau manusia, adalah persoalan agama kristian. Sekte rawaqqisme menyatakan tuhan telah menentukan segalanya, sedangkan sekti epiqurisme menyatakan manusia yang menentukannya sendiri. Baik Jabariah mahupun Muktazilah masing-masing cuba menjawab persoalan ini dengan mengaitkan dengan rukun iman berkenaan qadha wa qadar. Ratusan tahun kemudian muncul pula Abu Hasan Al Asy’ari dan Abu Mansur Al Maturidi, yang membaca fahaman Assya’ariah yang mengkompromikan antara pemahaman jabariah dan muktazilah dengan membawa idea qasb ikhtiari. Assya’ariah menyatakan manusia yang merancang perbuatan tersebut dan pada ketika berlakunya perbuatan itu, Allahlah yang menjadikannya. Ini lah yang dinamakan qasb ikhtiari. Kemudian mereka mengklain mereka adalah ahlussunnah.
Sebenarnya, ini bukanlah persoalan qada’ wa qadar. Para imam mazhab ahluss sunnah tidak pernah membahas aqidah dengan jalan argumentasi begini yang menjadikan persoalan dari agama lain untuk membangun aqidah Islam. Baik Jabariah, Muktazilah mahupun Assya’ariah mereka adalah ahli kalam yang membahas qada’ qa qadar dengan argumentasi dzanni begini. Mereka bahkan menimbulkan kebingungan tentang qada’ wa qadar kerana mengaitkannya dengan ilmu Allah, Lauhul Mahfuz dan iradah Allah.

PEMAHAMAN RINGKAS TENTANG QADA’

Dalam perbuatan kita ada perkara yang berada dalam kawalan kita seperti berjalan, pergi kerja, makan, minum. Manusia boleh membuat pilihannya sendiri. Dalam lingkungan ini adalah timbangan dosa dan pahala.
Sedang ada perkara-perkara yang berada dalam diluar kawalan kita tetapi menimpa kita. Ada perkara ini yang bersifat sunnatullah seperti kita tidak mampu terbang, tidak mampu berjalan di atas air dan sebagainya. Ia adalah sunnatullah. Selain itu ada perkara yang bukan sunnatullah tetapi kita tak mampu mengelaknya. Contohnya kecelakaan kapal terbang, kerosakan kenderaan ditengah-tengah perjalanan, dilanggar orang dan sebagainya. Kedua-dua perkara ini, baik ia sunnatullah mahupun bukan sunnatullah, ia adalah ketetapan Allah yang menimpa kita. Inilah yang dinamakan qadha yang mana kita tidak dipertanggungjawabkan dosa dan pahala. Apa yang wajib bagi kita adalah beriman dan redha atas qada’ itu samada ia baik mahupun buruk.
Inilah pemahaman ringkas berkenaan qada’. Berkenaan qadar pula, saya tidak berhasrat menjelaskannya disini. Apa pun, untuk pemahaman mendalam mengenai qada’ wa qadar ini, ia dibahaskan dalam kitab pertama pentarbiahan Hizbut Tahrir, kitab Nizamul Islam dalam bab yang kedua iaitu Qada’ wa Qadar. Kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajarinya boleh respons diblog ini untuk sama-sama kita mendalami Islam dan mendakwahkannya. Ameen.

No comments:

Post a Comment