Thursday, February 19, 2009

257,411 anak zina - hadiah dari sistem sekular untuk rakyat Malaysia

Dipetik dari : www.mykhilafah.com


Mengikut laporan yang disiarkan harakahdaily, jumlah anak luar nikah (anak zina) di Malaysia mencecah 257,411 orang sekarang, sama hebat dengan ancaman penyakit selesema burung atau aedes, kata Senator Muntaz Mohd Nawi.

Statistik di atas menunjukkan dengan jelas bahawa inilah ‘hadiah’ dari sebuah kebebasan (freedom) yang diperjuangkan, didakyahkan dan diterapkan di Malaysia oleh pemerintah sekular. Kebebasan yang berasal dari Barat memandang setiap individu perlu diberikan kebebasan untuk melakukan apa jua tindakan termasuklah perzinaan.

Amalan zina tidak lagi menjadi satu perkara besar dalam masyarakat sekular di Malaysia. Kita telah mendengar ada pemimpin terpaksa meletak jawatan kerana aktiviti zinanya dirakam oleh musuh politiknya. Kita juga pernah mendengar ada pihak yang menggunakan perzinaan untuk menangkap perasuah (semoga laknat Allah terkena kepada mereka) yang menjadi musuh politik mereka. Bahkan kita pernah mendengar ada ahli politik mengatakan pemberian perempuan untuk dizinainya sebagai sedekah. Beginilah parahnya kes yang terjadi dan cara berfikir mereka.

Dengan angka zina mencecah ratusan ribu, ironinya pemimpin-pemimpin sekular pada hari ini hanya melihat statistik ini dengan sebelah mata, dan mungkin ada yang langsung tidak melihatnya. Daripada melihat angka zina, mereka lebih berminat melihat kepada pertumbuhan ekonomi, iaitu KNK negara. Mereka lebih berminat untuk membincangkan kenaikan dan kejatuhan indeks di BSKL. Mereka langsung tidak berminat untuk campurtangan dan menyelesaikan masalah selain dari masalah perut mereka. Inilah pemikiran Kapitalis sejati.

Sesungguhnya dosa zina amat berat di dalam Islam dan Rasululllah SAW amat memandang berat perkara ini dan meletakkan isu ini di antara isu-isu yang penting dalam masyarakat. Perzinaan individu dalam sebuah komuniti sebenarnya menjadi unsur pemusnah komuniti ini. Rasulullah SAW bersabda,

“Apabila zina dizahirkan dalam sebuah negeri, sesungguhnya mereka telah menghalalkan bagi diri mereka (penduduk negeri itu) dengan azab Allah." [HR at-Tabrani].

Kes perzinaan ini semakin lama semakin menjadi perkara biasa dalam kehidupan masyarakat. Kita sering terserempak dengan pemandangan keji di mana lelaki dan perempuan berdua-duaan, malah terlalu banyak kita melihat sekumpulan remaja lelaki dan perempuan duduk bersama-sama bercampur gaul tanpa batas. Di samping kekejian yang mereka lakukan, nampaknya pihak ibubapa juga tidak mempedulikan lagi tentang pergaulan bebas anak lelaki atau anak perempuan mereka. Mereka tidak lagi bertindak sebagai 'wali' (penaung/penjaga) kepada anak-anak perempuan mereka, bahkan mereka banyak memberikan turut memberikan sumbangan kepada kemaksiatan anak-anak mereka, membenarkan anak lelaki atau perempuan mereka menjalinkan hubungan cinta sebelum nikah. Keluar rumah dengan tidak menutup aurat telah dianggap perkara biasa. Terlalu sedikit kita mendengar ibubapa yang menyuruh anak perempuan mereka keluar berjubah dan bertudung sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.

Apa pun, aspek penerapan hukum oleh pemerintah menjadi punca utama kepada segala kemaksiatan ini. Hukum Allah tidak diterapkan, namun hukum kufur sekularlah yang menjadi pilihan pemerintah untuk diterapkan. Pemerintah bekerja siang dan malam untuk mengekalkan jawatan mereka bagi meneruskan undang-undang sekular yang sebenarnya bakal membawa azab kepada mereka sendiri di hari kiamat nanti.

Kita melihat bagaimana pemerintah yang tamakkan kuasa berusaha mengekalkan kuasa masing-masing. Jika tidak berjaya melalui pilihan raya demokrasi, mereka akan menggunakan institusi raja-raja, pokoknya mereka tetap mahu berkuasa. Mereka langsung tidak mahu berfikir masalah sosial anak luar nikah yang begitu parah ini. Dalam cara hidup Kapitalis yang mereka amalkan, amalan zina, arak, judi, rasuah dan sebagainya bukanlah masalah besar negara.

Malah mereka sendiri tidak pernah menghalang isteri mereka bersosial mengikut kehendak kebebasan isteri mereka. Jadilah isteri-isteri mereka orang-orang yang rambutnya menggerbang macam puntianak pun tidak mengapa bagi mereka, malah mungkin mereka menganggap dan menjadikan isteri mereka sebagai orang yang memperagakan 'fesyen Islam'. Jadi, tidak hairanlah kalau di kalangan pemimpin negara sekular hari ini yang kononnya memperjuangkan Islam, tetapi isteri mereka bisa sahaja berpeluk-pelukan dengan aktor Bollywood. Juga, tidak hairan kalau pemimpin Negara Islam Hadhari bisa sahaja memegang bahu seorang aktres Hong Kong kelahiran negeri Perak.

Dari aspek perundangan, kita juga sudah jijik melihat hakim Syarie yang kononnya bekerja untuk Islam, berhukum dengan hukum Kufur, undang-undang Hudud telah ditukar dengan undang-undang bikinan manusia, iaitu 365 (bilangan hari setahun) iaitu maksima 3 tahun penjara, 6 sebatan maksima dan RM5000 denda. Inilah hukuman maksimum yang boleh dikenakan ke atas pelaku maksiat di dalam negara Islam Hadhari!

Pemimpin yang ada memang tidak pernah merasa berdosa bila menggantikan hukuman Allah ini dengan hukuman thaghut ini, malah hakim syarie pula menyokong melaksanakan undang-undang taghut ini! Bahkan bila hukuman hudud cuba diketengahkan oleh pihak-pihak tertentu untuk dilaksanakan, merekalah orang yang pertama akan menentang hukuman ini, kemudian barulah diikuti oleh Karpal Singh dan Lim Kit Siang.

Sesungguhnya permasalahan anak luar nikah ini hanyalah simptom daripada penerapan sistem kapitalis yang menjadikan kebebasan sebagai asas akidah mereka. Inilah hadiah Barat kepada Islam yang diambil oleh kelompok-kelompok sekular yang cintakan neraka.

Jadi untuk membuang simptom ini kita perlu melakukan rombakan secara menyeluruh, bukannya mengubati simptom itu sahaja. Sistem pemerintahan demokrasi kufur yang ada ini wajib diganti dengan sistem pemerintah Khilafah. Hanya dengan menggantikan sistem yang rosak ini dengan sistem yang datangnya dari Rabbul Alamin, barulah segala masalah yang timbul darinya akan dapat diselesaikan.

1 comment:

  1. assalamu'alaykum akhiy.
    i have a request: would u like to link my blog address in ur blog link menu, please.

    jalin ukhuwwah akhiy...kalau antum berkenan...

    jazakalloh khoyr.

    :-)

    from ur brothers n sisters in indonesia

    www.fsiekonomi.multiply.com

    in multiply u should have a multiply account if u wanna write comments but u could write them eventhough u have no mp account; just click here: http://www.users3.smartgb.com/g/g.php?a=s&i=g35-12450-e0

    ReplyDelete