Friday, December 19, 2008

Penswastaan IJN: Satu Usaha Menzalimi Rakyat



Kerajaan Malaysia terus menzalimi rakyat dan menentang hukum Islam. Satu lagi usaha untuk menswastakan perkhidmatan kesihatan kali ini Institut Jantung Negara. Pastinya yang mendapat keuntungan adalah para pemimpin tertinggi dan konglomerat.

Biaya perubatan penyakit jantung adalah sangat besar. Jarang sekali rakyat marhaein yang dapat menampung biaya perubatan penyakit ini hatta golongan pertengahan sekalipun. Ia menjadi kewajipan pemerintah untuk menyediakan kemudahan kesihatan kepada rakyatnya, bukan menjadikannya industri komersil.

Kerajaan kufur ini jelas terus menzalimi rakyat. Ia perlu dikuburkan bersama-sama dengan ideologi kapitalisme yang diterapkannya. Hanya dengan tegakknya khilafah Islamiah keadilan dan kesejahteraan sebenar dapat dikecapi dengan penerapan hukum Islam secara kaffar.





Kerajaan Mahu Jaminan Sime Darby Tawar Perubatan Pada Golongan Berpendapatan Rendah, kata PM


KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Kerajaan mahu jaminan daripada Sime Darby Bhd, yang berminat membeli kepentingan dalam IJN Holdings Sdn Bhd, supaya meneruskan khidmat pusat perubatan jantung terkenal itu kepada golongan berpendapatan rendah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Sekiranya jaminan itu dapat diberikan oleh pihak yang nak mengambil alih, maka mungkin pandangan kita terhadap pengambilalihan ini tidak begitu keras sangat. Ini juga bergantung kepada banyak syarat-syarat lain," katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Katanya terdapat beberapa pihak yang tidak bersetuju terhadap cadangan Sime Darby untuk membeli kepentingan dalam IJN, yang dimiliki 99.99 peratus oleh Kementerian Kewangan.

"Andaian mereka sekiranya pusat itu dijadikan milik swasta, bayaran perubatan akan menjadi lebih tinggi dan tidak akan dapat dinikmati oleh golongan tersebut," katanya.

Sime Darby dilaporkan telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk memperoleh pegangan dalam syarikat yang mengendalikan Institut Jantung Negara itu yang kini merupakan pusat perubatan jantung utama di rantau ini.

Abdullah berkata walaupun IJN kini merupakan pusat perubatan terkenal di rantau ini, golongan miskin masih boleh menikmati rawatan pakar dengan bayaran berpatutan.

"Ramai yang suka IJN kerana IJN dianggap sebagai pusat perubatan yang sangat baik dan terkenal. Terbaik di rantau ini dan dikenali di seluruh dunia. Jadi, rakyat biasapun mahu menikmati rawatan daripada pakar-pakar tersebut," katanya.

Beliau berkata bidang perubatan memerlukan kos yang agak besar kerana sentiasa memerlukan peralatan canggih, ubat-ubatan serta pakar-pakar perubatan terbaik.

"Ini bergantung kepada siapa yang memilikinya. Banyak kos yang diperlukan untuk terus menambah kekuatan dan keupayaan, seperti penambahan bilangan katil untuk pesakit dan menambah bilangan dewan bedah. Ini akan menelan belanja yang besar," katanya.

Abdullah berkata memang ada kebaikan sebaliknya jika ada pihak swasta yang dekat dengan kerajaan seperti Sime Darby, yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang ingin membantu.

Ketika ditanya sama ada kerajaan tidak lagi dapat menanggung kos IJN, Abdullah berkata kerajaan masih boleh menanggung kos tersebut.

"Bukan tidak boleh tanggung, kalau kita tanggung, kita tanggunglah."

"Ia membabitan persoalan mengenai membuat perbandingan, sama ada kalau boleh lagi diperbesarkan, ada orang yang nak menanggungnya dan dia pastikan dapat memenuhi tuntutan-tuntutan yang kita harapkan, apa salahnya. Kerajaan pula boleh buat hospital lain di tempat lain," kata Abdullah.

Sime Darby dilaporkan membayar harga premium melebihi penilaian hospital biasa sebanyak 16 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) memandangkan IJN merupakan pusat pakar jantung terkenal di rantau ini.

Sehingga kini, Sime Darby masih belum mengesahkan jumlah kepentingan yang ingin dibeli dalam IJN.

No comments:

Post a Comment