Friday, November 14, 2008

[SN176]PATUTKAH UMAT ISLAM BERHARAP PADA OBAMA?

sumber: http://www.mykhilafah.com

Pada 5 November lepas, satu sejarah telah tercipta di Amerika Syarikat (AS) apabila Barack Obama memenangi pilihan raya Presiden, sebagai presiden kulit hitam pertama di Amerika dalam tempoh 232 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari kuasa Eropah. Obama, 47, yang mewakili Parti Demokrat mengenepikan pencabarnya daripada Parti Republikan, John McCain dengan membolot 349 undi melepasi undi minimum sebanyak 270 bagi melayakkan seseorang calon untuk diisytihar menang bagi menduduki White House. Dengan kemenangan tersebut, ucapan tahniah datang mencurah-curah, bukan sahaja dari Amerika, malah dari seluruh dunia, termasuk dunia Islam yang nampaknya bergembira dengan kemenangan Obama. Kemenangan calon kulit hitam pertama ini seperti telah memberi satu harapan baru kepada dunia sehingga pemimpin dunia Islam pun menaruh harapan yang tinggi kepada anak keturunan Kenya ini, seolah-olah seorang ‘pengaman’ dunia telah muncul.

Rata-rata pemimpin umat Islam, termasuk yang bergelar ulama sekalipun mengucapkan tahniah dan menaruh harapan yang tinggi kepada Obama yang pernah bersekolah di Indonesia semasa kecilnya dahulu. Harapan menggunung yang diletakkan ke atas Obama antara lain adalah kerana kemarahan dan kebencian mereka terhadap Bush, yang selama ini terkenal dengan segala kemusnahan dan kekejaman yang telah dilakukannya ke atas umat Islam. Jadi, para pemimpin dunia Islam menaruh harapan yang tinggi kepada presiden Amerika yang ke-44 ini. Tidaklah salah untuk umat Islam menaruh harapan kepada Obama. Tetapi malangnya umat Islam yang mengharap itu seolah-olah tidak pernah mengikuti perkembangan ucapan dan pendirian Obama selama tempoh beliau berkempen untuk menjadi orang nombor satu di negara Uncle Sam tersebut. Sesungguhnya ‘pendirian’ seseorang calon presiden terhadap polisi luarnya ke atas negara umat Islam memang merupakan satu agenda penting yang mesti dibawa semasa berkempen dan boleh menentukan kalah-menang calon tersebut di dalam pilihan raya. Di sinilah kita sebagai umat Islam mesti meneliti setiap ucapan seseorang calon presiden itu agar kita tahu apakah kita boleh ‘meletakkan harapan’ kepada mereka atau tidak.

Obama Oh Obama!

Jika diteliti sepanjang kempennya untuk menduduki jawatan presiden, Obama menyatakan dengan jelas banyak perkara mengenai pendiriannya terhadap umat Islam dan negara-negara umat Islam. Berhubung peperangan di Iraq misalnya, Obama memang dari awal seolah-olah menentang peperangan ke atas Iraq, namun dalam masa yang sama beliau juga tidak bersetuju dengan tarikh tepat untuk mengundurkan tentera AS dari Iraq. Ini kerana keberadaan pasukan AS di Iraq amat penting bagi meneruskan kesinambungan polisi AS di Timur Tengah, termasuklah antaranya konfrontasi tentera dengan Iran, Syria dan Selatan Lebanon.

Obama telah beberapa kali menekankan bahawa kebanyakan dari pasukan AS di kawasan berkenaan sepatutnya ditempatkan di kawasan-kawasan yang lain juga seperti Kuwait, bukannya meletakkan kesemuanya di Iraq. Obama juga dengan jelas menyatakan bahawa perang sebenar adalah di Afghanistan bukannya Iraq. Inilah sebabnya kenapa Obama memilih untuk mengundurkan tentera dari Iraq agar mereka dapat ditempatkan di Afghanistan dan Pakistan, negara di mana AS sebenarnya sedang menghadapi peperangan yang tidak diisytiharkannya (undeclared war). Obama secara terbuka mengulangi berkali-kali janjinya bahawa beliau akan memperluaskan penguasaan (baca: penaklukan) mereka di Afghanistan, menambahkan bilangan tentera mereka di sana serta memperluaskan lagi operasi dan mensistematikkan lagi serangan-serangan mereka di sempadan (cross-border attacks). Dengan kata lain, perancangan Obama sesungguhnya tidak jauh berbeza dengan Bush, malah beliau sebenarnya hanya memperkukuhkan lagi perancangan jahat yang telah selama ini dimulakan oleh Bush di bumi Iraq, Afghanistan dan sekitarnya.

Di Pakistan pula, dengan pertolongan Musharraf, Bush selama ini telah menjadikan bumi umat Islam ini tidak lebih sebagai gelanggang utama untuk menjatuhkan segala bom dan peluru untuk membunuh kaum Muslimin yang di labelnya sebagai teroris. Dan hal ini tidak ada beza sedikit pun dengan Obama yang dengan terang lagi nyata ingin melancarkan perang ke atas Pakistan jika Musharraf enggan bertindak demikian terhadap umat Islam yang digelarnya ‘militan’. Obama dalam satu temu ramah menyatakan, “Ketidakstabilan di Pakistan sekarang telah terpesong dari demokrasi. Kebangkitan golongan militan Islam di dalam negara tersebut yang Musharraf tidak dapat atasi dengan berkesan, inilah yang pada pendapat saya mengancam kestabilan di rantau itu.” Belum pun menjadi presiden, Obama telah dengan nyatanya berhasrat untuk membunuh saudara-saudara kita di Pakistan. Subhanallah!

Langsung tidak ada beza dengan Bush, Obama turut ingin membawa demokrasi ke Pakistan dan untuk memastikan demokrasi tersebut dilaksanakan, darah dan nyawa umat Islam adalah galang gantinya. Darah dan nyawa ini menjadi ‘harga’ yang akan diambilnya dari umat Islam demi sebuah sistem yang bergelar ‘demokrasi’ yang ingin diterapkannya di Pakistan. Kini, dengan kedudukan Asif Ali Zardari sebagai Presiden, yang hakikatnya telah pun mempersembahkan taat setianya kepada Amerika sama seperti Musharraf, polisi Obama ke atas Pakistan nampaknya akan dapat diteruskan dengan mudah. Jika selama ini Zardari boleh ‘menyembah’ Bush tanpa berbelah bahagi, dengan kehadiran Obama sebagai tuan barunya, Zardari nampaknya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk menyerahkan nyawa umat Islam di Pakistan kepada Obama. War on terror pastinya akan diteruskan oleh Obama tanpa ragu-ragu ke atas kaum Muslimin di Pakistan, dengan kerjasama penuh dari Zardari. Obama sesungguhnya telah pun mengisytiharkan secara terbuka bahawa rejimnya akan meneruskan lagi agenda ‘war against terrorism’ di Pakistan dengan lebih sistematik, serangan berskala besar di darat dan udara (large-scale ground and air attacks). Ini bermakna, Obama hanya akan memperluaskan lagi gelanggang untuk menumpahkan darah umat Islam di Pakistan ke kampung-kampung, bandar, pinggir bandar dan lain-lain kawasan atas alasan memerangi ‘pengganas’.
Di antara sikap Obama yang penting yang mesti diketahui oleh umat Islam adalah pendiriannya terhadap Israel. Semasa berucap di AIPAC (American Israel Public Affairs Committee) pada Jun 2008, Obama dengan lantang dan tegas menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada negara haram tersebut. Beliau mendapat tepukan gemuruh dari hadirin setiap kali menyuarakan sokongan penuh kepada negara dan bangsa yang dilaknat Allah itu. Antara lain Obama menyatakan, “Saya tahu apabila saya melawat AIPAC, saya adalah di kalangan kawan (dengan Israel), kawan yang sangat baik. Kawan yang berkongsi komitmen yang kuat untuk memastikan ikatan antara AS dan Israel tidak akan terputus hari ini, tidak akan terputus besok dan tidak akan terputus selama-lamanya”

Semasa memperkata dan mempertahankan tentang kewujudan negara haram Israel, Obama dengan tegas menyatakan bahawa, “We know that the establishment of Israel was just and necessary, rooted in centuries of struggle and decades of patient work but sixty years later we know that we cannot relent, we cannot yield and as president I will never compromise when it comes to Israel’s security.” (Kita tahu bahawa kewujudan negara Israel adalah suatu yang adil dan perlu, yang telah dihasilkan dari perjuangan yang berabad lamanya dan kesabaran usaha yang berdekad tempohnya. Namun sesudah 60 tahun kemudian, kita tahu bahawa kita tidak boleh berlembut dan kita tidak boleh menyerah kalah dan sebagai presiden saya tidak akan sekali-kali berkompromi bila melibatkan keselamatan Israel).

Obama seterusnya dengan lantang dan tegas memberikan komitmennya untuk menjaga Israel dari sebarang ancaman dengan mengatakan, “Kesepakatan (alliance) kita sekarang adalah berteraskan kepentingan bersama dan nilai bersama. Sesiapa sahaja yang mengancam Israel, bermakna ia mengancam kami (AS). Israel senantiasa menghadapi ancaman ini secara terang-terangan. Dan saya akan membawa ke White House sebuah komitmen yang tidak berbelah bahagi (unshakeable committment) terhadap keselamatan Israel, bermula dengan memastikan keupayaan kualitatif ketenteraan Israel. Saya akan memastikan yang Israel dapat mempertahankan dirinya dari sebarang ancaman dari Gaza hingga ke Tehran. Kerjasama pertahanan antara AS dan Israel adalah satu kejayaan dan mesti diperhebatkan lagi. Sebagai presiden, saya akan melaksanakan satu Memorandum Kesefahaman (MoU) yang memperuntukkan bantuan sebanyak 30 bilion kepada Israel pada dekad hadapan ini, sebagai pelaburan kepada keselamatan Israel yang tidak akan terikat kepada mana-mana negara sekalipun.” [sedutan ucapan-ucapan Obama di atas boleh ditonton di [http://www.youtube.com/watch?v=YgpJUlzoKTg]

Amerika Adalah Negara Kafir Harbi
Wahai kaum Muslimin! Janganlah hendaknya kita menilai seseorang itu dengan warna kulitnya, tetapi kita mestilah menilai apa yang ada di dalam pemikirannya yang dizahirkan melalui lisan atau perbuatannya. Kita mungkin merasakan atau mengharap bahawa seorang presiden Amerika yang berkulit hitam lebih baik dari yang berkulit putih, kerana telah sekian lama mereka yang berkulit hitam ditindas oleh mereka yang berkulit putih di negara besar tersebut. Namun, warna kulit pada hakikatnya tidak mencerminkan apa-apa, kerana akidah dan pemikiranlah yang menjadi ukuran. Presiden Amerika, siapa pun jua hendaklah dinilai dari sudut akidah dan pemikiran yang dimilikinya. Seorang presiden yang berkulit putih sudah hampir meninggalkan rumah putihnya, dan rumah putih tersebut bakal dihuni pula oleh seorang presiden berkulit hitam, namun apa yang nyata adalah akidah/ideologi yang dianuti keduanya adalah sama. Bertukarnya penghuni Rumah Putih ternyata sama sekali tidak menukar sistem yang dibawa oleh mereka. Ideologi kufur Kapitalis tetap digalas oleh siapa pun jua yang masuk ke mahligai syaitan itu.

Kita perlu ingat bahawa Amerika adalah negara kepala, pendukung dan pengembang Ideologi kufur Kapitalis dan Obama hanyalah sebahagian darinya. Amerika adalah sebuah negara yang dipimpin oleh segolongan kuffar dengan segala hukum-hakam kufur diterapkan di dalamnya di mana Barack Obama kini menjadi ‘ketua’ kepada semua golongan kuffar Kapitalis tersebut. Kita semua tahu berapa ramai di antara golongan kuffar tersebut yang bencikan Islam dan umat Islam dan kita semua tahu bahawa tabiat hidup penganut Kapitalis adalah untuk mencapai sebanyak mungkin kemewahan dunia dan mereka tidak akan pernah berhenti berfikir bagaimana untuk menguasai dunia dengan segala sumber-sumbernya. Dan kita semua tahu bahawa kebanyakan sumber kekayaan dunia berada di negara umat Islam.

Justeru, apakah kita mengharapkan presiden baru Amerika ini hanya akan berdiam diri melihat kekayaan yang melimpah ruah yang ada di dunia Islam, walhal dia boleh menguasai semuanya? Malah dia boleh menguasai kesemuanya dengan begitu mudah kerana pemimpin-pemimpin umat Islam yang ada pada hari ini adalah para pengkhianat yang telah pun selama ini menyerahkan kekayaan negara dan nyawa umat Islam di negara mereka kepada Amerika. Justeru, sungguh sedih apabila ada di kalangan pemimpin dan ulama Islam yang boleh mengucapkan tahniah dan berharap kepada Obama untuk membawa perubahan kepada dunia amnya dan dunia Islam khususnya, seolah-olah dengan terlantiknya Obama sebagai presiden kulit hitam pertama AS, seorang ‘superman’ yang akan menyelamatkan dunia telah muncul. Mereka seperti tidak dapat mengambil pengajaran bahawa George Bush laknatullah dahulu pun membawa misi yang sama iaitu ingin membawa keamanan kepada dunia melalui sistem demokrasi yang dijajanya ke seluruh dunia Islam. Dan selama dua penggal memegang jawatan presiden, kita semua tahu bahawa ‘keamanan’ yang dimaksudkan oleh Bush adalah dengan membunuh dan memerangi semua umat Islam yang tidak menyokongnya, menakluk negeri umat Islam dan mengaut segala hasil buminya. Hanya dengan pembunuhan ke atas golongan umat Islam yang dilabelnya pengganas dan menakluk negara umat Islam, maka barulah dunia akan mengecapi keamanan; inilah tafsiran ‘keamanan’ bagi Bush. Bukti sekarang terpampang di depan mata bahawa tafsiran keamanan yang sama yang kini dibawa pula oleh Obama.

Sebagai Muslim, berfikirlah dengan jernih berdasarkan akidah Islam yang kita miliki ini, apakah kita patut menaruh harapan kepada pengganti Bush ini seolah-olah dunia akan dinaungi rahmat kerana kemenangannya? Bukankah dunia hanya akan berada di bawah rahmat jika orang Islam yang memerintah dunia dengan hukum-hukum Allah? Justeru, apakah Obama yang akan meneruskan Ideologi Kapitalis dan melaksanakan hukum-hukum kufurnya ke atas dunia patut kita berasa gembira di atas kemenangannya? Sesungguhnya kemenangan Obama sekali-kali tidak akan merubah status Amerika Syarikat sebagai sebuah negara kafir harbi (kafir yang memerangi umat Islam). Dan sesungguhnya Islam telah merincikan hukum-hakam yang wajib kita ambil terhadap negara kafir harbi seperti Amerika, Israel, Britain dan sekutu-sekutu mereka. Sayangnya ruang yang terhad di dalam nasyrah ini tidak mengizinkan kami untuk menjelaskan hukam-hakamnya dengan terperinci.
Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya kemenangan Obama tidak akan merubah landskap politik dunia. Dunia tetap tidak akan aman dan tidak akan berada di bawah naungan rahmat dan keberkatan dari Allah. Hanya dengan kepimpinan dunia berada di bawah tangan seorang Khalifah yang berakidahkan Islam dan dengan penerapan hukum Allah secara kaffah, maka barulah keamanan yang sebenar akan tercapai dan rahmat Allah akan tercurah ke atas kita semua. Perubahan sebenar yang sepatutnya diharapkan (dan diusahakan) oleh umat Islam adalah perubahan/penggantian sistem dunia kepada sistem Islam (sistem Khilafah), bukannya penggantian seorang yang berkulit putih dengan seorang yang berkulit hitam yang tetap membawa sistem Kapitalis yang sama. Perubahan sebenar yang sepatutnya diharapkan (dan diusahakan) oleh umat Islam adalah dengan tertegaknya kembali Daulah Khilafah, yang akan menerapkan hukum Allah dari tujuh petala langit. Sesungguhnya dunia tidak akan berubah hanya dengan terlantiknya seorang kafir yang akan memerintah dengan hukum-hukum kufur, tetapi dunia akan berubah apabila dibai’atnya seorang Khalifah yang akan memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya.

No comments:

Post a Comment