Mungkin anda pernah mendengar tentangnya, dan mungkin juga ini merupakan kali pertama anda mengetahui akan kewujudannya. Mungkin anda pernah menghadiri seminar anjuran mereka, menandatangani kempen membantah kenaikan harga minyak dan membaca Sautun Nahdhah (yang pernah diedarkan di beberapa masjid setiap Jumaat).
Mungkin juga anda merupakan penggerak, ataupun syabab HT sendiri. Dan tak mustahil juga sekiranya anda merupakan orang yang pernah meng’copy-paste’ artikel-artikel yang menceritakan tentang ‘kesesatan’ dan keburukan HT. Tak kurang juga yang menggariskan satu persatu ‘kesesatan’ mereka (kemudian memetik daripada sumber HT sendiri yang berbahasa Arab namun penerangan yang diberikan itu lari daripada konteks yang sebenar); ataupun seorang yang menyeru supaya mereka pulang ke Palestin, tempat asal kelahiran amir HT pertama, almarhum Sheikh Taqiuddin An-Nabhani.
Mungkin anda merupakan salah seorang daripada jutaan umat Islam yang menyetujui dan turut mendokong perjuangan menegakkan khilafah, dan menyetujui tariqah perjuangan mereka. Boleh jadi juga anda merupakan seorang yang menganggap kehadiran HT di Malaysia sebagai ‘jemaah perosak’ yang mengganggu perjuangan anda melalui pilihanraya demokrasi (dek ketegasan pendapat mereka tentang keharaman untuk terlibat dalam demokrasi).
Boleh jadi anda merupakan ahli ataupun pemimpin dalam parti pemerintah yang khuatir bahawa fikrah yang dibawa mereka ini membahayakan kedudukan anda. Ataupun anda merupakan seorang pegawai SB (Special Branch), yang begitu komited memantau gerak-geri pihak pimpinan dan juga aktiviti anjuran HT kerana mengesyaki HT sebagai perosak keamanan dan kestabilan negara.
Ataupun anda merupakan salah seorang hadirin di International Khilafah Conference yang diadakan di Indonesia tidak lama dahulu, ataupun yang pernah menonton video “Ila mata? / Sampai Bila?” yang dihasilkan oleh syabab HT di Malaysia. Mungkin juga anda pernah meminta pandangan naqib anda berkenaan HT semasa usrah/halaqah ataupun pernah membincangkan tentang HT dalam forum portal komuniti.
Saya tak berhasrat nak menceritakan asal usul HT dan juga tariqah perjuangan mereka secara detail dalam post kali ini, kerana jika kita taip ‘Hizbut Tahrir’ melalui enjin carian seperti google ataupun yahoo pasti akan mendatangkan banyak link (cuma kalau nak maklumat sahih, kenalah rujuk kepada sumber primer).
Apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah pengalaman peribadi saya semenjak dari pertama kali mengetahui tentang HT sehinggalah ke hari ini. Mudah-mudahan anda beroleh kebaikan daripada perkongsian saya yang tak seberapa ini, dan saya terbuka kepada sebarang teguran sekiranya ada yang tak kena sepanjang perkongsian saya ini.
‘First Encounter’ Segalanya bermula pada 2004, ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah daripada kolej saya. Ketika itu saya baru semester pertama di sebuah pusat pengajian pra-Universiti (orang yang mengenali saya pasti tahu saya pernah belajar di mana).
[Disebabkan ketika sekolah menengah saya belajar di sekolah berasrama penuh, kemudian selepas tamat saya dipanggil ke PLKN; maka saya menjadi sedikit ‘homesick’ dan seringkali pulang ke rumah apabila berkesempatan. Ditambah lagi, jarak antara rumah dan tempat saya belajar agak dekat. Jadi, boleh dikatakan hampir setiap minggu saya pulang ke rumah.] Sewaktu sedang dalam perjalanan ke perhentian bas, saya menemui sehelai nasyrah yang barangkali tercicir di atas tanah. Ditakdirkan Allah, hati saya tergerak untuk mengambil dan membacanya. Rupa-rupanya nasyrah tersebut merupakan Soutun Nahdhah yang pertama saya baca. Saya tertarik dengan isu yang dibawakan iaitu mengenai ketiadaan khilafah Islam yang telah memayungi umat Islam selama lebih kurang 83 tahun serta kewajipan menegakkannya semula. Saya mengimbau kembali kenangan dan juga aspirasi saya ketika di sekolah menengah dahulu.
Semenjak saya mempelajari tentang khilafah Islam dalam matapelajaran sejarah peradaban dunia (form 4), saya hanya melihat bahawa khilafah itu sebagai sebahagian daripada lipatan sejarah umat Islam. Saya juga pernah mengetahui tentang komplot jahat angkara si laknatullah Kemal Atarturk dan kaum kuffar menjatuhkan khilafah Uthmaniyah.
Namun, ketika form 5 saya pernah terfikir; “Jika benarlah umat Islam pernah hidup aman makmur dan sejahtera di bawah daulah Islam, dan kini kita sengsara dan tertindas tanpanya, mengapa tidak diusahakan untuk mengembalikannya semula?”
Yang menjadi masalahnya, bagaimana? Ketika itu saya belum mengenali HT dan Ikhwanul Muslimun (IM), jadi saya meletakkan kepercayaan penuh kepada PAS dalam perjuangannya untuk menegakkan daulah Islam. Bahkan saya benar-benar bersungguh untuk berusaha ke arahnya. Sehinggakan ketika Malam Sinar Islam, saya volunteer menjadi pengarah pentomim. Dan dalam pentomim tersebut, saya meletakkan plot sekitar kejatuhan Daulah Uthmaniyah. Walaupun pentomim tersebut tak begitu menjadi (kerana kehilangan skrip dan juga beberapa orang rakan yang kurang bekerjasama – sebab tak setuju dengan tajuk pentomim), namun Alhamdulillah program berjalan lancar sehingga ke akhirnya.
Kemudian, ketika usrah anjuran PPI (Persatuan Pelajar Islam) dan Biro Surau (semenjak form 1) saya turut didedahkan dengan isu-isu Palestin dan juga mengenai sekularisme. Alhamdulillah, melalui usrah dan juga kesedaran yang dicampakkan Allah ke dalam diri saya, saya menyedari akan peri pentingnya usaha ke arah menegakkan daulah Islam. Setelah tamat persekolahan dan juga setelah menjalani PLKN, saya menerima tawaran ke pusat pra-U.
Tamat flashback (macam drama swasta la pulak… ha ha)
Semenjak dari itu, keinginan untuk lebih mengenali HT semakin bertambah dari hari ke hari. Namun disebabkan saya tak mengetahui siapa yang harus dihubungi, dan juga disebabkan saya telah mengenali fikrah IM melalui seorang kenalan, maka hasrat saya tertangguh buat seketika… Saya diperkenalkan dengan bentuk pentarbiyahan IM melalui ‘proksi’nya di Malaysia, dan mengikuti usrah ala IM buat pertama kalinya ketika itu. Insya Allah, pengalaman kecil saya sepanjang bersama gerakan-gerakan yang mempunyai fikrah Islam dan manhaj IM ini akan dikongsikan dalam siri yang lain. Pentarbiyahan saya bersambung ketika saya memasuki tahun pertama pengajian, namun dengan sebuah wadah lain yang turut menggunakan fikrah IM. (turut akan dikongsikan kemudian, insya Allah)
Pada semester kedua tahun pertama, pihak kolej telah membuat rombakan bilik. Pelajar first year dikehendaki berkongsi tiga orang sebilik dalam sebuah bilik yang sepatutnya memuatkan dua orang. Saya ditempatkan ke sebuah bilik dengan dua orang roommate baru. Seorang yang happy-go-lucky, seorang pula yang mempunyai link dengan jemaah Islam. Rakan saya yang pertama tu seringkali tiada di bilik, atas dua sebab. Pertama, kerana dia suka belajar bersendirian di luar (library agaknya), kedua disebabkan dia gemar keluar (chill out).
Rakan kedua saya tu pulak merupakan seorang yang berkarisma dan juga mempunyai potensi kepimpinan. Atas sebab itulah dia menjadi perhatian senior-senior yang nak merekrut ahli. Ada beberapa gerakan Islam di kampus yang mendekatinya. Guess what? Sudah semestinya salah satu daripadanya ialah HT. Daripada dialah saya berkesempatan mengenali HT lebih mendalam melalui halaqah yang diadakan. Daripadanya jualah saya berpeluang untuk mengenali beberapa orang syabab HT.
Rakan saya tu pada mulanya lebih cenderung kepada HT, namun setelah ‘dinasihati’ oleh seorang senior dia mula lari daripada HT. (Khabarnya sekarang dia dah bersama dengan sebuah gerakan Islam kampus yang bermanhajkan IM setelah hampir dua tahun berkecuali daripada aktiviti dakwah jamaie. Alhamdulillah.) Saya berani menyatakan sedemikian kerana saya sendiripun pernah ‘dinasihati’ oleh senior tersebut. Senior tu menceritakan tentang ‘kesesatan’ HT dan juga artikel-artikel yang memburukkan HT. Bila saya kaji balik latarbelakangnya (counterintelligence, hu hu) rupanya dia ada masalah personal/konflik dengan seorang daris (pengkaji) HT.
Saya juga menyedari bahawa bukan dengan HT saja dia bermasalah, dengan beberapa gerakan lain pun dia ceritakan keburukan kepada saya. Rasa macam ada yang tak kena je. (But that’s another story. Cuma saya nasihatkan supaya anda berhati-hati dengan orang sebegini. Kaji dahulu sebelum mempercayai kata-katanya. Mungkin ada motif di sebaliknya). Alhamdulillah, ‘cabaran’ ini menyebabkan keazaman saya menjadi lebih kukuh (strengthening my resolve).
Firts Halaqah and Beyond
Ketika halaqah pertama, saya tak banyak bertanya sebaliknya hanya mendengar. Isu-isu yang dibawa bukanlah hanya sekitar khilafah semata-mata seperti yang diwar-warkan oleh kebanyakan pihak. (Matlamat akhir HT bukanlah menegakkan khilafah, sebaliknya “mengembalikan kehidupan Islam”) Bahkan yang menyebabkan saya ‘melekat’ untuk menghadiri halaqah seterusnya bukanlah mengenai perjuangan khilafah mereka, sebaliknya berkenaan definisi Islam yang dipegang oleh HT.
Halaqah-halaqah ini adalah umum, dan terbuka kepada sesiapa yang berminat. Di tahap ini, HT tak menuntut komitmen lain selain daripada menghadiri halaqah dan juga menyebarkan serta mengamalkan ilmu yang diperoleh. Dalam masa yang sama, saya masih mengikuti usrah bersama dengan gerakan kampus saya.
Cuma yang menjadi masalahnya ialah, salah seorang syabab yang menyampaikan halaqah ini agak keras dan tegas pendekatannya. Daripada 8 orang yang menghadiri halaqah tersebut, hanya seorang sahaja yang kekal konsisten sehingga ke peringkat seterusnya. Yelah, siapa tak ‘terkejut’ kalau tiba-tiba dapat tahu bahawa PTPTN tu haram, dan demokrasi itu sistem kufur secara straight forward walaupun disertakan hujah dan dalil syarie? Namun, saya melihat ini sebagai masalah teknikal semata-mata, i.e. kekurangan dari aspek pendekatan syabab itu sendiri. Mudah-mudahan ini dapat dijadikan pengajaran kepada para daie sekalian. Setelah hampir setahun mengikuti halaqah umum, saya ditawarkan untuk mengikuti program pra-murakazah; untuk lebih memahami tariqah HT dan juga menyiapkan peserta untuk menyertai halaqah intensif bersama HT sekiranya peserta bersetuju. Di peringkat ini pun masih tiada sebarang komitmen terhadap HT dituntut. Saya mengambil masa yang agak lama sebelum ke pra-murakazah kerana saya ni kuat ‘menentang’ orangnya. Kesian kat syabab-syabab yang bawa halaqah umum tu kerana terpaksa melayan kerenah saya ni. Maaflah ye, bukannya sebab benci ataupun sengaja nak menyusahkan.
Saya berbuat demikian kerana hendak menanamkan keyakinan penuh sebelum ambil keputusan untuk melangkah ke tahap seterusnya. Lagipun, mungkin disebabkan oleh maklumat awal yang saya peroleh berkenaan HT sebelum ini. Saya bukannya menolak sepenuhnya artikel dan maklumat yang saya peroleh daripada ‘senior bermasalah’ yang saya ceritakan sebelum ini. Antara topik yang menyebabkan saya tergendala ialah bab demokrasi dan juga hadis ahad. Alhamdulillah setelah mendengar dan mempertimbangkan hujah serta penjelasan pendapat-pendapat yang berbeza, akhirnya saya setuju dengan pendapat yang dibawa HT. Berkenaan demokrasi, saya pernah merujuk kepada wakil PAS yang terlibat dalam politik serta memahami selok-beloknya. Manakala berkenaan hadis ahad, saya pernah merujuk kepada individu yang ittiba’ salafi yang bertalaqqi ilmu hadis.
Mungkin ada yang akan mempertikaikan kredibiliti dan juga ilmu yang saya ada, namun terpulanglah kepada anda untuk menilai sendiri. Inilah yang saya yakini, namun tak bermakna saya taksub dan taqlid buta. Insya Allah, selagimana saya tak mendengar hujah balas yang lebih meyakinkan, saya akan kekal dengan pendapat Islam yang dipegang HT. Jika ada hujah yang lebih kukuh, saya akan pegang kepadanya. Kalau nak tahu tentang pengisian sepanjang program pra-murakazah, anda kenalah menghadirinya sendiri. Selepas menghadirinya, terpulanglah kepada empunya diri untuk memilih sama ada hendak meneruskan pengkajian bersama HT ataupun memilih haluan masing-masing. Lagipun, kalau nak diceritakan semuanya, panjang sangat.
Saya Dan HT Hari Ini
Saya masih lagi meneruskan pengkajian bersama HT sehingga ke hari ini; dan sekarang sedang mengkaji buku Nizamul Islam karya Taqiuddin an-Nabhani dalam halaqah. Buku tersebut merupakan salah-satu daripada buku-buku mutabannat (yang mesti dikaji dan ‘dibedah’ oleh daris). Bukan bertujuan untuk mendoktrin semata, sebaliknya bagi melahirkan kesepaduan fikrah demi menjamin keberlangsungan jamaah. Seandainya fikrah yang ada dalam setiap ahli bercampur-aduk, maka ini akan menyukarkan gerak kerja tanzim (organisasi).
Ini telah terbukti sekiranya kita meneliti sebuah harakah Islam yang tidak mempunyai fikrah yang clear-cut untuk ahlinya. Natijahnya timbul team-team kecil dalam gerakan tersebut (you-know-who). Sekiranya ada antara kalian yang tak bersetuju dengan pendekatan sedemikian, terpulanglah. Jangan anggap ianya bertujuan untuk melahirkan golongan fanatik, kerana kami juga digalakkan untuk merujuk kepada kitab-kitab dan ulama’ lain. Pentarbiyahan HT ini berperanan membentuk kerangka berfikir dan mencorak syakhsiyah Muslim sahaja. Bahkan kepimpinan HT (termasuk yang di peringkat global) sentiasa terbuka kepada teguran.
Mekanisme muhasabah berjalan di setiap peringkat, dan kami dididik supaya tidak mengagungkan dan memandang tinggi ketokohan. Ada juga yang beranggapan HT begitu berani menggalakkan ahli-ahlinya yang tak bertaraf ulama’ untuk mengeluarkan ‘fatwa’ tersendiri. Tanggapan sebegini teramatlah salah. Janganlah disebabkan sebahagian pendapat yang dibawa oleh syabab bertentangan dengan pendapat ulama’ kontemporari, maka kami dituduh sebagai mengeluarkan fatwa baru dan menghina ulama’ pula… Sikap dan tanggapan begini adalah salah. Sepatutnya kalian mengkaji hujah-hujah yang dibawa, kerana pendapat-pendapat yang dibawa bukannya ijtihad kami sendiri… Dan kami bukan hanya merujuk kepada ulama’ dan kitab HT sahaja.
Kesimpulan
Perkongsian saya ini bukanlah bertujuan untuk mengagung-agungkan HT dan merendah-rendahkan jemaah lain. Jauh sekali untuk mengkafirkan dan menyesatkan kelompok lain yang turut sama memperjuangkan Islam. Sekadar nak berkongsi tentang HT dari sudut pandangan peribadi saya. Kebersamaan (ada ke perkataan ni?) saya dengan HT bukanlah bermakna gerakan lain yang pernah saya sertai sebelum ini sesat. Juga bukan bermakna gerakan lain langsung tidak menyumbang kepada Islam. Harap tidak disalahfaham. Saya meninggalkan jemaah sebelum ini bukan atas dasar emosi, ataupun tidak berpuashati dengan pendekatan yang diambil. Sebaliknya kerana saya telah menemui tariqah yang lebih diyakini serta bersesuaian dengan jiwa saya.
Ilmu saya pun tidaklah setinggi mana, dan saya bukanlah manusia yang sempurna. Saya bukanlah yang terbaik, namun ini tak menghalang diri saya daripada berusaha sebaik mungkin untuk memperbaik diri dan juga untuk menyumbang kepada Islam, demi keredhaan Allah swt. Kalian doakanlah supaya terus istiqamah di jalan-Nya. Mudah-mudahan Allah memberkati setiap usaha yang kita lakukan demi mencapai keredhaan-Nya. Kepada mereka yang tak sudah-sudah nak menegakkan “jemaah akulah yang betul, jemaah hang sesat”; hentikanlah perbuatan itu. Sesungguhnya perbuatan sedemikian bukan sahaja tak berfaedah dan tak menyumbang kepada dakwah Islam, bahkan boleh merosakkan lagi usaha dakwah ini. Namun, tak bermakna kita abaikan sahaja kesilapan ‘fatal’ yang dilakukan oleh jemaah lain. Muhasabah sesama jemaah tetap berjalan, cuma hindari daripada mencampurkan muhasabah dengan fitnah dan kejian.
Kepada bloggers yang masih lagi meng’copy-paste’ artikel ‘kesesatan’ HT dan juga artikel yang menghina HT, silalah nilai semula artikel-artikel tersebut sebaiknya. Ikhlaskan diri, janganlah kerana HT tak sependapat dengan gerakan kalian, maka kalian terus menyiarkan artikel tersebut. Saya dah baca beberapa artikel tersebut, antaranya karya Sheikh al-Albani, abu syafiq, al-Bakistani, dan juga Ustaz Tantawi. Kalau kalian nakkan kepastian, sila bawakan hujah daripada artikel tersebut, dan bincangkan dengan syabab HT sendiri dengan niat yang ikhlas – demi mencari kesepakatan dalam kebenaran dan bukannya atas dasar kebencian. Setakat ini sahajalah perkongsian saya.
Sebelum saya menamatkan post bersiri saya ini, ingin saya tegaskan bahawa saya bukannya bercakap ataupun menulis mewakili HT. Sebaliknya apa yang saya kongsikan di sini adalah hasil daripada pengalaman dan ilmu yang saya peroleh sepanjang bersama dengan pentarbiyahan HT. Wallahu’alam… terima kasih kerana sudi mengikuti post bersiri saya sehingga akhir.
menarik sekali ulasan saudara..
ReplyDeletebetul,mereka yg taksub dgn jemaah sndiri adalah sgt berbahaya dan akhirnya kerja dakwah itu tdk jalan
Salam,
ReplyDeleteIzinkanlah saya dgn merendah diri dan penuh hormat demi perjuangan Islam untuk mengemukakan beberapa pertanyaan seperti berikut :
1. Apakah HT tidak diperintahkan untuk melancarkan Jihad, Perang dan Revolusi terhadap sesebuah kerajaan yang kafir, tetapi puak kedua yang memberi Nussrah boleh melancarkan Jihad, Perang dan Revolusi - apakah ini tidak bererti bahawa perintah dan undang-undang Allah di sini tidak seragam?
2. Bagai manakah dan dpd manakah puak Islam yang memberi Nussrah ini tiba-tiba muncul dgn mempunyai kekuatan ekonomi dan militeri yang mencukupi untuk mengatasi musuh-musuh Islam dan berkeupayaan untuk membentuk sesebuah Khilafah?
3. Oleh yang demikian, seandainya tidak wujud puak Nussrah ini, maka HT tidak dapatlah untuk menegakkan sebuah Khilafah?
4. Apakah ini tidak bererti bahawa Metod Islam dpd HT seperti ini adalah metod yang tidak lengkap dan tidak konklusif yang hanya bergantung harap kpd pertolongan dpd pihak yang lain yang tidak berada di bawah kawalan dan kontrol dpd HT?
5. Apakah HT mempercayai bahawa tidak wujud revolusi dalam Islam kerana perang itu hanyalah diperintahkan ke atas sesebuah kerajaan Islam sahaja dan tidak kpd individu atau kumpulan?
6. Apakah HT mempercayai bahawa Jihad dan Perang tidak wujud pada zaman Jahiliyah Malaysia kita sekarang ini kerana tidak ada perintah berperang kpd Nabi kita semasa di zaman Mekah dahulu itu?
7. Kalau benar begitu, apakah pada masa Jahiliyah Malaysia sekarang ini kita pun tidak perlu lagilah untuk melakukan solat, puasa, zakat, haji, nikah kahwin dan seluruh syariat yang lain kerana kesemuanya ini tidak lagi wujud dan diamalkan semasa nabi saw kita di period Jahiliyah Mekah dahulu itu?
8. Apakah pandangan HT mengenai ayat-ayat Jihad dan Perang yang terdapat di dalam al-Quran seperti Baqarah 193, 251; Hajj 40; Anfal 60; Taubah 29 - apakah ayat-ayat ini dan banyak ayat yang lain lagi tidak berbentuk UMUM, KEKAL, FINAL, dan MUKTAMAD yang diperintahkan untuk semua zaman termasuk pada masa sekarang di Malaysia kita ini dan untuk semua umat Islam, samada individu dan kumpulan mahupun sesebuah kerajaan Islam?
9. Bagai manakah pandangan HT mengenai perintah nabi Musa as kpd umat Baginda untuk memerangi dan melancarkan REVOLUSI terhadap kaum kafir yang sedang berkuasa dan memerintah di baitul Maqdis sedangkan pada masa itu Baginda dan kaumnya belum lagi mewujudkan sebuah kerajaan Islam (Maidah 21, 22, 23, 24)?
10. Bagai manakah pandangan HT mengenai nabi Daud as yang melancarkan revolusi bersenjata ke atas Jalut sedangkan pada masa itu kaum Muslimin masih terusir dpd kampong halaman mereka yang hidup bertaburan di padang pasir tanpa sebuah kerajaan Islam?
11. Bagai manakah pandangan HT mengenai kerajaan Islam Sokoto di Nigeria yang diwujudkan melalui Jihad, Perang dan Revolusi oleh seorang ulama muktabar Sheikh Uthman Fudi pada TM 1810?
12. Tidakkah puak yang memberi Nussrah kpd Nabi saw di Medinah itu adalah puak yang satu dan sama yang datang dpd pergerakan Islam yang satu di bawah kepimpinan Baginda yang berpusat di Mekah?
13. Apakah Nabi saw kita pernah berkata bahawa Nussrah ini adalah Metod Islam dalam menegakkan sesebuah khilafah atau sebaliknya Baginda sememangnya berkata bahawa Jihad, Perang dan Revolusi ini adalah Metod Islam bersesuaian dgn ayat-ayat Jihad dan Perang dpd Allah yang diturunkan kpd Baginda di zaman Medinah itu?
14. Apakah jumhur ulama di zaman salaf dahulu pernah memutuskan bahawa Nussrah ini adalah Metod Islam mengikut hukum syarak yang sah dalam menegakkan sesebuah Khilafah?
15. Tidakkah golongan Nussrah ini adalah lebih menepati ciri-ciri sebagai sebuah pergerakan Islam yang tulen seperti mana yang pernah wujud pada zaman Rasulullah saw dahulu itu berbandinga dgn HT ini sendiri, dan tidakkah lebih baik dan lebih berkesan seandainya HT ini langsung ditiadakan dan oleh yang demikian sesuatu jemaah Islam itu hanya berjuang sebagai puak Nussrah yang satu sahaja?
Salah silap & terkasar harap maaf.
Sekian, terima kasih.
Wan Solehah al-Halbani
ѕσαlαn вαnчαk mcm ní lєвíh ѕєlєѕα untuk díвαwα вєrdíѕkuѕí ѕєcαrα вєrdєpαn ...
ReplyDelete